Manusia boleh pilih qadar takdir
QADAR takdir Allah yang berhubung dengan manusia
terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu:-
Pertama, qadar takdir Tuhan yang tidak dapat ditolak
kerana manusia tidak diberi kuasa dan daya upaya untuk
menahannya daripada berlaku.
Misalnya, qadar takdir bentuk tubuh badan seseorang
dan warna kulitnya, menjadi lelaki atau perempuan
serta tempat lahir dan mati seseorang.
Demikian juga qadar takdir ditimpa kemalangan secara
mengejut, karam di laut dan sebagainya.
Demikian juga qadar takdir seperti tidak berhasil apa
yang telah dirancang dan diusahakan oleh seseorang
dengan sehabis-habis daya upayanya. Atau sebaliknya
qadar takdir seseorang mendapat kekayaan atau pangkat
yang tidak difikirkan mendapatnya.
Qadar takdir bahagian ini ialah satu daripada ujian
Tuhan untuk menguji seseorang - setakat manakah
sabarnya dan sebanyak manakah syukurnya apabila
menerima ujian atau menerima nikmat Tuhan.
Kedua, qadar takdir Tuhan yang kita kena menerima
wujudnya pada diri kita iaitu qadar takdir adanya
perasaan semula jadi. Iaitu segala perasaan yang
diberi Tuhan pada diri kita sejak lahir ke dunia.
Perkara ini seperti perasaan hendak makan minum,
memelihara diri, berhubungan jenis dan bercampur gaul.
Perasaan semula jadi inilah yang menggerakkan
seseorang berfikir dengan cara tertentu. Begitu juga
bercakap dengan gaya dan bertingkah laku dengan ragam
tertentu.
Qadar takdir ini sungguhpun kita kena menerima adanya
pada diri kita, kita perlulah menjaga dan membetulkan
perjalanannya dengan undang-undang dan peraturan yang
telah Tuhan takdirkan untuk berbuat demikian.
Misalnya, perasaan hendak bercampur gaul. Perasaan ini
kenalah kita betulkan perjalanannya memakai
undang-undang yang disebut pada ayat 140, surah
an-Nisaa’ dan ayat 70, surah al-An’am, yang maksudnya:
“Apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah
tidak diakui benarnya oleh mana-mana puak, dan mereka
mempersendakannya, maka hendaklah kamu menarik diri
daripada kumpulan puak itu, jangan kamu duduk
bersama-sama mereka hingga mereka memperkatakan
perkara yang lain; kalau tidak, kamu sama berdosa
seperti mereka. Demikian juga jangan kamu bercampur
gaul lagi dengan orang yang menjadikan perkara agama
mereka permainan dan hiburan; juga orang yang
terpedaya, dan leka dengan keadaan hidup di dunia
hingga mereka lupakan cara hendak hidup di akhirat
kelak.”
Contoh lain, perasaan hendak makan dan minum. Perasaan
ini kenalah kita betulkan perjalanannya dengan memakai
undang-undang yang diterangkan pada ayat 168, surah
al-Baqarah dan ayat 31, surah al-A`raf, yang
maksudnya:
“Wahai manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi
- benda-benda yang halal lagi baik, dan janganlah kamu
menurut jejak langkah syaitan dan orang yang bersifat
syaitan; syaitan suka menghalalkan apa yang Tuhan
haramkan. Syaitan pula menjadi musuh yang nyata bagi
kamu sejak bapa kamu - Adam - berada dalam syurga
dulu. Makan dan minumlah apa yang kamu suka dengan
syarat janganlah kamu melampaui, iaitu janganlah kamu
melampaui undang-undang kesihatan jasmani dan rohani,
undang-undang perbelanjaan dan undang-undang
masyarakat yang sihat.”
Dalam perasaan hendak berhubungan jenis, hendaklah
kita betulkan perjalanannya dengan memakai
undang-undang yang terkandung pada ayat 32 Surah
al-Isra', yang maksudnya:
“Janganlah kamu menghampiri zina - apa lagi
melakukannya - kerana sesungguhnya zina itu adalah
satu perbuatan yang sangat keji dan menjadi
sejahat-jahat jalan yang membawa kepada kerosakan
rumah tangga dan masyarakat, dan membawa kepada
kesusahan serta azab di dunia dan akhirat.”
Qadar takdir yang termasuk dalam bahagian kedua ini
ialah qadar takdir mengenai perbuatan berdosa atau
mengenai sesuatu penyakit yang menimpa. Maka, kenalah
seseorang itu berusaha membersihkan dirinya daripada
dosa atau penyakitnya dengan mana-mana satu qadar
takdir yang Tuhan telah tentukan untuk berbuat
demikian.
Mengenai perbuatan berdosa, maka kenalah orang itu
memakai cara qadar takdir yang diterangkan oleh
Rasulullah saw dengan sabdanya yang bermaksud:
“Iringilah kejahatan yang telah dilakukan itu dengan
kebaikan yang berupa taubat atau lainnya, supaya
kebaikan itu menghapuskan kejahatan itu.”
Mengenai penyakit pula, maka kenalah orang itu memakai
qadar takdir yang diajarkan oleh Rasulullah dengan
sabdanya yang bermaksud:
“Berubatlah wahai hamba Allah kerana Allah tidak
takdirkan sesuatu penyakit melainkan ia takdirkan
ubatnya bersama, tinggal lagi ada orang yang
mengetahui ubat itu dan ada pula yang tidak
mengetahuinya.”
Ketiga, qadar takdir yang diberikan kita kebebasan
memilihnya, tetapi kita diberitahu supaya memilih
qadar takdir yang mendatangkan manfaat dan kesudahan
yang baik. Jangan memilih qadar takdir yang
mendatangkan mudarat dan akibat buruk.
Kita diberitahu supaya memilih:
Qadar takdir yang memberi kita mendapat ilmu berguna
di dunia dan akhirat. Jangan memilih qadar takdir yang
menjadikan kita jahil atau mendapat ilmu tidak
berguna.
Qadar takdir yang memberi kita iman dan kepercayaan
teguh, dan tetap serta benar. Jangan memilih qadar
takdir yang menjadikan kita menerima pembawaan syirik
dan khurafat.
Qadar takdir yang memberi kita kesihatan dan
kecergasan. Jangan kita memilih qadar takdir yang
menyebabkan kita segan dan malas.
Qadar takdir yang memberi kita penghidupan mewah lagi
baik. Jangan memilih qadar takdir yang membawa kita
kepada kesempitan hidup atau keadaan buruk.
Qadar takdir yang menyebabkan kita bertingkah-laku
dengan akhlak terpuji. Jangan memilih qadar takdir
yang menyebabkan kita berkelakuan buruk, hina dan
keji.
Qadar takdir yang menolong kita membangunkan
masyarakat yang aman damai. Jangan memilih qadar
takdir yang membawa kepada bermusuhan dan keadaan
membahayakan.
Qadar takdir yang menyebabkan tubuh badan dan tenaga
kekuatannya tahan lama - untuk berbakti kepada Tuhan.
Jangan memilih qadar takdir yang menyebabkan tubuh
badan dan tenaga kekuatannya cepat susut dan segera
runtuh.
Qadar takdir yang menyebabkan kita terpelihara dan
terselamat daripada kemalangan atau penderitaan dunia
akhirat. Jangan memilih qadar takdir yang membawa kita
kepada perkara yang tidak diingini dan merugikan.
Qadar takdir yang menyebabkan kita boleh
mempertahankan hak dan kebenaran, menggerunkan musuh
dan menewaskannya. Jangan memilih qadar takdir yang
menjadikan perkara yang hak diperhina, kebenaran
dikeji serta musuh berani dan bermaharajalela.
Qadar takdir yang menyebabkan kita gemar menyediakan
segala bekalan yang menyenangkan kita dalam masa
musafir, berhenti dan tinggal menetap terus di
akhirat. Jangan memilih qadar takdir yang menjadikan
seseorang terlantar susah apabila dia terpaksa musafir
kerana tempuh khidmatnya di sini sudah cukup.–
Bersambung
Berita Harian