Sihir dan PerdukunanSegala puji hanya kepunyaan Allah, shalawat dan salam semuga
dilimpahkan kepada junjungan umat, Nabi besar Muhammad
shallallahu 'alaihi wa sallam, yang tiada lagi Nabi sesudahnya.
Dengan memohon pertolongan Allah Taala saya katakan bahawa
berubat dibolehkan menurut kesepakatan para ulama. Seorang muslim
jika sakit hendaklah berusaha mendatangi doktor yang ahli, baik
penyakit dalam, pembedahan, saraf, mahupun penyakit luar untuk
diperiksa apa penyakit yang dideritanya. Kemudian diubati sesuai
dengan ubat yang dibolehkan oleh syara', sebagaimana yang dikenal
dalam ilmu kedoktoran. Dilihat dari segi sebab dan akibat yang biasa
berlaku, perkara ini tidak bertentangan dengan ajaran tawakkal
kepada Allah dalam Islam. Kerana Allah Taala telah menurunkan
penyakit dan menurunkan pula ubatnya. Ada di antaranya yang sudah
diketahui oleh manusia dan ada yang belum diketahui. Akan tetapi
Allah Taala tidak menjadikan penyembuhannya dari sesuatu yang
telah diharamkan kepada mereka.
Oleh kerana itu tidak dibenarkan bagi orang yang sakit, mendatangi
dukun-dukun yang mendakwakan dirinya mengetahui perkara ghaib,
untuk mengetahui penyakit yang dideritanya. Tidak diperbolehkan
pula mempercayai atau membenarkan apa yang mereka katakan,
kerana sesuatu yang mereka katakan mengenai perkara yang ghaib itu
hanya didasarkan atas perkiraan belaka, atau dengan cara
mendatangkan jin untuk meminta pertolongan kepada jin tersebut
sesuai dengan apa yang mereka inginkan. Dengan cara demikian
dukun tersebut telah melakukan perbuatan kufur dan sesat.
Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam menjelaskan dalam berbagai
hadithnya sebagai berikut :
Imam Muslim meriwayatkan dalam kitab 'Sahih Muslim', bahawasanya
Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda :
"Barangsiapa mendatangi tukang ramal (arraaf) kepadanya, tidak
akan diterima sholatnya selama empat puluh hari."
Dari Abu Hurairah radhiallahu anhu dari Nabi shallallahu 'alaihi wa
sallam, beliau bersabda :
"Barangsiapa yang mendatangi dukun (kahin) dan membenarkan apa
yang ia katakan, sungguh ia telah kafir terhadap apa yang diturunkan
kepada Muhammad shallallahu 'alaihi wa sallam."
HR Abu Daud
Dikeluarkan oleh empat Ahlus Sunan dan dishahihkan oleh Al-Hakim
dari Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam dengan lafaz :
"Barangsiapa mendatangi tukang ramal atau dukun dan membenarkan
apa yang ia katakan, sungguh ia telah kafir terhadap apa yang
diturunkan kepada Muhammad shallallahu 'alaihi wa sallam."
Dari Imran bin Hushain radhiallahu anhu, ia berkata,
"Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda, 'Bukan termasuk
golongan kami yang melakukan atau meminta tathayyur (menentukan
nasib sial berdasarkan tanda-tanda benda, burung dan lain-lain),
yang meramal atau yang meminta diramalkan, yang menyihir atau
meminta disihirkan dan barangsiapa mendatangi peramal dan
membenarkan apa yang ia katakan, maka sesungguhnya ia telah kafir
terhadap wahyu yang diturunkan kepada Muhammad Shallallahu
'alaihi wa sallam."
HR Al-Bazzaar, dengan sanad jayyid
Hadith-hadith yang mulia di atas menunjukkan larangan mendatangi
peramal, dukun dan sebangsanya, larangan bertanya kepada mereka
tentang perkara yang ghaib, larangan mempercayai atau
membenarkan apa yang mereka katakan, dan ancaman bagi mereka
yang melakukannya.
Oleh kerana itu, kepada para penguasa dan mereka yang mempunyai
pengaruh di negerinya masing-masing, wajib mencegah segala bentuk
amalan tukang ramal, dukun dan sebangsanya, dan melarang orang-
orang mendatangi mereka.
Kepada yang mempunyai kuasa, agar melarang mereka melakukan
amalan di pasar atau di tempat-tempat lainnya, dan secara tegas
menolak segala yang mereka lakukan. Dan hendaknya tidak tertipu
oleh pengakuan segelintir orang tentang kebenaran apa yang mereka
lakukan. Kerana orang-orang tersebut tidak mengetahui perkara yang
dilakukan oleh dukun-dukun tersebut, bahkan kebanyakan mereka
adalah orang-orang awam yang tidak mengerti hukum, dan larangan
terhadap perbuatan yang mereka lakukan.
Rasulullah 'Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam telah melarang
umatnya mendatangi para peramal, dukun dan tukang tenung.
Melarang bertanya serta membenarkan apa yang mereka katakan.
Kerana perkara tersebut mengandung kemungkaran dan bahaya
besar, juga berakibat negatif yang sangat besar pula. Sebab mereka
itu adalah orang-orang yang melakukan dusta dan dosa.
Hadith-hadith Rasulullah yang tersebut di atas membuktikan tentang
kekufuran para dukun dan peramal. Kerana mereka mengaku
mengetahui perkara yang ghaib, dan mereka tidak akan sampai pada
maksud yang diinginkan melainkan dengan cara berbakti, tunduk,
taat, dan menyembah jin. Padahal ini merupakan perbuatan kufur dan
syirik kepada Allah subhanahu wa Taala. Orang yang membenarkan
mereka atas pengakuannya mengetahui perkara yang ghaib dan
mereka meyakininya, maka hukumnya sama seperti mereka. Dan setiap
orang yang menerima perkara ini dari orang yang melakukannya,
sesungguhnya Rasulullah 'Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam
berlepas diri dari mereka.
Seorang muslim tidak boleh tunduk dan percaya terhadap dugaan dan
sangkaan bahawa cara seperti yang dilakukan itu sebagai suatu cara
pengubatan, seperti tulisan-tulisan azimat yang mereka buat, atau
menuangkan cairan timah, dan lain-lain cerita bohong yang mereka
lakukan.
Semua ini adalah amalan perdukunan dan penipuan terhadap manusia,
maka barangsiapa yang rela menerima amalan tersebut tanpa
menunjukkan sikap penolakannya, sesungguhnya ia telah menolong
dalam perbuatan bathil dan kufur.
Oleh kerana itu tidak dibenarkan seorang muslim pergi kepada para
dukun, tukang tenung, tukang sihir dan seumpamanya, lalu
menanyakan kepada mereka perkara yang berhubungan dengan jodoh,
pernikahan anak atau saudaranya, atau yang menyangkut hubungan
suami isteri dan keluarga, tentang cinta, kesetiaan, perselisihan atau
perpecahan yang terjadi dan sebagainya. Sebab semua itu
berhubungan dengan perkara ghaib yang tidak diketahui hakikatnya
oleh sesiapa pun kecuali oleh Allah Subhanahhu wa Taala.
Sihir sebagai salah satu perbuatan kufur yang diharamkan oleh Allah,
dijelaskan di dalam surah Al-Baqarah ayat 102 tentang kisah dua
Malaikat:
"Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran
sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa
pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak
mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi
puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya) kerana
merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang
diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil
(Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun
melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata:
Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh
itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya). Dalam
pada itu ada juga orang-orang yang mempelajari dari mereka berdua:
Ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan
isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi
mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun
melainkan dengan izin Allah dan sebenarnya mereka mempelajari
perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi
manfaat kepada mereka dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi
itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu
tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi
sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri
mereka, kalaulah mereka mengetahui.
Q.S Al-Baqarah 102
Ayat yang mulia ini juga menunjukkan bahawa orang yang
mempelajari ilmu sihir, sesungguhnya mereka mempelajari perkara
yang hanya mendatangkan mudharat bagi diri mereka sendiri, dan
tidak pula mendatangkan sesuatu kebaikan di sisi Allah Subhanahu
wa Taala. Ini merupakan ancaman berat yang menunjukkan betapa
besar kerugian yang diderita oleh mereka di dunia ini dan di Akhirat
nanti. Mereka sesungguhnya telah memperjualbelikan diri mereka
dengan harga yang sangat murah, itulah sebabnya Allah berfirman :
"Dan alangkah buruknya perbuatan mereka menjual dirinya dengan
sihir itu, seandainya mereka mengetahui."
Kita memohon kepada Allah kesejahteraan dan keselamatan dari
kejahatan sihir dan semua jenis amalan perdukunan serta tukang sihir
dan tukang ramal. Kita memohon pula kepadaNya agar kaum muslimin
terpelihara dari kejahatan mereka. Semoga Allah Subhanahu wa
Taala memberikan pertolongan kepada kaum muslimin agar senantiasa
berhati-hati terhadap mereka, dan melaksanakan hukum Allah dengan
segala sangsi-sangsinya kepada mereka, sehingga manusia menjadi
aman dari kejahatan dan segala amalan keji yang mereka lakukan.
Sungguh Allah Maha Pemurah lagi Maha Mulia!
Sumber : Syekh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz