|
Post by atokENSEM on Apr 18, 2004 1:57:11 GMT 8
Kisah Habil dan Qabil Tata cara hidup suami isteri Adam dan Hawa di muka bumi mulai tertib dan sempurna tatakala Hawa bersiap-sedia untuk melahirkan anak-anaknya yang akan menjadi bibit pertama bagi umat manusia di dunia ini.
Siti Hawa melahirkan kembar dua pasang. Pertama lahirlah pasangan Qabil dan adik perempuannya yang diberi nama "Iqlima", kemudian menyusul pasangankembar kedua Habil dan adik perempuannya yang diberi nama "Labuda".
Kedua orang tua, Nabi Adam dan Siti Hawa, menerima kelahiran keempat putera-puterinya itu dengan senang hati dan gembira, walaupun Hawa telah menderita apa yang lumrahnya dideritai oleh tiap ibu yang melahirkan bayinya. Mereka mengharapkan dari keempat-empat anak pertamanya ini akan menurunkan anak cucu yang akan berkembang biak untuk mengisi bumi Allah dan menguasainya sesuai dengan amanat yang telah dibebankan keatasnya.
Di bawah naungan ayah ibunya yang penuh cinta dan kasih sayang, bertumbuhlah keempat-empat anak itu dengan cepatnya melalui masa keanak-anakkan dan ke alam remaja.Yang perempuan sesuai dengan kudrat dan fitrahnya menolong ibunya mengurus rumahtangga dan melakukan hal-hal yang menjadi tugas wanita. Sementara yang lelaki pula masing-masing menempuh jalanya sendiri mencari nafkah untuk memenuhi keperluan hidup mereka. Qabil berusaha dalam bidang pertanian sementara Habil pula dalam bidang penternakkan.
Penghidupan sehari-hari keluarga Adam dan Hawa berjalan dengan tertib, sempurna dilimpahi kasih sayang, saling cinta menyintai, hormat-menghormati sesama mereka.
Keempat-empat anak Adam memasuki alam remaja.
Keempat putera puteri Adam mencapai usia remaja,di mana nafsu berahi dan syahwat serta hajat kepada hubungan kelamin semakin hari semakin ketara.
Allah telah memberikan Nabi Adam ilham dan petunjuk agar kedua puteranya dikahwinkan dengan kedua puterinya. Qabil di kahwinkan dengan adik Habil yang bernama Labuda dan Habil di kahwinkan dengan adik Qabil yang bernama Iqlima.
Cara yang telah diilhamkan oleh Allah itu segera Nabi Adam sampaikan kepada kedua puteranya sebagai putusan sang ayah yang harus dipatuhi dan segera dilaksanakan untuk menjaga kedamaian dan ketenangan didalam keluarga mereka. Akan tetapi dengan tiada diduga keputusan itu telah ditolak oleh Qabil dan menyatakan bahawa dia tidak mahu mengahwini Labuda, adik Habil dengan alasan bahawa Labuda tidak secantik adiknya Iqlima.Ia berpendapat bahawa ia lebih patut mengahwini adiknya sendiri Iqlima sebagai isteri dan ia tidak rela menyerahkannya untuk dikahwini oleh Habil.
Kerana Qabil tetap berkeras tidak mahu menerima keputusan ayahnya. Demi menjaga keutuhan keluarganya Nabi Adam menyerahkan masalah perjodohan itu kepadaTuhan untuk menentukannya.Caranya adalah masing-masing di kehendaki menyerahkan korban kepada Tuhan dan korban siapa yang akan diterima Tuhan. Barang siapa yang diterima korbannya dia berhak untuk menentukan jodohnya.
allahua'lam...
|
|
|
Post by atokENSEM on May 7, 2004 13:08:06 GMT 8
.:: Cinta Jangan Kau Pergi ( Siri 2) ::.
Ayah dan emaknya apabila tahu menantu mereka telah pergi meninggalkan dia,mereka hanya mampu mengeluh.
"Ayah dah jangka perkara ini akan berlaku.Wanita mana yang sanggup dimadukan.Shafikah tu, ayah lihat tiada kekurangannya.Tapi dengan Rina juga yang kau kejar.Kini Shafikah dah tiada.Mana kau nak cari dia?"luah ayahnya,Encik Arif sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.Kesal dengan sikap anaknya,
"Mak sedih sangat tak dapat jumpa Shafikah buat kali terakhir sebelum dia pergi.Sekurang-kurangnya mak dapat nasihatkan dia.Kadangkala mak rasa biarlah dia pergi.Selama ini dia dah tanggung banyak penderitaan.Dan kau pulak,dah tambah penderitaan padanya dengan berkahwin lain,"kata maknya,Puan Kalsom sambil mengesat air matanya.
"Ayah tak tau apa yang Rina tu ada sampai kau lupa pada Shafikah.Memanglah dia berpelajaran tinggi.Muka boleh tahanlah tapi kurang budi bahasa.Kami ni orang tua hanya pentingkan kebahagiaan anak-anak.Dulu masa kau mengadu Rina tinggalkan kau,ayah rasa bersyukur kerana ayah dan mak berhasrat nak kahwinkan kau dengan Shafikah.Dia pun yatim piatu.Sepanjang yang ayah kenal dia,Shafikah itu memang baik.Masa dia kerja di kilang ayah dulu pun,ayah perhatikan dia seorang yang gigih,tak jemu berusaha.Kau pulak sia-siakan dia dengan kahwin lain,"kata Encik Arif dengan nada kesal.
"Tapi Ika benarkan saya kahwin dengan Rina.Memang saya sayangkan Ika tetapi Rina yang terlebih dahulu saya cinta.Memang Ika telah banyak berkorban untuk saya tetapi saya rasa hidup saya perlukan cinta.Bila Rina tinggalkan saya,saya rasa seluruh kehidupan saya gelap.Kehadiran Ika hanya pengisi hidup saya.Saya tak cintakan dia tetapi saya sayangkan dia,"luah Azhari mempertahankan dirinya.
"Mak pun tak tahu nak cakap apa lagi kerana mak rasa Shafikah itu sangat padan dengan kau.Tetapi bila kau buat macam ni,mak rasa kecewa dengan kau.Mak bersalah kerana membiarkan Shafikah berkahwin dengan kau.Sekurang-kurangnya mak masih dapat berjumpa dengan Shafikah.Kini dia dah tiada,mak rasa sunyi kerana tiada sesiapa nak melayan dan temankan mak lagi,"ujar Puan Kalsom.
"Yelah mak,saya pun menyesal.Saya suruh dia berhenti kerja supaya dapat menumpukan sepenuh perhatian pada rumah tangga.Hidupnya hanya di rumah ini dan rumah mak.Dia tak ramai kawan,saudara mara pun semuanya jauh diperantauan.Saya pun tak tahu nak cari dia lagi di mana?"Azhari menundukkan mukanya.Dia kesal dengan sikapnya yang hanya mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan tentang hati Shafikah.
Encik Arif hanya melihat anak dan isterinya.Dia pun tidak tahu nak cari Shafikah dimana lagi.Johor Bahru ni pun dah cukup besar.Belum cari satu Malaysia lagi.Azhari pun dah pergi ke merata-rata tempat.Kelantan,Penang,KL, dan boleh kata seluruh Semenanjung Malaysia ni mereka anak beranak telah pergi demi mencari Shafikah.Tetapi Shafikah tetap tidak ditemui.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------
|
|
|
Post by atokENSEM on May 7, 2004 13:09:24 GMT 8
Shafikah sedang menelaah di library dengan Akma.Tetapi Akma sedang berada di kafeteria.Lapar katanya.Tiba-tiba,bunyi hentakan buku dihadapannya.Shafikah mengangkat mukanya perlahan-lahan.Dilihat dihadapannya Farah dengan muka merah padam sedang merenung tajam ke arahnya.
"Hei perempuan.Kau dengar sini baik-baik.Berani kau berbaik-baik dengan Adli.Disebabkan kau Adli taknak berjumpa dengan aku lagi.Muka takdelah lawa sangat.Ape yang Adli pandang kat kau pun aku tak tau.Pakai tudung plak tu! "kata Farah dengan nada mengejek.
Shafikah hanya memandang sahaja muka Farah.Malas mahu dilayan perempuan tu.Bukan aku ada apa-apa hubungan dengan Adli.Buat apa aku nak layan.Biarkan saja perempuan ni.Dah penat cakap nanti,dia pergilah tu.Tetapi dia hanya bercakap dalam hati.
"Shafikah,aku bagi kau warning,kalau aku nampak lagi kau dengan Adli,taulah apa nak aku buat.Perempuan tak sedar diri!Kalau dah tak laku buat cara tak laku, tunang orang pun kau nak rampas.Macam dah takder orang lain," Farah terus berlalu selepas mengucapkan kata-kata hinaan kepada Shafikah.
Shafikah hanya terdiam.Terperanjat dengan kata-kata Farah itu.Aku yang tak sedar diri ker dia yang terlupa siapa dirinya.Dahlah datang tak diundang.Marah tak pasal-pasal.Aku taulah dia tu tunang Adli.Tapi itukan hak Adli,nak berkawan dengan siapa sahaja. Mungkin Farah tidak tahu sebenarnya Adli adalah adik iparnya.Shafikah hanya menggeleng-gelengkan kepalanya dan terus menyambung pembacaannya yang terganggu dengan serangan daripada Farah.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------
|
|
|
Post by atokENSEM on May 7, 2004 13:09:43 GMT 8
Ketika duduk di bangku rehat yang menghadap tasik universiti.Shafikah teringat kata-kata Adli minggu lepas.
"Adli rasa nak putus tunanglah," kata Adli perlahan sambil tangannya melontar sebiji batu ke dalam tasik.
"Hah!Kenapa?Korang kan dah lama kawan.Baik Adli fikir baik-baik.Adli patut bagi peluang pada Farah.Mungkin dia tak menyedari kesilapannya yang terlalu mengongkong Adli.Hai,siapa tak sayang tunang,"nasihat Shafikah.
Adli selalu mengadu padanya Farah dah lain sekarang.Dahulu sebelum mereka belum bertunang,Farah dirasakan serasi dengannya.Tidak cemburu buta,penyayang dan paling penting memahami serta menerima dirinya seadanya.Farah anak tunggal.Mungkin dia biasa dimanjakan.Tidak boleh salahkan Farah seratus peratus,Farah tidak tahu apa hubungan Adli dengan Shafikah.Kalau orang lain di tempat Farah pun akan melakukan perkara yang sama.
"Tapi dia lain lah sekarang Fikah.Semua dia nak tau.Kadangkala lepak-lepak dengan member pun dia tak bagi.Hak privacy Adli pun dah tak jadi privacy.Sometimes, kita perlukan masa untuk bersendirian.Takkan setiap masa nak bersama dengan dia je.Adli pun nak berkawan juga.Nak buat study group kalau ada sorang perempuan jadi ahli kumpulan pun dia marah.Jalan dengan member perempuan nak pergi kuliah pun,boleh buat kami bergaduh berhari-hari.Ishh,Adli dah tak tahan lagi, Fikah,"kata Adli dengan emosi.Mukanya nampak merah lepas menuturkan kata-kata itu.
Shafikah tau Adli marah dan kecewa tetapi Adli perlu tahu Farah berbuat demikian kerana sayang.Cemburukan tandanya sayang.Tetapi cemburunya tidak bertempat. Rasanya kalau diperjelaskan sebaik-baiknya masalah yang melanda hubungan mereka,rasanya masalah akan selesai.
"Fikah tahu,Adli kan pernah cerita.Tapi maybe dia takut kehilangan Adli.Sebab tu dia buat macam tu.Adli kan handsome.Manalah dia tak risau.Lagi Adli dengan Farah kan dah bertunang.Sebab tu dia bimbang Adli cari lain,"pujuk Shafikah lembut.Berharap agar Adli termakan dengan kata-katanya.
"Entahlah Fikah,Adli pun tak tahu nak buat macam mana.Hati memang sayang tetapi kalau kepercayaan dia terhadap Adli dah hilang.Adli rasa tiada gunanya kami meneruskan hubungan ini.Adli bimbang kalau cemburunya itu melarat,nanti entah siapa-siapa yang diserangnya.Adli dah cuba mengelakkan diri daripada bercakap dengan budak perempuan lain.Tetapi mereka yang minta tolong daripada Adli.Takkan Adli nak tolak kot,kita kan sama-sama belajar.Apa yang kita tahu tuh,kongsiler dengan member-member.Barulah dapat keberkatan ilmu,"jelas Adli.
Shafikah hanya mendiamkan diri.Kalau Farah tidak sanggup berkongsi Adli dengan perempuan lain tetapi lain bagi dirinya,demi Azhari dia rela berkongsi kasih dengan Rina.Susah untuk memahami hati sesama perempuan.Benarlah kata orang,rambut sama hitam hati lain-lain.Mungkin Adli tidak akan berfikir panjang jika dia mengetahui Farah telah menyerang dirinya tadi.Dia selalu memikirkan tentang orang lain tetapi dirinya yang dalam kesedihan tiada siapa ingin berkongsi dengannya kecuali Akma.
Bila mengingatkan Azhari,seketika dirinya hanyut di lautan sendu.Arghh..aku perlu tabah demi mengharungi hidup ini,kata hatinya.Tetapi aku rindukannya.Dia suami aku.Hati dan cintaku hanya miliknya biarpun dia menduakan ku. Shafikah terus terpaku di bangku depan tasik,melayari kisah lampau hidupnya.
|
|
|
Post by atokENSEM on May 7, 2004 13:10:32 GMT 8
.:: Masih Ada Yang Sayang (Part 1 : Haslina) ::.
Alam persekolahan, suatu alam yang sungguh ajaib. Benci tapi rindu. Benci dan tidak sukanya bila terpaksa mentelaah buku. Bil tiba musim periksa. Rindu, bila waktu itu berlalu. Terkenang sejuta peristiwa. Kebanyakannya manis-manis belaka.
Haslina tersenyum sendirian. Pagi yang cerah dirasakan begitu cemerlang. Dia melemparkan pandangannya jauh ke luar jendela. Bagaikan mengukur kelurusan jalanraya dengan renungan tajamnya. Seakan memerhati rentetan kenderaan yang bersimpang siur. Memerhati anak-anak sekolah dengan pakaian seragamnya yang kemas dan rapi. Haslina terkenangkan di zaman kanak-kanak dulu. Sama seperti mereka, menanti bas, mengayuh basikal atau bapa tolong hantarkan.
Tiba-tiba hati Haslina diamuk sayu. Dia bangun dari katilnya. Wajahnya muram. Sekali dia melepaskan keluhan berat. Sukar! Sehelai kertas yang berlipat rapi diambilnya dari atas meja tulisnya di sudut bilik. Kertas itu dibukanya dan dia membaca lagi. Entah ini bacaan yang keberapa kali, dia sendiri tidak tahu. Semenjak surat itu diterimanya pagi semalam, isi-isi surat itulah yang seakan meruntun perasaannya. Gembira. Gembira yang teramat sangat. Dia tidak menyangka yang setiap patah perkataan itu adalah milik yang ditujukan untuknya.
Sesekali hatinya dipaut hiba. Bercampur dengan gembira. Dia sedar, dia masih terlalu muda. Baru lapan belas tahun. Suatu usia yang seharusnya dia berada di bangku persekolahan. Dia tidak perlu gopoh mengejar perkara lain. Alamnya belajar dan belajar.
Sebagai anak sulung, dia mesti menjadi contoh dan teladan kepada adik-adiknya. Dia seharusnya belajar sampai ke universiti sebagaimana cita-cita dan saranan abah serta mama.
Tetapi dia tidak harus juga menolak tawaran itu. Itu satu rezeki yang tidak wajar ditolak ketepi. Menolak bermakna dia akan rugi. Bukan dia tidak bercita-cita untuk belajar tinggi, tetapi kalau dia teruskan juga pelajarannya, bermakna kreativitinya yang satu itu akan terjejas. Dia tidak mahu bakat yang ada padanya akan terkubur begitu saja. Bakat semulajadi itu perlu dipupuk dan dibaja. Perlu disubur dan dibela.
"Aku mesti membuat keputusan nekad!" Dia bersuara perlahan tetapi penuh bersemangat. Surat yang berada di dalam tangannya dilipat kembali. "Zaman sekarang kerja tidak boleh dipilih-pilih. Untuk ke universiti masih belum tentu. Waktu yang mendatang akan mengubah kehidupan. Kalau tawaran itu aku terima, yang nyatanya aku menolah tuah. Masih beratus ribu yang menanti dan mencari kerja. Tapi aku, dengan sekali mohon sahaja, sudah diterima. Tidakkah itu tuah namanya?" Haslina terus bersuara dengan penuh emosi.
Dia mencapai tuala merah jambunya di palang besi. Disangkut ke bahunya. Pijamanya di buang sehelai demi sehelai. Dengan tuala merah jambunya itu dia terus ke bilik mandi.
Fikirannya masih tertumpu kepada perkara yang itu juga. Kerja. Bekerja bermakna dia akan bebas dari ikatan persekolahan. Kalau selama ini setiap apa yang ingin dilakukannya, akan terhalang disebabkan belenggu pelajaran, tapi kalau sudah bekerja, segalanya akan berubah. Dia akan bebas. Dia boleh buat apa yang dirasakan perlu. Pegang duit sendiri, orang lain tidak boleh peduli. Putus bicara hati Haslina.
|
|
|
Post by atokENSEM on May 7, 2004 13:12:04 GMT 8
Dia tahu, bekerja dengan kelulusan SPM, gajinya tidak seberapa. Tetapi dia masih boleh mencari wang dengan cara lain. Untuk menambah pendapatan. Hidup mesti pandai mengemudikannya. Mesti yakin dengan kebolehan dan keupayaan sendiri.
Di dalam bilik air, Haslina menyanyi-nyanyi kecil. Suaranya yang lemak merdu telah berjaya memikat ramai orang. Guru-guru di sekolahnya memuji-muji. Teman-teman juga. Dan ini diakui pula oleh pemimpin orkes yang mengiringi penyanyi-penyanyi terkenal di bandar itu.
"Suara you lunak, Ina." Puji Shahriman. "Kalau you rajin berlatih, you boleh maju. Boleh lawan mereka tu." Sampuk Encik Darus, pemain organ. Haslina terpaku. Hatinya berkembang senang.
Segalanya Haslina tidak lupa. Bicara dari mereka itu tak ubah bagai satu rentangan lorong yang lurus di tengah hutan. Pun, dia terpaksa memendamkan dulu cita-cita itu. Lantaran persekolahan. Haslina membayangkan bilakah tiba saat itu. Saat itu adalah satu perjanjian yang masih belum boleh dipastikan. Bila?
Sekarang, saat itu telah mendatang. Alam pekerjaan akan membolehkan dia berbuat sesuka hatinya. Abah tak boleh halang. Mama tidak boleh larang. Seorang anak apabila dia sudah bekerja, maknanya dia sudah boleh berdikari. Boleh bertindak sendiri. Boleh berbuat apa saja yang diingini.
Haslina kembali mengenakan uniform sekolahnya. Dia ingin memperuntukkan waktu yang ada padanya itu untuk bersama kawan-kawan juga guru-gurunya. Alam persekolahan akan ditinggalkan sedikit waktu lagi. Kemesraan yang terakam akan tetap diabadikan.
Pagi itu Haslina masuk ke kelas dengan penuh kesayuan. Rambutnya yang diikat tinggi terjatuh ke dada. Sekolah Menengah Sri Melor, yang baru lima bulan didiaminya seakan menatap dengan keresahan. Haslina memberitahu kawan-kawannya akan keputusannya untuk berhenti sekolah. Juga kepada gurunya, cikgu Yusoff.
Cikgu Yusoff kaget, mendengar bicara Haslina. Pun sebagai seorang guru, dia wajar memberi kata nasihat.
"Awak mesti berfikir masak-masak, Haslina. Awak sudah berada di dalam tingkatan enam. Tahun depan awak akan periksa STP untuk melayakkan awak ke universiti. Masalah kerja bukan persoalan utama. Awak masih muda." Cikgu Yusoff menasihatinya dengan lembut dan hormat.
"Tapi, saya dah bertekad untuk bekerja, cikgu" Haslina berterus terang.
Setahu saya, pelajar yang masih belajar, tetapi memburu pekerjaan adalah pelajar yang miskin. Mereka yang tidak mampu!" cikgu Yusoff bersuara tenang. "Tapi awak anak orang berada, Haslina!" Ujar cikgu Yusoff lagi.
"Benar! Tapi jiwa saya lebih senang untuk bekerja saja cikgu" "Walaupun sebagai kerani?" nada suara cikgu Yusoff sedikit meninggi.
"Saya tidak memilih apa jenis kerja, cikgu. Yang pentingnya, kerja itu telah ditawarkan untuk saya. Dan saya rasa, saya harus menerimanya."
Suara Cikgu Yusoff yang sedemikian seakan sindiran bagi Haslina. Haslina rasa sedikit tercabar. "Muktamad begitu?"
"Ya cikgu!" angguk Haslina.
"Fikirlah Haslina, untuk awak bekerja masih belum terlambat" suara Cikgu Yusoff kali ini lebih perlahan. Dia dapat agak Haslina terasa dengan sikapnya sebentar tadi.
"Saya dah ada rancangan hidup sendiri, cikgu!" Cikgu Yusoff mengeluh.
"Baiklah! Saya akan membawa perkara ini kepada guru besar. Tengah hari tadi, sebelum pulang, awak ke bilik gurubesar dulu. Ambil sijil berhenti.!"
"Terima kasih cikgu!"
Hari Isnin itulah hari terakhir Haslina bergelar seorang pelajar. Hari yang telah merombak dan meleraikan ikatan dunia persekolahannya. Kawan-kawannya silih berganti mengucapkan tahniah kerana berjaya memperolehi jawatan itu dan juga mengucapkan selamat berpisah untuknya.
Tengahari itulah juga Haslina meninggalkan jejak-jejak tahun kelmarin yan gtelah menampu langkah-langkahnya di saat dia bergelar pelajar dulu.
Tengah hari itulah juga Haslina meninggalkan gurau tawa dan senyum nakal teman-teman seperjuangan. Tengah hari itulah juga Haslina mencatat di ruang diarinya akan saat-saat terakhir dia berada di perkarangan Sekolah Menengan Sri Melor. Dan Haslina pun mengimpikan waktu-waktu yang bakal dilewatinya.
"Selamat tinggal Sri Melor. Aku pergi demi untuk mencari kepuasan di hati" bisik hati kecilnya
Note: Oleh: Zawiah Che Pa
|
|
|
Post by atokENSEM on May 7, 2004 13:13:01 GMT 8
.:: Jangan Terlewat Lagi : Part 3 ::.
PETANG itu menjadi sejarah bila kelibat ku muncul di tengah-tengah padang. Hardi menggosok-gosok mata apabila melihat aku melompat-lompat bermain bola jaring. Saja je aku lepas tension. Seronok jugak main bola jaring ni bersama student. Hilang sedikit ingatan aku terhadap Azlan. Selama ini jangan harap aku nak turun padang. Petang-petang begini aku lebih suka berada di dapur dan memasak untuk makan malam. Tapi dah hampir 3 hari aku tak makan malam. Aku ada azam tersendiri. Aku pun nak kurus jugak. Aku nak buktikan pada Azlan aku pun boleh jadi macam Yati. Akan aku buktikan.
Pagi tadi kecoh satu rumah bila aku turun berjogging. Kak Ani hanya melopong. Siap dia tanya, aku ni dah buang tabiat ke?. He he he.. tak lah kak Ani, aku ni ada target aku tersendiri. Aku nak turunkan berat badan aku sampai 55kg. Aku tak akan berhenti selagi tak berjaya.
Selama hampir 5 bulan aku mula giat di dalam sukan. Kerja-kerja pejabat ku semuanya tak ada masalah. Program promosi berjaya dibuat. Lega rasanya. Balik tadi aku timbang. Berat aku dah turun hampir 65kg. Aku jadi kecewa. "Susahnya nak turun berat badan aku ni" rungutku sendirian.
Petang tu aku ke bandar Kluang. Aku singgah di farmasi. Niat di hati aku nak beli alatan mandian. Kulit aku memang sensitif dengan sabun jadi aku kena beli sabun yang sesuai dengan kulit aku. Tiba-tiba aku tertarik dengan satu produk melangsingkan badan. Tanpa teragak-agak aku ambil. Manalah tau berkesan. Lebih cepat daripada bersukan. Siapa tahu kan?
Hari ni aku keluarkan alat penimbang sekali lagi. Aku timbang. Turun! Tapi setengah kg aje. Baru 64.5kg. Hm.. macam tak berkesan aje ubat kurus tu. Agaknya aku makan sikit sangat kot. Aku belek lagi botol ubat tersebut. Ku baca arahan. Betullah banyak tu sukatannya yang aku telan hari-hari. Kata dalam masa seminggu boleh nampak kesannya. Tak jugak. Dah dekat 3 minggu aku telan ubat ni. Turun pun sikit aje. Tak apalah. Mula-mula je kot macam ni. Kalau makan lebih satu tablet pun ok kan. Ala..lebih sebijik tak matinya aku dibuatnya. He he he.. puh! Menjadilah hendaknya ramuan ni!
AKU mula tidak sedap badan. Kenapa agaknya aku pun tak tahu. Aku rasa macam nak demam tapi bukan demam. Perut ku sakit. Tapi aku rasa aku tak salah makan. Sedang aku berjalan-jalan di koridor pejabat tiba-tiba aku rasa dunia ini gelap.
Aku rasa sepi di dalam kegelapan ini. Sunyi. Aku kat mana ye?
"Ha.. dia dah sedar dah" aku kenal suara tu. Suara Hardi! "Ha'a la Ima dah sedar" suara kak Ani tu. Aku ni kat mana? Perlahan ku buka mata. Apasal diaorang ni ramai ramai kerumun aku ni. Aku rasa aku macam kenal suasana macam ni. Aku kat hospital ye?
"Ha'a kau kat hospital. Kau sakit" kata Ayu. Aku sakit? He he he tak akanlah. Aku tak demam pun boleh sakit. Apalah korang ni!
"Tu ha.. ubat kurus kau tu sebenarnya dah diharamkan. Yang kau pergi beli jugak tu kenapa?" marah kak Ani.
"Erk! Ye ke..? kenapa pulak?" tanya ku.
"Wooo silap-silap kau boleh mati tau. Dia boleh buat hati kau gagal berfungsi!" tegas Hardi beriya-ia. Eh! Mamat ni, lelebih pulak! Aku terdiam. Takut pulak aku mendengarnya. Aku pernah dengar benda tu semua. Tapi tak la aku ambil kisah sangat. Pada aku tak ada kena-mengena dengan aku. Aku garu-garu kepala. Aku pandang muka kawan-kawan ku satu persatu. Aku senyum sumbing. Aku tahu kejap lagi nipislah telinga ku mendengar ceramah diaorang.
Hampir satu jam aku di bebel oleh kak Ani. Sebelum pulang Hardi meletakkan sebungkus mee goreng yang menyebabkan aku merasa lapar. Tapi niat ku untuk berdiet masih kuat lagi.
"Jangan ingat nak diet. Makan sikit! Petang ni aku belikan kau nasi goreng boleh?" tanya Hardi.
"Tak nak...."
"Abis tu nak apa?" Hardi memandang ku tajam. Aku pulak naik kecut perut. "Aku nak makan bubur nasi" kata ku perlahan. Aku kalau sakit itulah makanan Zegemaranku. Selagi tak dapat bubur nasi tu tu selagi itulah sakitku tak kebah.
"Ok petang nanti aku datang. Deman pun mengada-ngada nak itu ini" Hardi membebel.
Petang itu seperti yang dijanjikan Hardi datang dengan membawa semangkuk bubur nasi. "Beli kat mana ni? Lawanya bekas" kata ku sambil memegang bekas bubur tersebut. "Beli kau kata? Penat aku masak tau sampai tertidur-tidur" bebel Hardi. Mamat ni kalau membebel berilah kat dia. Boleh jadi johan dibuatnya.
"Kau masak sendiri? Mesti tak sedap kan?" usik ku. "Kau tak nak biar aku habiskan" ujarnya selamba. He he sorry kalau aku dah dapat jangan harap kau nak ambil balik!
|
|
|
Post by atokENSEM on May 7, 2004 13:13:26 GMT 8
Aku makan perlahan-lahan. Boleh tahan jugak mamat ni masak. Bolehlah aku tempah masa aku teringin. Aku tersengih lagi.
"Sengih-sengih. Sakit pun mintak macam-macam kau ni. Kau tu nama je sakit, tapi perut kau tetap macam stoking, boleh isi macam-macam"
"Eleh.. nak kata orang..kau dulu demam-demam siap minta KFC lagi. Habis aku pusing satu bandar Kluang ni carikan kau KFC tau tak? Sesekali balas budi aku balik apa salahnya kan?" usik ku sambil menghirup bubur. Tiba-tiba aku tersedak. Hardi pantas menepuk belakang ku sambil menghulurkan air. Tiba-tiba aku sebak. Alangkah indahnya jika Azlan berada di sini!
Kenapa Hardi sebaik ini? Alangkah bagusnya kalau Azlan juga sebaik Hardi. Menjagaku dengan penuh kasih sayang. Ku renung Hardi yang sedang mengupas buah epal kegemaranku. Ku renung mukanya lama. Aku jadi asyik melihatnya. Selama 5 bulan ini aku semakin banyak menghabiskan masa dengannya. Pagi berjogging bersama, petang kadang-kadang aku bermain badminton. Segala-galanya aku lakukan dengannya. Dan ketika aku sakit ini pun dia masih bersama aku.
"Nah" unjuk Hardi sepotong buah epal lantas mematikan lamunan ku. Aku tersengih. Ish! Aku ni asyik-asyik sengih. Letih lah nak kontrol senyum. "Doktor kata aku boleh keluar esok" kataku. "So siapa ek nak jemput aku?"
"Entah, En. Ali ada cakap nak jemput kau. Kau baik-baik dengan En. Ali tu" selamba Hardi berkata. "Eh! Kenapa pulak?" aku sedikit terkejut.
"Tak la, En. Ali tu ada tanyakan kau. So aku rasa dia nak masuk line. Jadi kalau kau rasa kau tak boleh nak bagi dia ruang jangan kau lebih-lebih pulak. Kalau kau rasa kau ok dengan dia, kawan betul-betul. Kau tu terlebih peramah. Orang cepat salah sangka dengan kau. Jangan En. Ali tu syok sendiri sudahlah" sambil membebel Hardi mengunyah epal yang dikupasnya. Aik! Aku dapat sepotong je epal yang lain semua di bedalnya. Aku yang sakit ke, dia yang sakit ni?
"Tak la kau ni Di, pandai-pandai aje kau ni reka-reka cerita. Dah habis ke gossip kat alam fana ni sampai aku pun kau nak gossipkan?" bebelku tak puas hati.
"Eh! Eh! Kau ni, sakit-sakit pun mulut kau laser lagi ye. Lain kali kalau kau sakit biarlah kau tu sakit mulut. Diam sikit" Hardi terus mengunyah epal. Aku dah terliur dah ni.
"Eh! Kau diamlah Di. Bagilah epal tu, melantak sorang-sorang!" kataku sambil mengambil epal yang baru hendak disuakan di mulutnya. Hardi ketawa. "Dah keluar dah ayat favourite dia.. dah baik la tu!" he he he ... pandailah kau Di!
KECOH satu kolej kata aku kena 'food poisoning'. La..bukan la.. aku tersilap makan ubat. Bukannya aku mati lagi. Bilikku tak habis-habis dikunjungi pelajar-pelajar. Ada yang memang berniat nak melawat, ada pulak yang nak tengok-tengok bilik aku yang tak la cantik tapi kemas (sesekali puji diri sendiri). Ada yang datang bawa buah-buahan, itu ok lagi. Tapi ada yang datang bawa coklat, mana aku boleh tahan. Nak je aku bukak dah menikmati coklat kegemaranku. Tapi ingat Ima kau tengah berdiet. Sabar... jangan terburu-buru. Depan student tu, kontrol..kontrol... aku cuba memujuk hati. Habis pipiku yang tembam ni menjadi tempat ciuman pelajar.. perempuan je la..lelaki tak termasuk dalam bab-bab macam ni.
"Cik Ima, belakang ni bilik siapa?" tanya Rina. Aku menjenguk ke tepi tingkap. "Ooo.. bilik En. Hardi kenapa?"
"Mana? Tak nampak pun dia keluar?" Rina bertanya lagi dengan penuh minat. Aik! Budak ni, ada hati nak mengorat kawan aku tu ye? Kau tak tau ke Hardi tu ada yang steady?
"Rina tak baik anak dara mengintai macam tu. Sopan la sikit!" tegur ku. Hik! Hik! Inilah orang kata ketam mengajar anak berjalan lurus. Aku pun kekadang macam tu jugak tapi depan student, baik aku jaga tingkah laku aku. Hari ni seharian aku tak nampak Hardi. Hairan jugak aku dibuatnya. Dah lama aku tak berperang dengan dia ni. Rindu pulak aku dibuatnya.
Tiba-tiba aku teringatkan kata-katanya minggu lepas. En. Ali.. hmm.. memang betul pun tanda-tanda tu ada. Tapi aku ni tak bolehlah. Dia tu macam bos aku je. So the boss is still the boss. Tiba-tiba aku teringatkan peristiwa kotak beracun tempohari. Eee..tak naklah aku, nanti kat off dah dia jadi boss kena dengar cakap dia, kat rumah pun nanti dia jugak jadi boss. Eiii.. seram pulak aku dibuatnya. Lagipun, susah aku nak pupuk perasaan aku kat dia. Ish..mustahil..!
bersambung...
|
|
|
Post by atokENSEM on May 7, 2004 13:14:28 GMT 8
.:: Masih Jua Ku Pendamkan Perasaan Ini : Part 17 ::. Segera aku mencapai beg-beg plastik tersebut. Nampak umi menyeka dahinya, membuang keringat yang mengalir. Nampak letih umi, dan segera pula aku mengambil gulungan tikar di penjuru dapur dan kuhamparkan untuk umi segera merehatkan dirinya. Tersenyum dia padaku, senyum keibuan yang cukup mengharukan aku. Cepat sahaja aku merapatkan diri padanya, dan bersandar di bahunya, dan seperti biasa, tangan dengan urat-urat halus yang mula menampakkan diri itu mula mengusap-usap kepalaku. Aku rasa tenang dan disayangi dalam keadaan seperti itu, kasih sayang ikhlas yang lahir dari hati seorang ibu yang pernah mengusungku di dalam rahimnya selama hampir sembilan bulan sepuluh hari.
"Nak buka puasa apa hari ni?", memang itu saja pertanyaannya kalau aku ada di kampung. Sebut apa sahaja, segala makanan kampung kegemaranku pasti akan disediakannya. Memang tidak sukar, kalau setakat nasi berlauk sambal belacan berhiris limau kasturi dengan masak lemak nenas dan ikan masin, ditambah pula dengan sayur campur goreng bercili, bukanlah suatu perkara yang sukar buat umi. Terlebih, aku jua akan menolongnya memasak, dan bebanan tugasnya akan berkurang, malah aku lebih suka mengambil alih tugas memasak darinya. Sudah cukup rasanya tempoh dua puluh tiga tahun menyediakan segala keperluanku selama ini, sudah tiba masanya untuk dia berehat pula.
Terkadang, peluang berada di kampung dalam tempoh yang agak lama digunakan pula untuk mencuba pelbagai resepi yang ku cedok dari beberapa buah majalah keluarga dan wanita yang sengaja ku langgan. Dapat juga umi merasa hasil masakanku, spaghetti bersos, nasi tomato, tomyam campur dan pelbagai makanan lain yang lebih bercirikan kemodenan. Malah, pernah juga aku cuba membuat pizza sendiri yang dilapisi dengan beberapa hirisan daging atau ketulan ayam yang dihiris halus. Seronok pula bila melihat umi tersenyum semasa menikmati hasil masakanku, dan terhambur juga pujiannya hingga membuatkan pipiku merona merah mendengar kata-katanya.
"Umi ke jeti tadi. Cari sotong dan udang. Teringin nak rasa tomyam pulak hari ni....boleh ke?", aku mendongak, melirik wajah umi yang tersenyum penuh makna. Aku segera menganggukkan kepala. Untuk umi, apa saja akan kulakukan. Kasih sayangnya untukku tidak terhitung, tidak ada insan lain yang dapat memberikan aku merasai nikmat kasih sayang seperti yang umi tunjukkan padaku.
Selepas solat Asar dan membaca Al-Quran, aku mula masuk ke dapur. Daun limau purut di belakang rumah, ku ambil dua tiga helai. Ayam kampung yang baru disembelih Pak Sudin segera dibersihkan dan di potong kecil-kecil, malah udang dan sotong juga dibersihkan, segala perencah dan bahan-bahan masakan seperti bawang dan cili juga aku sediakan terlebih dahulu.
Masakan yang aku rasakan cukup mudah, mana tidaknya, setelah disiapkan semua bahan-bahan tersebut, aku cuma perlu memasukkannya ke dalam periuk dan dikacau, dan dibiarkan mendidih. Mulanya, risau juga kerana bahan-bahan itu kurasakan banyak, sedangkan umi dan aku sahaja yang ada di rumah tersebut. Nanti siapa pula yang akan menghabiskannya. Namun, bila umi memberitahuku yang Mak Long Timah dan keluarganya hendak berbuka puasa bersama-sama kami, aku akur juga, walau rasa sangsi kerana sudah lama tidak berjumpa dengan keluarga abang Amirul.
Kalau waktu zaman persekolahan dulu, selalu juga aku berkunjung ke rumahnya bersama abang Hakimi. Malah, semasa umi menjaga abang Hakimi di hospital sewaktu abang Hakimi terlibat dalam satu kemalangan sewaktu aku di tingkatan dua, rumah itulah yang menjadi tempat aku menginap selama hampir seminggu. Hendak menolak, bimbang juga duduk di rumah seorang diri. Sementelah umi juga risaukan diriku waktu itu, kerana itu aku bersetuju untuk tinggal di rumah abang Amirul semasa waktu-waktu ketiadaan umi.
"Takkan baju kurung labuh dengan kain batik aje. Cuba pakai baju kurung yang Datul tunjuk pada umi dua hari lepas.....", terpempan aku seketika. Semangkuk tomyam yang sedang ku tatang segera aku sorongkan ke bawah tudung saji, dan segera aku menghampiri umi yang sedang meletakkan nasi dari periuk ke dalam sebuah mangkuk.
"Kenapa umi?", pelik aku mendengar kata-katanya. Takkanlah....dan hatiku mula tercuit dengan permintaan umi. Nampak janggal dan berlainan dari umi yang biasa ku kenal. Takkanlah bulan Ramadhan macam ni pun, ada orang yang nak masuk merisik, dan rasa bimbang mula meneroka segenap ruang hati, menerbitkan rasa gundah yang tidak terkawal. Malah, sebelum ini pun, kalau ada keluarga-keluarga lain yang hendak berbuka puasa bersama-sama kami di Ramadhan sebelum ini, tak ada pula umi membuat permintaan begitu.
Takkan umi tak memberitahuku apa-apa, sekadar menyuruh dan meminta sahaja, tanpa menghiraukan perasaan anak gadisnya ini. Sedikit kesangsian mula timbul, pun aku memujuk umi untuk membenarkan aku berpakaian seperti itu sahaja. Pakaian biasaku di kampung, baju kurung labuh berjahit tangan dan berkain batik, dengan alasan bahawa aku lebih selesa apabila berpakaian begitu. Lega hatiku apabila umi tersenyum dan menyentuh bahuku, lembut.
"Umi cuma memberikan cadangan...jangan jadikan kata-kata umi sebagai satu paksaan yang mesti ditunaikan...", hebat sungguh umi. Tahu saja gerak hatiku, walau aku jarang memberitahu segala keresahan dalaman yang mendiami diri. Memang dia ibuku yang unggul, aku bangga menjadi anaknya, mengisi kekosongan hidupnya setelah pemergian arwah ayah.
Lebar senyuman Mak Long Timah apabila aku tunduk bersalam dan mencium tangannya. Haji Lokman pula hanya tersenyum padaku sambil menganggukkan kepalanya. Jam di dinding sudah mula menunjukkan ke angka tujuh, walau hari masih lagi agak cerah. Dua orang gadis sunti berbaju kurung hijau dan merah serta bertudung rapat sahaja pada Mak Long Timah. Cepat sahaja aku teringat pada si kembar yang masih kecil saat aku di bangku sekolah. Sudah besar mereka berdua, seiring dengan peredaran masa yang sentiasa berubah, menambah usiaku, mematangkan diri menghadapi rencah dan ujian hidup.
"Ada jumpa Amirul di Kuala Lumpur?".
Aku sedikit tersentak. Haji Lokman tersenyum lembut memandangku. Tadi, sewaktu solat Maghrib berjemaah dengan dia sebagai imamnya, aku jadi senang mendengar suaranya mengalunkan ayat-ayat dan beberapa surah di dalam Al-Quran. Kini, suara yang sama itu membuatkan perasaanku sedikit terusik.
bersambung...
|
|
|
Post by atokENSEM on May 7, 2004 13:15:21 GMT 8
.:: Titipan Kasih ::. Raza menolak pintu bilik adiknya dengan kasar.Adiknya, Izy, yang sedang bermain-main dengan Comot di dalam bilik terperanjat melihatkan kehadiran Raza yang tidak diundang. Izy menjadi takut dan segera memeluk Comot.
Melihatkan gelagat Izy, hati Raza yang sedia panas,bertambah panas. "Kucing sial kau tu patut diajar!" bentak Raza.
Izy hanya diam. Comot yang berada di dalam pelukannya tidak bergerak. Comot memandang ke arah Raza yang merenungnya tajam. "Kenapa, bang?" tanya Izy. "Kucing kau tu buat tahi dalam bilik abang!" Izy terus terdiam. Bibirnya tersenyum nakal. "Abang selalu belasah Comot, sebab itulah Comot nak balas dendam!" bisik Izy sendirian. "Jadi, apa boleh Izy buat?" "Kau makan tahi kucing kesayangan kau tu!" ugut Raza, keras.
Tiba-tiba, Raza merampas Comot dari tangan Izy. Izy tidak berdaya melawan. Raza sekarang berada dalam tingkatan dua, sedangkan dirinya baru hendak menjejakkan usia ke angka enam tahun.
"Bodoh! Sial! Memang bawa sial!" Raza menarik ekor dan telinga Comot. Kemudian, ditampar-tamparnya pipi Comot. Izy cuba membantu Comot dengan menarik tangan Raza, tetapi, dia sendiri terjatuh ke atas lantai apabila Raza menolaknya kasar. Kaki Raza pantas memijak kaki kanan Comot. Comot mengiau nyaring. Dengan tiba-tiba, Comot meronta-ronta dan mencakar tangan Raza. "Kurang ajar!" pekik Raza, geram. Comot berlari ke sisi Izy. Dengan segera, Izy mengangkat Comot dan memeluknya. Izy mengusap-usap badan Comot yang telah dipenuhi luka akibat dikerjakan oleh Raza. Parut kesan penyeksaan Raza ke atas Comot pada masa-masa yang lalu masih belum hilang. Akhirnya, Raza berlalu dari bilik itu dengan dendam yang belum padam. "Aku dapat kucing tu, tahulah apa aku nak buat!" ugut Raza. Izy meletakkan Comot di atas katil. Comot terbaring lemah sambil menjilat-jilat bulunya. Izy menjadi pilu dan sedih. Sedih mengenangkan nasib malang dirinya dan Comot.
Beberapa bulan yang lalu, Izy menjumpai seekor anak kucing di dalam longkang di hadapan rumahnya. Badan anak kucing itu kotor, kurus dan lemah. Izy kasihan melihat keadaan anak kucing itu lantas membawa anak kucing itu masuk ke dalam rumah. Izy memandikan kucing tersebut dan memberinya makan. Akhirnya, Izy mengambil keputusan untuk memelihara kucing tersebut dan memberi nama Comot, sempena keadaannya yang comot apabila Izy menjumpainya. Abah dan mak tidak membantah apabila Izy meminta kebenaran untuk emelihara Comot. Cuma abangnya, Raza yang memperlihatkan tanda-tanda tidak senang dengan kehadiran Comot. Kata Raza, semenjak adanya kucing di dalam rumah mereka, habis perabot menjadi mangsa cakaran untuk Comot mengasah kukunya. Raza juga menyatakan, yang bulu Comot boleh mendatangkan penyakit. Tahi Comot yang bersepah-sepah bisa menimbulkan bau-bauan yang tidak menyenangkan. Tidak cukup dengan ini, sebagai bukti kebencian Raza terhadap Comot, dia sentiasa mencari peluang untuk melepaskan geramnya. Semakin hari semakin Comot membesar. Badannya gebu dan bulunya lembut. Di mana ada Izy, di situlah ada Comot. Setiap kali Izy makan, Comot berada berhampiran dengan kakinya. Izy berbaring di atas katil, Comot akan berbaring di sisi Izy sambil menjilat-jilat bulunya. Kasih sayang Izy telah ditumpahkan kepada Comot dengan sepenuh hati.
|
|
|
Post by atokENSEM on May 7, 2004 13:15:51 GMT 8
Abah dan mak pula tidak mengambil kisah tentang Comot. Pernah suatu hari, mak menghantar Izy ke rumah neneknya. Kata nenek, baru sehari Izy di rumahnya, Izy mengalami demam panas, tidak lalu makan. Izy sentiasa menyebut nama Comot. Dua hari kemudian, nenek menghantar Izy pulang, dan sebaik sahaja Izy melangkahkan kaki ke dalam rumah, Comot berlari ke arah Izy. Serta merta, Izy dan Comot menjadi ceria semula. Barulah mak sedar, Izy dan Comot saling merindui. Dan mak juga sedar, Izy dan Comot memang tidak boleh dipisahkan. "Macam mana dengan Izy, ni bang? Kalau masuk darjah satu nanti, boleh ke dia berpisah dengan Comot?" Mak pernah melahirkan rasa bimbangnya. "Biarlah. Izy dan Comot dan jadi kawan baik. Masuk sekolah nanti, Insya Allah, tentu Izy dapat berfikir yang Comot bukan kawan sepermainannya buat selama-lamanya," sahut abah selamba.
Semenjak hari itu, mak tidak pernah lagi menyebut tentang hal Izy dan Comot. Abah dan mak pergi ke Pekan Lumut. Petang nanti barulah abah dan mak akan balik. Disebabkan Izy tidak mahu mengikut mereka, jadi Raza diarahkan tinggal untuk menjaga Izy. Izy tertidur di dalam bilik. Matanya terlalu mengantuk dan Izy terlupa mengunci pintu. Semasa Izy tidur,Comot telah melangkah keluar dari bilik itu tanpa menyedari nasib malang yang akan menimpanya. Raza yang kebetulan duduk di ruang tamu, terpandang akan Comot. Hatinya menjadi panas kembali. Dia teringat peristiwa beberapa hari lalu, Comot mencakar tangannya. Raza bangun dan menuju ke arah Comot. "Jaga kau!" jerit Raza. Bulu Comot meremang. Comot tidak dapat lari lagi. Pintu dapur tertutup. Dengan rasa geram, Raza menarik ekor Comot. Kemudian, Raza mencapai penyapu dan memukul badan Comot. Comot mengiau-ngiau nyaring. Badan Comot luka. Raza memijak kaki Comot dan Comot mengiau lagi. Comot cuba lari, tetapi tidak berjaya. Izy terperanjat daripada tidurnya apabila mendengar suara jeritan kucing. Izy mencari-cari Comot di sisinya. Tiada. Izy berlari keluar dari bilik dan mencari Comot. Alangkah terkejutnya Izy melihat Raza yang begitu asyik membelasah Comot. "Comot! Comot!" Izy menolak Raza. Raza geram dengan telatah Izy. Tangan Raza menolak Izy sehingga terjatuh. Air mata Izy mengalir di kedua-dua belah pipinya. "Abang bertindak seperti orang bodoh dan tiada didikan agama!" "Kau jangan nak mengajar abang pula!" "Izy cakap yang benar..." "Diam!" Raza terus memukul Comot dengan penyapu. Comot tidak berdaya melawan. Badan Comot luka-luka dan lemah. Hati Raza masih belum puas. Mahu sahaja dia mematahkan tengkuk Comot. Dia tidak akan peduli, sama ada Izy mengamuk, Izy menjerit, atau Izy menangis.Kalau boleh, ingin sahaja dia ingin menghapuskan Comot dari muka bumi ini.
"Berhenti! Berhenti!" jerit Izy. Izy cuba menarik penyapu di tangan Raza. Hatinya pilu melihat keadaan Comot yang lemah. "Berani kau melawan aku, ya!" bentak Raza marah. "Abang tak berperikemanusiaan! Abang jahat!" Raza bertambah marah mendengarkan kepetahan Izy bersuara. Dia membaling penyapu ke arah Comot yang terbaring. "Kurang ajar! Kau tak hormatkan abang kau sendiri!"pekik Raza sambil mencubit peha Izy. Izy menjerit. Tangisannya terus bergema. "Macam mana Izy nak hormatkan abang sedangkan abang tak hormatkan perasaan orang lain! Abang tak hormatkan perasaan Izy, dan perasaan Comot!" balas Izy, perlahan. "Perasaan? Kau ingat Comot ada perasaan ke?" perlinya sambil menendang kaki Izy. "Comot tak ada akal, tapi abang pula tidak gunakanakal abang! Abang sia-siakan anugerah yang telah dikurniakan oleh Allah kerana dorongan syaitan untuk memuaskan nafsu dan dendam abang semata-mata!" "Diam!" Kepetahan Izy amat mengejutkan Raza. Izykah yang berada di hadapannya? Izy cuma budak berusia enam tahun, tak mungkin Izy akan berkata begitu.
|
|
|
Post by atokENSEM on May 7, 2004 13:16:19 GMT 8
"Suatu hari nanti, perbuatan abang pasti akan terbalas jua..." "Aku kata diam! Diam!" Tangan Raza pantas menampar pipi Izy. Hatinya sakit mendengarkan kata-kata Izy. Raza mencubit kaki Izy. Izy menjerit nyaring. Tiba-tiba, Raza berasa tangannya sakit. Rupa-rupanya, Comot melompat ke arah Raza dan menggigit tangannya! "Aduh!" Raza terkejut. Gigi taring Comot tajam dan runcing telah melukakan tangannya. Hati Raza menjadi sakit. Dia cuba memukul Comot pula. Sekali lagi, Comot menggigit tangan Raza. Dan akhirnya, Raza terduduk di tepi dinding. "Comot...." Izy bangun dan mengangkat Comot. Dipeluknya Comot seerat-eratnya. Izy memandang ke wajah Raza yang pucat. Raza tidak bangkit untuk menangkap Comot. Dibiarkan sahaja Izy berlalu sambil menangis. Comot di dalam pelukan Izy, menjilat-jilat air mata yang mengalir di dagu tuannya. Begitulah kasih seekor kucing yang setia terhadap tuannya. Di dalam bilik, Izy terus menangis. Dia meletakkan Comot di atas katil dan Comot terbaring lemah. Izy sedih melihatkan keadaan Comot. Badan Comot penuh dengan luka-luka dan berdarah. Izy mengambil kain dengan mengelap luka Comot dengan air panas yang memang tersedia di dalam termos. Comot tidak melawan. Comot tidak berdaya meronta-ronta. Izy terus menangis. Diusap-usapnya badan Comot dengan lembut. Izy memeluk Comot. Dia tidak mahu berpisah dengan Comot lagi. Izy hanya mampu bersabar kerana abah pernah cakap, yang Allah SWT sentiasa bersama-sama dengan orang yang sabar.
Apabila abah dan mak balik, mak terkejut melihatkan keadaan Comot dan Izy. Abah naik marah. Mak naik marah. Walaupun Izy tidak menceritakan apa yang berlaku, abah dan mak dapat mengagak semuanya. Abah dan mak tahu, Raza memang bencikan Comot. "Kamu dah besar, Raza. Dan dapat berfikir mana baik,mana buruk." Walaupun nada suara mak lembut, tetapi terdapat secarik rasa kesal terpancar di wajahnya terhadap perlakuan Raza. "Yang kamu buat adik kamu tu macam tu, kenapa? Izy tu masih kecil, patutnya kamu mengalah pada dia!" marah abah. "Comot tu hanya seekor kucing! Tak patut betul kamu seksa dan lepaskan perasaan benci kamu kepada makhluk kecil itu," tambah mak. "Kamu tahu bukan yang Allah murka pada orang yang menganiaya sesama makhluknya? Rasulullah lagikan mengasihi binatang. Dan kucing pula binatang kesayangan Rasulullah." Raza diam. Dia memandang ke arah wajah mak yang mendukung Izy. Izy pula memeluk Comot. "Abah tak mahu kamu ganggu adik kamu dan Comot lagi. Faham!" Raza mengangguk-angguk kepalanya. "Ini semua si Izy dan kucing sial tu punya pasal!"rungut Raza. Beberapa hari kemudian, Izy telah membawa Comot ke taman permainan berhampiran dengan rumah mereka. Mak tidak benarkan Izy pergi sendirian, maka terpaksalah Raza menemankan adiknya dengan perasaan benci yang belum padam.
"Biar abang bawa Comot," pelawanya lembut. Izy memandang ke arah Raza. Kemudian tersenyum "Abang, Tuhan kurniakan kaki supaya dapat digunakan untuk tujuan yang berfaedah. Biarlah Comot jalan sendiri." Walaupun jawapan Izy lembut dan bersopan, Raza merasakan yang Izy cuba menyindirnya. Hatinya menjadi geram. Sewaktu Izy sedang bermain buaian, tiba-tiba niat buruk Raza muncul. Matanya tajam memandang ke arah Comot yang duduk menunggu Izy di tepi buaian dengan setianya. Raza melompat dan menangkap ekor Comot. Comot terperanjat. Izy terperanjat. "Comot!" Raza tidak memperdulikan cakaran Comot. Ditariknya telinga Comot dengan kasar. "Comot!" Izy melompat turun dari buaian. Raza ketawa dengan kuat sekali. Hatinya gembira. Dia ingin membalas dendam. Raza berlari ke arah belukar. Raza meredah belukar itu dengan membawa Comot. Comot mengiau nyaring dan cuba menggigit tangan Raza. Raza mengelak dan menampar Comot. "Comot! Comot! Comot!" Raza terdengar suara Izy menjerit di belakang. Izy meredah belukar itu dengan pantas. Dia tidak peduli apa yang akan berlaku pada dirinya. Dia mesti menyelamatkan Comot. Comot dalam keadaan bahaya.
Raza ketawa berdekah-dekah. Kaki Comot ditariknya.Tangannya pantas mengikat Comot dengan tali yang tersimpan di dalam poket seluarnya. Comot meronta-ronta cuba melepaskan diri tetapi tidak berjaya. Tiba-tiba, Raza melihat seekor ular menuju ke arah Izy yang sedang menangis. Izy terduduk di tepi belukar yang tebal. Mulutnya kelu dengan tiba-tiba. Raza panik. Comot dalam pelukannya terlepas. Izy sendiri telah dapat melihat maut yang berada di hadapannya. Ular berwarna hijau itu mengeluarkan lidahnya yang panjang. Izy takut. Izy sedih. Izy teringatkan Comot. Izy teringatkan Raza, mak dan abah. Raza bertambah cemas. Raza tahu, ular itu hendak mematuk Izy. Apa boleh dibuatnya? Izy, maafkan abang! "Comot...." Tiba-tiba, Comot melompat ke arah Izy. Tali yang mengikatnya terlerai. Comot menerkam ke arah ular yang cuba mematuk Izy. Izy menjadi takut tentang keselamatan Comot. Comot terus bergelut dengan ular itu. Kukunya mencakar badan ular dan giginya yang tajam menggigit badan ular dengan ganas. Ular itu menjadi lemah. Akhirnya, ular itu hilang daripada pandangan Izy, Raza dan Comot apabila ular itu menyusup ke dalam belukar kembali. Mengaku kalah dengan kekuatan Comot. Comot berjalan perlahan-lahan menuju ke arah Izy. Izy menangis dengan kuatnya. Kemudian, Comot dipeluknya. Comot telah menyelamatkan nyawa tuannya, Izy. Comot menjilat-jilat air mata Izy yang mengalir di dagu Izy.
"Jangan menangis Izy..." Izy seolah-olah dapat mendengar Comot berkata-kata padanya. Tangisan Izy bertambah kuat. Hatinya pilu. "Comot..." Di tepi sebatang pokok, Raza terduduk lesu. Bibirnya kelu untuk berkata-kata. Badannya lemah memperlihatkan peristiwa yang baru sahaja berlaku. Raza tidak menyangka, Comot begitu mengasihi Izy. Inikah balasan Comot terhadap Izy yang amat menyayanginya? Adakah Comot tahu menghargai akan erti pengorbanan? Jadi, selama ini akulah yang bersalah! Aku bersalah kerana memisahkan dua makhluk yang berbeza zahir dan batin tetapi saling memahami. Aku bersalah kerana cuba memisahkan kasih suci yang terjalin antara Izy dan Comot! Ya Allah ya Tuhanku! Sesungguhnya Engkau Maha Pengasih lagi Maha Pengampun! Berikanlah aku petunjuk kerana sesungguhnya aku hamba-Mu yang lemah dan tidak pernah lepas daripada melakukan sebarang dosa... Raza tertunduk lesu sambil meratap sendirian. Di dalam tangisan, Izy dalam melihat sepasang mata comel seolah-olah bersinar cuba memberi harapan. Pandangan itu penuh dengan rasa kasih yang tidak terhingga,suci sehening salju..
~TAMAT~
|
|
|
Post by atokENSEM on May 7, 2004 13:17:46 GMT 8
.:: Apa Salahnya ? ::.
Manusia berasak-asak. Rasanya bandaraya Kuala Lumpur perlu diperbesarkan. Berjalan dilorong pejalan kaki, sampai terpaksa bersentuh bahu dengan yang bukan muhrim. Mujur juga tubuhnya kecil. Menyesal sungguh berjanji untuk berjumpa diperut kotaraya itu dihari minggu seperti hari ini. Manusia macam tak ada rumah, masing-masing punya aktiviti sendiri, termasuklah dia, buat kerja bodoh, nak bertemu dengan orang yang tak dikenali dalam ribuan manusia yang berkampung disini.
‘Ini satu-satunya peluang yang I berikan pada U. Pertama dan terakhir. Kalau U sudi, jumpa dengan I depan CM,’ kerana satu-satunya peluang yang dinanti itulah dia terpaksa melangkah jua walau dalam hati menyumpah-nyumpah. Selalu benar dia merayu pada sigadis untuk bersua walau sekali, kali ini peluang telah terbuka.
‘Kalau betul U ikhlas, U tak akan banyak soal,’ teruk betul minah seorang ini. Banyak sangat pra-syarat yang perlu dipenuhi. Jangan tanya banyak soalan, jangan memandai nak ubah tempat jumpa, jangan lewat, jangan itu, jangan ini, tapi, dalam rasa tak puas hati, dia terpacak juga ditengah kesesakan manusia ini. Dia melilau pandang, tak ada pula manusia yang berciri-cirikan orang yang dinanti kelihatan.
‘I ni gemuk, serius ok, I gemuk, U tak percaya U punya pasal. Itulah sebabnya I malas nak jumpa U, sebab I rasa U akan cabut lari lepas nampak I,’ dia teringat antara isi message dalam email yang diterima tempohari. ‘I nak pesan seperkara, kalau U ada sakit jantung ke, darah tinggi ke, lemah jantung ke, baik U bawa ubat. I takut U pengsan lepas jumpa I,’ dia benar-benar nak gelak. Tak kan lah teruk sangat perempuan ni sampai berpesan-pesan begitu. Dia yakin sangat orang yang nak diketemu ini tak seburuk yang digambarkan.
‘Kulit I gelap, hidung I penyek sikit, I gemuk, around 100kg, tinggi 170cm, erm.. I akan pakai jeans dengan kemeja warna biru, maybe tudung pun biru, alah, bukan susah nak cam I, satu-satunya manusia terhodoh diabad ini,’ amboi, merendah dirinya dia. Selalu juga dia akan membalas kembali email tersebut dengan ayat.. ‘Apalah ada pada rupa, bukankah itu semua ciptaan Allah, U sepatutnya bersyukur, sekurang-kurangnya U cukup sifat, U tak cacat. Bila U kutuk diri sendiri, bermakna U tak bersyukur, U marah dan perkecilkan ciptaan Allah,’.
“Assalamua’laikum,” tercantas segala ingatannya terhadap orang yang ingin dijumpai. “Waa’laikumsalam,” dia terkedu. Inilah agaknya orangnya. “Radzi?” merah wajah gadis itu, mungkin kerana panas dibakar mentari atau kerana malu. “Yup, Mahsuri?” soalannya disambut dengan gelak kecil gadis sihat itu. “Janganlah panggil Mahsuri, nama I Nida, Mahsuri tu nick name aje,”ramah sigadis, walau nampak malu-malu. “Okay, nak pergi mana?”matanya masih melekat pada wajah sigadis. Comel jugak, walaupun dia sihat, tapi muka dia cute. Siap ada lesung pipit lagi dikedua belah pipinya. “I nak baliklah,”. “Hah? Balik, baru jumpa dah nak balik? U biar betul Nida,”. “Dah tu, hari tu kan janji nak jumpa aje, bukan nak kemana-mana pun, ni dah jumpa, dah lah. U pun nak tengok camana I kan, I tak tipukan, I ni ehem..ehem..,”senyuman tetap terukir diwajah sigadis. “Janganlah buat I camni, kalau I tau U nak jumpa macam ni aje, baik I tidur kat rumah, jomlah, kita cari tempat, duduk minum, sembang-sembang,” pelawa Radzi. “Okay, after U,” sigadis menggayakan tangan, menyuruh dia berjalan dulu.
Buat seketika, suasana agak senyap, walaupun manusia keliling riuh dengan agenda sendiri. Radzi memerhati gadis yang dikenali sebagai Mahsuri itu, hanya tunduk merenung air dalam cawan. “Senyap aje,” Radzi memecah keheningan. Sigadis mengangkat wajah, dan..senyuman tak pernah lekang dibibirnya. “U pun senyap, actually, I tak tahu nak kata apa,”. “Terima kasihlah ya Nida,”. “Untuk apa?” “Sebab sudi jumpa I,”. “Alah, tak kisahlah tu, I sedia jumpa U ni pun sebab nak buktikan pada U yang I tak menipu, I tak pernah tipu sesiapa tentang fizikal I,”wajahnya kembali merah. Mentang-mentanglah kulit putih, cepat betul kulit bertukar warna. “Tapi, U banyak tipu tentang perkara lain,”Radzi mula mengusik. “Hah?” “Kulit I gelap, hidung I penyek, padahal, erm..malaslah I nak puji,” kata-kata Radzi disambut gelak kecil Nida. “Sorrylah, itu semua untuk tambah perisa aje,”. “Pandai ya, konon merendah dirilah tu,”. “Eh, I tak merendah diri, kan I dah kata, tinggi I 170cm, I tak cakap I rendah pun,”. “Loyar buruk ya,” Radzi turut tersenyum, terhibur juga hatinya. “Takde lah,”. Senyap lagi, masing-masing tak ada idea. Otak bagaikan tumpul. “So?” seretak mereka bersuara, dan serentak ketawa. “Nida dulu,”. “Erm, dah puas hati, dah jumpa dengan Nida,”. ‘Yup, puas hati teramat sangat. Sekurang-kurangnya I tak lah tertanya-tanya, camanalah rupa orang yang berkomunikasi dengan I,”. “Hem, terjawab sudah segala persoalan, dan lepas ni, I dapat rasa yang I tak akan nampak email dari U dalam mailbox I,”. “Apasal pulak? U ni kan, suka sangat buat andaian yang bukan-bukan. I tak pernah fikir macam tu pun, come on kita kan kawan, apa, U ingat U ni buruk sangat ke, sampai I nak buat camtu,” Radzi agak kurang senang dengan spesikulasi Nida. “Manalah tahukan, selalunya macam tulah, manis mulut, indah bahasa, tapi, lama-kelamaan, hilang, lenyap, lesap,” Nida kembali tunduk. “Aik, U ni cakap macam banyak experience aje, but don’t worrylah, I bukan macam tu,” kesian pulak tengok muka Nida. “Biasalah, orang macam I ni, U pun tau kan, dah lah, I tak suka discuss isu ni,” Nida buat-buat pandang keliling, kemudian dia menyambung.. “I pun tak paksa U terus berkawan dengan I, tak kisahlah tu,” perlahan suaranya. “Okaylah, I tak nak U fikir bukan-bukan, I ikhlas kawan dengan U,” Nida mencebik. “I tak faham apa maksud ikhlas dalam hati orang lelaki, tapi I nak berterus terang dengan U, I tak pernah percaya kalau ada orang lelaki yang kata ikhlas nak kawan dengan I,”. “I akan buktikan,” balas Radzi. “Terpulang, kalau U nak buktikan sekadar kerana rasa tercabar, I tak galakkan, tapi, tak kisahlah,” Nida senyum lagi. “Payah sungguh cakap dengan U ni, dari dulu lagi U suka sangat patahkan kata-kata I, U sedar tak U ni banyak prasangka,” Radzi mula rasa kurang senang dengan sikap dingin Nida. “Tak salahkan I berprasangka, kalau U ditempat I, baru U tahu perasaan I. Bagi I, kata-kata lelaki boleh didengar, tapi tak boleh disimpan dalam hati, setakat angin lalu. Janji lelaki macam kabus pagi, sekejap sangat, naik matahari, hilang,” Radzi menggeleng kepala. Mungkin Nida ni dah banyak kali kena tipu dengan kaum sejenis dengannya. Biarlah. “Ok, kita tutup cerita tu, I tak nak kita bertelagah pendapat pasal ni pulak,” Radzi segera mengubah topik. “Jadi U pergi Terengganu nanti?” “Rasa-rasanya jadi, kenapa, U nak kirim apa-apa ke?” Nida mengangkat wajah. Lembut matanya memandang Radzi. “Isk, tak adalah, saja tanya, nanti rindu pulak kat U, 3 hari U kat sana mesti U tak send email kat I,” Nida mencebik lagi. Meluatlah tu. “U jangan cebik, I tarik bibir U tu kang,” geram Radzi melihat Nida tidak mengindahkan kata-katanya. “Apsal nak rindu dengan I? U ni kelakarlah,”. “Nida, U tak nak kasi no telefon U kat I ke?” “I tak pakai handphone, kalau U nak call I pun, kat office ajelah, tapi…I tak galakkan, I tak suka diganggu masa kerja, rumah I pun tak ada telefon, tapi, U ambillah no office I ni, sesekali U nak call, I tak kisah, tapi janganlah marah kalau I tak dapat cakap dengan U lelama,” Nida menulis nombor telefon officenya diatas kertas tisu. “Iye ke U tak pakai handphone ni? Macam tak percaya aje, sekarang ni budak sekolah pun pakai handphone,”. “I rasa tak ada keperluan, buat masa ni I tak rasa handphone tu penting, kenapa, U nak beli untuk I ke?” usik Nida. “U ni kan, kalau bab nak kenakan orang, memang pandai,”akhirnya Radzi mengalah. Nida memang suka membalas cakap, selalunya kata-katanya penuh dengan sindiran.
|
|
|
Post by atokENSEM on May 7, 2004 13:18:39 GMT 8
Bhg. 2
Seminggu lamanya dia menanti email dari sigadis sihat. Dah biasa, masuk office waktu pagi, dia akan dapat balasan emailnya dari sigadis itu. Kadangkala ada sahaja artikel-artikel yang gadis itu forwardkan padanya. Dia tak pernah bosan, baginya berkawan dengan Nida ni ada kebaikkan. Dia dapat menyelami hati gadis itu yang lembut, walaupun gadis itu tenyata dingin macam air batu. Selalu juga dia membaca luahan hati gadis itu dalam puisi-puisi atau cerpen yang ditulisnya. Dia tahu, dia faham benar dengan tekanan perasaan orang seperti Nida. Namun baginya, tiada apa yang salah dengan penampilan Nida. Walaupun dia agak sihat, tapi dia baik. Senyum dia manis dan dia senang berkawan dengan gadis itu.
‘Good morning, dah breakfast ke belum? Makanlah lebih sikit, esok-esok takdelah malu I nak jalan dengan U. I baru aje balik dari Terengganu, ada something I beli untuk U, kalau U nak, kasi alamat, nanti I poskan’. Ceria wajahnya mendapat email dari gadis itu.
‘Morning, I dah makan, alah, badan I ni memang tak akan membesar, makan banyak camna pun, tak boleh nak besar. U beli apa untuk I, apasal nak pos pulak? Macamlah kita ni duk jauh sangat, I nak jumpa U boleh?’
Tak lama lepas itu, dia menerima balasan email dari Nida.
‘Nak jumpa ke, tak malu ke nak keluar dengan I? Nanti terserempak dengan kawan-kawan U, tak pasal-pasal U kena kutuk. Tapi kalau betul nak jumpa, U arrange lah masa dan tempat. Ok ya, I ada meeting kejap lagi. Kalau sudi, call I petang ni, 4.30. I ada banyak kerja ni, bye. Have a nice day’.
Dia senyum, tak habis-habis nak merendah diri. ‘Malu? Apa nak malu, kita kan berkawan. Apa sajalah U ni Nida. Tak habis-habis nak merendah diri. Kalau U nak tahu, kadang-kadang I takut. I rasa U tu yang akan lupakan I satu hari nanti. Tapi tak apa, kita bincang pasal ni kemudian, I call U petang ni, jangan U tak ada pula’.
Petang itu, tepat pukul 4.30 dia segera mendail no telefon Nida. Tak sabar-sabar nak bercakap dengan gadis sihat tu. Kali pertama nak bercakap melalui telefon, dia agak gemuruh.
“Banjaran Niaga, selamat petang,”. “Selamat petang, Ms Nida please,”. “Hold on,”… talian telefon disambung. “Nida extention,” halus dan lembut suara disebelah sana. “Assalamua’laikum, Nida ke tu?” jantungnya berdebar tiba-tiba. “Waa’laikumsalam, iye, Nida ni, Radzi ya,” ceria suara itu menyumbat deria dengarnya. “Radzi mana ni, U ada pakwe lain ya,” sengaja dia nak menguji. “Oh, U bukan Radzilah, sorry, I thought U ni Radzi, siapa ni, Hisham? Faizul? Naza? Iskandar?” ada tawa halus dihujung sana talian. Radzi turut senyum, dia tahu umpannya tidak mengena. “Amboi, ramainya boy friend U,”. “Itu I belum sebut semua, kalau I senaraikan, U sure tak percaya,”. “Oklah, U kan glamour,”. “U baru tahu ke? Erm..U sihat?” “Alhamdulillah, cuma I tak lalu makan, rindu kat U,” kata-katanya disambut dengan ketawa Nida. “I’m serius okay,” geram bila ditertawakan. “Rindu kat I, U biar betul, sejak bila U angau ni, I ingat U salah oranglah, I Nida okay, bukan Shima, bukan Roza, bukan Elly,” dia kembali ketawa halus. “Amboi, U nak jerat I pulak ya. Betullah Nida, I rindu kat U, I nak jumpa U,” suaranya sedikit perlahan. “Sorry Radzi, I bukan pemburu nak pasang jerat. I hanya menyedarkan U dari hayalan. By the way, U nak tak souvenir yang I belikan tu? Bukanlah benda mahal pun, tapi bolehlah nak dibuat kenangan, mana tau esok lusa I padam,” dia tersentak. Gadis ini kalau cakap selalu menggamit pilu dihatinya. “U cakap elok-eloklah Nida, jangan takutkan I, I tak suka U cakap macam tu. I nak jumpa U ni, I ambil U kat office ya,”. “Hari ni tak bolehlah Radzi, I ada banyak kerja, tomorrow maybe,”. “Okay, esok I ambil U pukul 5.30, boleh?”. “Boleh, tapi make sure tayar kereta U ada angin ya, jangan nanti U kutuk I kalau kereta U lowered,” balas Nida selamba. “Iyelah, I isi angin penuh-penuh, tak pun, I bawa kereta kebal ajelah pergi ambil U, takut tak muat u nak masuk,” balasnya geram. “Eloklah tu, I pun tak pernah naik kereta kebal,” Nida ketawa lagi. “Sorry Nida, I tak berniat nak kecikkan hati U, tapi U tu, suka sangat pancing angin I,” Radzi serba salah tiba-tiba. “It’s okay Radzi, I ni bukan jenis senang nak ambil hati, I dah cukup dewasa, dah pandai control perasaan. Eh, okaylah ya, I ada kerja ni, kita jumpa esok ajelah ya,”. “Erm..jangan balik lambat, anak dara macam U bahaya balik lewat sangat, ramai orang jahat sekarang ni,” pesan Radzi. “Alah, takde orang terliur pun tengok I, butalah mata orang jahat tu kalau nak ganggu I,”. “U ni kan, I pesan untuk kebaikan U,” suaranya ditekankan sedikit. “Okay, terima kasih, I akan balik dengan kawan, U jangan risau, I akan jaga diri, U tu pergilah balik, nanti makwe U tunggu,”. “Iyelah, risau pula buah hati I nanti, nanti dia jealous susahlah I nak pujuk. Kita jumpa esok key, Assalamua’laikum,” selepas menjawab salam Radzi gagang telefon dipulangkan kepesawatnya
|
|
|
Post by atokENSEM on May 7, 2004 13:20:29 GMT 8
Bhg. 3
Hari ni Nida pakai baju kurung Kedah warna ungu. Tudung pun ungu. Nampak kecik sikit, baginya sisihat ni bukanlah teruk sangat, tapi dia punya merendah diri, Allah saja yang tahu. “Cantik U hari ni,”pujinya. Nida yang baru aje masuk dalam kereta mencebik. Suka sangat dia mencebik. “I takde duit kecik,” dia ketawa mendengar jawapan Nida. “Nak makan kat mana?” “Mana-manalah, I tak kisah,” Nida menghulur sebuah beg plastik padanya. “Apa ni?” “Sesuatu yang tak seberapa, dari seorang kawan, untuk seorang kawan,”. “Terima kasih, ingat U kat I ya,” dia meletak beg plastic itu diseat belakang. “Alah, bukan apa pun, murah aje,”. “I tak kisah. Eh Nida, kenapa suara U dalam phone sedap sangat?”. “Hah? Sedap. U ni kenapa, banyak sangat pujian U untuk I hari ni, cantiklah, suara sedaplah, U silap makan ya,”. “I serius ni, mula-mula I ingat salah orang, suara U, tak menampakkan yang U ni comel,”. Nida ketawa, dia suka mendengar gadis itu ketawa. “Apa-apa sajalah Radzi, I tak tahu nak jawab, yang pasti itu suara original, I tak pasang tape,”. “Suara U boleh buat orang jatuh cinta tau tak?” sekali lagi Nida ketawa. “Tapi bila tengok tuan punya suara, terus jatuh tangga,”. “U tu, mulalah nak kutuk diri sendiri, malas betul I nak bercakap dengan U ni,” suara Radzi mula berubah nada. “Tak usah cakap, drive diam-diam,” jawab Nida selamba. Suasana kembali hening. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Radzi tahu, bukan senang nak meyakinkan Nida bahawa apa yang diluahkannya adalah ikhlas. Dia sendiri tak mengerti, kenapa dia mesti tertarik untuk berkawan rapat dengan gadis ini. Memang dia tak punya perasaan melebihi seorang kawan, tapi dia memang amat senang mendampingi Nida. “Seronok kat Terengganu?” soalnya bila dilihat Nida hanya membisu. “Bolehlah, pergi sana buat kerja, shopping tu pun, hari terakhir kat sana,”. “I ingat U dah tak nak balik, kata pergi 3 hari, ni sampai seminggu,”. “Urusan belum selesai, I kenalah stay, penat sungguh, kadang-kadang sampai tak sempat nak makan, tapi I tak kurus pun kan?” dia jeling Nida disisi. “Alah, tak payah kuruslah, U dah cantik dimata I,”. “I nak kurus bukan pasal nak cantiklah, I takut I mati cepat sebab ada penyakit,” sergah Nida. “Aik, marah, I puji U cantik pun nak naik angin,” dia gelak, Nida ni cepat betul naik angin, tapi cepat pulak sejuknya. “Malas layan U, I nak tidur, dah sampai kejut. Apasal U bawa pergi makan jauh-jauh ni, I dah lapar,” dia menggeleng, Nida, Nida, macam puting beliung.
|
|