|
Post by atokENSEM on Dec 3, 2003 17:22:21 GMT 8
Ops Sikap V catat 213 kematian, 9,744 nahasRAFEAH Che Amat, 76, sebak ketika melawat anaknya, Suziman Yusof, 26, mangsa kemalangan ngeri dua bas di Jalan Kuala Lipis-Merapoh Ahad lalu, di Unit Rawatan Rapi, Hospital Kuala Lumpur, semalam. Walaupun perangkaan itu mencatatkan penurunan hampir 15 peratus berbanding 12,239 kemalangan dengan 285 kematian sepanjang 15 hari Ops Sikap III sempena kongsi raya, Aidilfitri dan Krismas tahun lalu, ia bukan sesuatu yang boleh dibanggakan. Malah, nahas membabitkan bas ekspres dan bas sekolah di Kilometer 63, Jalan Kuala Lipis-Merapoh, Pahang Ahad lalu adalah kematian paling tinggi dicatatkan dalam satu kemalangan dan terburuk dalam tempoh lima tahun. Statistik harian Polis Diraja Malaysia menunjukkan hari ke-11 Ops Sikap V mencatatkan kematian tertinggi dengan 29 kes daripada 698 kemalangan; diikuti hari kesembilan dengan 25 kematian (731 kemalangan) dan 25 kematian pada hari raya pertama (823 kemalangan). Pada hari ketiga Ops Sikap V, 22 kematian dicatatkan daripada 884 kemalangan), masing-masing 17 kematian pada hari kelapan dan ketujuh (866 kemalangan untuk hari kelapan dan 814 untuk hari ketujuh). Hari kelima 16 kematian dicatatkan daripada 795 kemalangan, 15 kematian pada hari keempat (877 kemalangan); 11 kematian daripada 765 kemalangan pada hari ke-10 dan 26 kematian (1,741 kemalangan) pada hari pertama dan kedua Ops Sikap V. Sementara itu, kenyataan PDRM Bukit Aman yang dikeluarkan semalam, menunjukkan 751 kemalangan dengan 10 kematian dicatatkan pada hari terakhir Ops Sikap V. Jurucakap trafik berkata, empat kematian berlaku di Jalan Persekutuan, tiga kes di Jalan Bandaran, dua kes di Jalan Negeri dan satu di Lebuh raya. “Statistik itu menunjukkan kadar kemalangan meningkat 53 kes pada hari terakhir Ops Sikap V mungkin disebabkan ramai pulang ke ibu negara selepas bercuti. Bagaimanapun kematian kurang sehingga 19 kes,” katanya. Beliau berkata, keseluruhan Ops Sikap V menyaksikan Jalan Persekutuan dan Jalan Bandaran masih menjadi lokasi tertinggi membabitkan kemalangan maut, berbanding lebuh raya. Statistik turut menunjukkan lebih separuh kematian dan kemalangan disebabkan penunggang muda motosikal dan pembonceng mereka. Begitu juga pemandu muda yang kurang berpengalaman turut menjadi penyebab berlakunya kemalangan. P/S: ingatlah org yg tersyg..semasa memandu
|
|
|
Post by atokENSEM on Dec 3, 2003 17:23:40 GMT 8
Leher nyaris putus dijerut KULIM: Seorang anggota tentera nyaris maut apabila lehernya dijerut wayar talian telefon putus yang tergantung di tengah Jalan Sejati, Taman Semangat, Sungai Petani ketika dalam perjalanan ke rumah menaiki motosikal. Dalam kejadian pada jam 2 pagi 18 November lalu, Abu Bakar Mat Isa, 27, menunggang motosikal seorang diri untuk pulang ke rumah di Bandar Aman Jaya selepas tamat waktu bertugas di Kem Tentera Lapangan Terbang Sungai Petani. Menurutnya, sebaik sahaja habis bertugas, dia terus pulang ke rumah melalui Jalan Sejati di Taman Semangat, di mana keadaan pada waktu itu amat gelap kerana ketiadaan lampu jalan. Bagaimanapun, katanya, secara tiba-tiba dia berasa ada sesuatu tersangkut pada leher lalu menjerut kepalanya menyebabkan dia terjatuh daripada motosikal. “Akibat dari jerutan itu, motosikal saya berpusing sebelum terbabas ke seberang jalan, manakala saya terjatuh di tengah jalan namun bernasib baik kerana tiada kenderaan di belakang. “Selepas terjatuh saya melihat benda yang menjerut leher dan terkejut apabila mendapati ia adalah wayar talian telefon yang terputus dan terasa terlalu sakit di bahagian leher,” katanya kepada Harian Metro, semalam. Menurutnya, dalam kesakitan itu, dia tidak cepat panik lalu menghubungi pegawainya untuk meminta bantuan sebelum dihantar ke Hospital Sungai Petani untuk mendapat rawatan. Katanya, berikutan kejadian itu, dia mengalami luka pada bahagian leher sepanjang 12 sentimeter, dan berasa sakit pada badan akibat terhentak ketika jatuh dari motosikal. “Namun, saya masih bernasib baik kerana terjerut di bahagian tepi leher, kerana jika ia berlaku di bahagian hadapan mungkin boleh mengakibatkan maut berdasarkan maklumat doktor. “Sebaik selepas kejadian itu, saya mengalihkan wayar berkenaan ke tepi jalan raya bagi mengelakkan orang lain mengalami nasib yang sama seperti saya. “Cuma apa yang menghairankan, bagaimana wayar talian telefon itu boleh putus dan tergantung di tengah jalan sehingga membahayakan pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal,” katanya. Sehubungan itu, dia berharap pihak terbabit mengambil berat perkara itu supaya ia tidak berulang pada masa hadapan dan menyulitkan orang ramai. Menurutnya, dia turut membuat laporan mengenai kejadian itu di Balai Polis Sungai Petani pada hari yang sama. “Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa sama ada pihak kontraktor atau Telekom Malaysia Berhad di atas kecuaian, namun akan mengambil tindakan undang-undang kerana ia membabitkan nyawa orang ramai,” katanya.
|
|
|
Post by atokENSEM on Dec 3, 2003 17:26:17 GMT 8
Mayat bayi celah batuSUNGAI PETANI: Sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain di tepi sungai di Kampung Bakar Arang, Jalan Pantai Merdeka, dekat sini terkejut apabila mendapati objek terapung yang disangka mereka sebagai anak patung sebenarnya adalah mayat seorang bayi. Mayat bayi perempuan dipercayai baru lahir dan masih bertali pusat itu ditemui berlumuran darah di celah batu di tepi sungai berkenaan kira-kira jam 5 petang kelmarin. Difahamkan, kanak-kanak berkenaan yang terkejut dengan penemuan berkenaan kemudian memaklumkan kepada penduduk kampung dan keluarga masing-masing. Penduduk kampung kemudian membuat laporan polis. Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Hassan Jagar, mengesahkan bayi itu dijumpai kanak-kanak yang sedang bermain di tepi sungai berkenaan. Menurutnya, bayi itu mengalami kecederaan parah di dada. “Mayat bayi ini sudah dihantar ke Hospital Sungai Petani untuk bedah siasat. Kita masih menunggu laporan bedah siasatnya itu,” katanya. Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan membuang mayat secara sulit dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum selama dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali. Difahamkan, polis sedang menunggu laporan bedah siasat bagi memastikan punca sebenar kematian bayi itu. Laporan bedah siasat itu juga penting untuk mengetahui sama ada bayi itu mati kerana lemas atau punca lain. Difahamkan, sehingga ini, bayi berkenaan dipercayai mati akibat hentakan pada objek keras seperti batu ketika berada di dalam sungai berkenaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Inspektor Kanji Raj di 04-421 2222. p/s: sendiri buat..sendiri tanggunglah..
|
|
|
Post by atokENSEM on Dec 3, 2003 17:29:35 GMT 8
- Sukan -
Ronaldo, Giggs kena denda
LONDON: Dua tonggak Manchester United, Ryan Giggs dan Cristiano Ronaldo terlepas daripada ancaman penggantungan tetapi tetap dihukum dan diberikan amaran oleh Persatuan Bola Sepak England (FA) Isnin lalu.
Perbicaraan selama lima jam di Hotel Heathrow memutuskan Giggs dihukum penalti £7,500 (RM49,020) manakala Ronaldo pula £4,000 (RM25,460) kerana terbabit dalam pergaduhan dengan pemain Arsenal di Old Traford pada 21 September lalu.
Perlawanan itu berkesudahan kedua-dua pasukan seri 0-0.
Dua pemain United terbabit didapati bersalah kerana berkelakuan kurang senonoh tetapi denda berkenaan dianggap sangat rendah daripada penggantungan sembilan perlawanan dihadiahkan kepada tonggak Arsenal iaitu Lauren, Martin Keown dan Ray Parlour.
Mereka turut didenda £175,000 (RM665,000).
Giggs kini bakal berdepan perbincangan dan siasatan Persekutuan Bola Sepak Eropah (UEFA) selepas didakwa menyiku pemain Russia ketika mewakili skuad kebangsaan Wales dalam aksi perlawanan playoff kejohanan Negara-negara Eropah 2004 (Euro 2004) pada 15 November lalu. - AFP
|
|
|
Post by atokENSEM on Dec 3, 2003 17:36:43 GMT 8
Pantai timur diancam banjirSEORANG penduduk Kampung Tok Jembal mengambil risiko mengharung air untuk memberi makan ayam perliharaannya.
KUALA LUMPUR: Ancaman banjir di pantai timur semakin membimbangkan apabila paras air di beberapa sungai di Kelantan meningkat berikutan hujan lebat di sesetengah tempat sejak beberapa hari lalu. Pelbagai jabatan dan agensi kerajaan di Kelantan, Terengganu dan Pahang mula membuat persiapan, termasuk mengeluarkan amaran banjir, pemantauan di tempat menyukat air, menetapkan pusat pemindahan serta menyediakan bekalan makanan untuk mangsa banjir. Jabatan Kaji Cuaca berkata, kawasan pantai timur diramalkan hujan sekejap-sekejap dan kadang kala lebat yang dijangka berterusan sehingga hari ini sejak amaran pada jam 11 pagi, 30 November lalu. Di KOTA BHARU, Pegawai Hidrologi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Fadzilah Mahmood, berkata tiga tempat menyukat paras air mulai mencecah paras amaran berikutan hujan lebat tanpa henti sejak awal pagi semalam. Beliau berkata, paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang mencatatkan bacaan lapan meter, melebihi paras waspada tujuh meter, manakala paras bahaya sembilan meter. Tempat menyukat banjir Tangga Krai melebihi 0.12 meter daripada paras waspada, manakala Jambatan Guillemard, di Tanah Merah melebihi 1.13 meter paras waspada. Catatan itu adalah mengikut bacaan terkini yang dilaporkan sehingga jam 4 petang semalam dan dijangka naik sehingga paras bahaya berikutan hujan berterusan sehingga hari ini. Di Sungai Lebir Kampung Tualang, bacaan 24.21 meter berbanding tahap waspada 27 meter, Jeti Kastam Kota Bharu 2.97 meter menghampiri paras waspada tiga meter dan Sungai Golok di Kampung Jenok, Tanah Merah 21.47 meter berbanding paras waspada 21.50 meter. Beliau berkata, kadar curahan hujan yang dicatatkan JPS setakat ini adalah 169 milimeter (mm) di Kusial sejak jam 8 pagi kelmarin sehingga jam 8 pagi semalam, di Pasir Puteh 110 mm, Dabong 38mm, Tualang 80 mm, Kuala Krai 71 mm dan Jeti Kastam 21 mm. Pengarah Bahagian Keselamatan Dalam Negeri (BKDN) Negeri, Mohd Supar Samion berkata, pihaknya mengagihkan 10,521 kampit beras, 459 peti sardin dan beberapa peti kopi, teh, gula, ikan kering serta garam di sebanyak 147 pangkalan hadapan sejak awal bulan lalu. Bekalan bernilai RM250,000 yang disediakan Kerajaan Pusat untuk tempoh seminggu itu boleh diagihkan kepada 132,195 mangsa banjir dari 754 kampung yang dikenal pasti mudah ditenggelami banjir. Turut disediakan 113 tempat pendaratan helikopter dan 77 bot untuk pemindahan mangsa banjir di seluruh negeri. Di KUANTAN, Kerajaan Pahang mengenal pasti 781 kawasan potensi dilanda banjir, iaitu 198 di Temerloh, 132 Lipis, 117 Jerantut, 68 Maran, 56 Raub, 55 Kuantan, 49 Rompin, 42 Pekan, 38 Bera, 18 Bentong dan lapan di Cameron Highlands. Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, berkata sejumlah 623 pusat pemindahan yang mampu menampung 116,437 mangsa banjir sudah disediakan di seluruh negeri. Sebagai persediaan awal, kerajaan membuat penghantaran bekalan makanan ke pangkalan hadapan mulai bulan lalu serta 201 tempat pendaratan helikopter disediakan di seluruh negeri. Turut disediakan kemudahan 632 pengangkutan darat serta 126 bot untuk memudahkan usaha menyelamat mangsa banjir dan menghantar pelbagai bantuan lain. Di TERENGGANU, 309 daripada 1,240 mangsa kembali ke rumah masing-masing sehingga petang semalam, manakala 931 daripada 175 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan di Dungun, Kemaman, Marang dan Kuala Terengganu. Ketua Polis Negeri, Datuk Md Lazim Ahmad, bagaimanapun berkata, Kuala Terengganu mula dilanda banjir malam kelmarin. Daerah Dungun masih mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi iaitu 473 daripada 93 keluarga, Marang 299 daripada 55 keluarga, manakala di Kemaman 51 daripada lapan keluarga. Md Lazim menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah, pedalaman dan di tepi sungai sentiasa memberi perhatian terhadap paras air agar dapat membuat persiapan berpindah. end
|
|
|
Post by atokENSEM on Dec 5, 2003 0:35:26 GMT 8
Edisi KL: Terhina kena carutKUALA LUMPUR: Ahmad Bakhtiar Abdul Kayoom yang dituduh memasang kamera intip di kediaman pelakon dan model Nasha Aziz mendakwa, dia merasa dihina apabila seorang anggota polis mencarut kepadanya ketika dibawa ke rumah ibu bapanya di Taman Hillview, di sini. Menurutnya, ketika dalam kereta, Koperal Abdul Aziz Abu Bakar duduk bersebelahan dengannya manakala Pegawai Penyiasat Cif Inspektor Azmi Hashim duduk di bahagian hadapan bersebelahan pemandu. “Ketika itu saya bergari, Koperal Aziz bercakap menggunakan perkataan kasar dan mencarut terhadap saya namun saya tidak ingat apa yang dia katakan. Saya tidak menjawab apa-apa kepadanya. “Separuh daripada perjalanan itu dia menggunakan bahasa kasar kerana saya meminta dia menukar tangan saya yang digari dari belakang ke depan. Ini membuatkan dia marah dengan permintaan saya,” katanya menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin. ‘ Ahmad Bakhtiar, 26, saksi pihak pembela yang memberi keterangan ketika bicara dalam bicara untuk mengesahkan dia memberi keterangan secara sukarela pada 2 Ogos tahun lalu. Pada 5 November lalu, peguam tertuduh, Ameenuddin Ibrahim membantah tindakan Noorin yang ingin mengemukakan percakapan beramaran tertuduh sebagai barang kes. Tertuduh dari Taman Hillview, Hulu Klang, didakwa menceroboh masuk ke apartmen Nasha, 32, dengan niat melakukan perbuatan menyalahi undang-undang. Bagi pertuduhan pertama, Ahmad Bakhtiar didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali. Bagi tuduhan kedua, dia didakwa memasang kamera intip dengan niat mengaibkan kehormatan dengan mengganggu kesantunan Nasha atau nama sebenarnya Noraishah Abdul Aziz. Dakwaan itu mengikut Seksyen 509 membawa penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di rumah sewa Nasha di apartmen B2-3 Shahzan Court, Jalan Nipah, Off Jalan Ampang, di antara April dan Julai tahun lalu. Kes didengar Majistret Ida Hanani Abdul Karim. Pihak pendakwaan diwakili Noorin dan Timbalan Pendakwa Raya Valerie Evelyn Aran sementara Ameenuddin dibantu Harbajan Singh. NOORIN: Nada suara Koperal Aziz tinggi ketika dalam perjalanan tetapi kamu kata tidak sampai ke peringkat menjerit. Kamu ingat apa yang dia kata? BAKHTIAR: Tidak ingat. NOORIN: Ketika itu kamu merasa takut ke? BAKHTIAR: Tidak, saya tidak takut sangat. NOORIN: Kamu kata Koperal Aziz cakap kasar dan menggunakan perkataan yang kurang ajar atau tidak bersopan terhadap kamu. Apa perkataan yang dikeluarkan? BAKHTIAR: Salah satu yang saya ingat ialah mencarut tetapi tidak ingat perkataan. NOORIN: Setuju saya katakan kalau orang mencarut kepada kita, kita tidak takut tetapi kita akan marah. BAKHTIAR: Setuju. NOORIN: Saya katakan kepada kamu, tidak mungkin Koperal Aziz bercakap kasar ketika di dalam kereta kerana ketika itu pegawai atasannya iaitu Cif Inspektor Azmi turut ada bersama? BAKHTIAR: Tidak setuju NOORIN: Menurut kamu, Cif Inspektor Saharuddin Tahir ada membuat ‘pembacaan hak’ terhadap kamu daripada sebuah buku. Saya katakan kepada kamu dia tidak membaca sebaliknya dia membaca secara hafalan? BAKHTIAR: Tidak setuju NOORIN: Kamu beritahu dia tidak membaca semula atau menerangkan maksud serta tidak bertanya sama ada kamu memahami atau tidak ‘pembacaan hak’ itu. Namun di dalam kenyataan beramaran ini ada tercatat yang mengatakan kamu sudah dibacakan dan memahami mengenai ‘pembacaan hak’ itu. BAKHTIAR: Saya tidak ingat. NOORIN: Setuju saya katakan yang kamu ada ditanyakan soalan itu? BAKHTIAR: Saya tidak ingat. NOORIN: Awak kata awak tidak faham apa yang dibacakan, awak tidak faham langsung? BAKHTIAR: Saya tidak faham istilah yang terdapat dalam pembacaan hak itu. NOORIN: Awak tidak faham istilah tetapi awak faham secara keseluruhan maksud ‘pembacaan hak’ itu? BAKHTIAR: Saya tidak fokus ketika itu. NOORIN: Awak suka tengok wayang? BAKHTIAR: Suka. NOORIN: Suka lihat filem aksi yang membabitkan polis? BAKHTIAR: Ya. NOORIN: Dalam pengalaman awak, pernah tak mendengar atau berjumpa ayat seperti ‘pembacaan hak’ yang dibacakan kepada orang yang ditangkap polis semasa di dalam filem? BAKHTIAR: Ya. NOORIN: Setuju kalau saya katakan, kalaupun tidak sama secara tepat ia mempunyai intipati atau maksud yang sama sebagaimana yang dibacakan terhadap kamu? BAKHTIAR: Setuju. NOORIN: Oleh itu setuju saya katakan sebenarnya awak faham mengenai amaran itu? BAKHTIAR: Tidak setuju. NOORIN: Awak mengaku ada tandatangan dokumen percakapan beramaran ini, ada kamu baca semula apa yang direkodkan? BAKHTIAR: Tidak NOORIN: Setuju saya katakan awak seorang yang berpelajaran dan sebagai seorang yang berpelajaran, percakapan kamu dirakamkan dalam bentuk dokumen kenapa kamu tidak baca apa yang ditulis? BAKHTIAR: Saya tidak fokus. NOORIN: Kamu tidak fokus tetapi kamu juga tidak takut? BAKHTIAR: Ya. NOORIN: Selain tidak fokus, ada kamu rasa pening atau sakit ketika itu? BAKHTIAR: Tidak. NOORIN: Setuju saya katakan yang kamu tidak perlu memberitahu apa-apa kepada Cif Inspektor Saharuddin, jika kamu tidak mahu? BAKHTIAR: Setuju. NOORIN: Setuju saya katakan yang percakapan beramaran yang diberikan oleh kamu adalah secara sukarela? BAKHTIAR: Tidak setuju. Sebelum itu, Bakhtiar memberitahu mahkamah, Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Suniljit Singh, menjalankan soal siasat terhadapnya dalam nada suara yang tinggi tetapi tidak menggunakan bentuk kekasaran yang lain. Bakhtiar juga mendakwa tidak tahu dia akan ditangkap ketika menerima panggilan telefon daripada ayah yang memintanya datang ke Shahzan Court kerana ada pegawai polis ingin berjumpa dengannya. “Cif Inspektor Azmi meminta saya mengikutnya ke balai polis dan dia tidak ada memberitahu saya secara lisan yang saya ditangkap. “Saya menggunakan kereta sendiri yang dipandu saudara saya selain Koperal Aziz yang turut berada di dalam kereta saya,” katanya. Perbicaraan disambung esok.
|
|
|
Post by atokENSEM on Dec 5, 2003 0:40:03 GMT 8
Edisi Selatan: Kepala tersangkut di selusurSINGAPURA: Kepala seorang warga India berusia 20-an terperangkap di antara papan tanda dengan selusur (pemegang) tangga bergerak di pusat beli-belah Holland Road pagi kelmarin. Pipi kanan lelaki itu terhimpit ke papan tanda sementara telinga kirinya pula terhimpit ke selusur tangga bergerak. Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 10 pagi di tingkat dua pusat beli-belah itu, kepalanya yang tersangkut itu mengambil masa kira-kira 11 minit untuk dikeluarkan. Jurucakap Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata, lelaki itu berada dalam keadaan yang genting memandangkan kepala dan lehernya terperangkap dan setiap gerakan yang salah boleh mengakibatkan kesakitan yang berlebihan. “Pada mulanya, kami bercadang untuk memotong papan tanda itu, namun ini akan meletakkan lebih tekanan kepada kepala dan lehernya,” katanya. Pihaknya mengambil masa 10 minit untuk mencari jalan terbaik bagaimana untuk mengeluarkan kepalanya itu. Seorang pegawai SCDF kemudian memberi saranan meletakkan minyak masak pada bahagian pipi dan telinga lelaki itu dan langkah ini berjaya melepaskan beliau dalam tempoh satu minit. Lelaki itu kemudian dikejarkan ke Hospital Universiti Nasional (NUH) kira-kira jam 10.30 pagi. Sehingga semalam, keadaan lelaki itu stabil. p/s:camnala..leh tersangkut!
|
|
|
Post by atokENSEM on Dec 5, 2003 0:45:16 GMT 8
Malaysia ke separuh akhir PENYERANG Malaysia, Akmal Rizal diasak pertahanan Singapura, Gaihakki Khaizan dalam saingan di Stadium Thong Nhat, petang semalam. K Rajan (gambar kecil) menjaringkan gol pertama negara.
Malaysia 2 Singapura 0 MALAYSIA memastikan tempat ke separuh akhir acara bola sepak Sukan Sea XXII apabila menewaskan musuh tradisi Singapura dalam aksi Kumpulan B di Stadium Thong Nhat, Ho Chi Minh City semalam. Dua gol pada babak kedua menerusi K Rajan dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli memastikan Malaysia tidak perlu menunggu perlawanan terakhir kumpulan menentang Myanmar Sabtu ini bagi mengesahkan tempat ke Hanoi untuk separuh akhir. Begitupun, Malaysia yang menurunkan kesebelasan utama seperti perlawanan pertama menentang Kemboja Sabtu lalu masih mempamerkan aksi longgar khususnya pada awal permainan sehinggakan memaksa jurulatih Allan Haris menukarkan tiga pemain. Sebaik wisel permulaan ditiup pengadil Vietnam, Luong The Tai, Singapura yang terdesak mencari kemenangan bagi menghidupkan peluang ke separuh akhir beberapa kali mengancam kubu Malaysia untuk memperoleh gol awal. Tempoh lima minit pertama menyaksikan penyerang mereka, Masrezwan Masturi dan Noh Alam Shah menembusi benteng pertahanan Malaysia yang diterajui kapten Norhafiz Zamani Misbah tetapi gagal menewaskan Mohd Syamsuri Mustafa di pintu gol. Malaysia turut melakukan serangan dan Indra Putra Mahyuddin nyaris memperoleh gol pertama menerusi sepakan percuma lencong yang berjaya ditepis keluar penjaga gol Singapura, Hassan Abdullah Sunny. Singapura turut memperoleh peluang terbaik menjaringkan gol menerusi pemain pertahanan, Baihakki Khaizan, yang mendapat bola muntah daripada tangkapan penjaga gol Malaysia, Mohd Syasuri Mustafa tetapi tolakan pemain muda terbaik Liga S 2002, itu sipi di penjuru kiri gawang. Singapura menguasai sebahagian besar saingan hinggalah pada pertengahan babak apabila pemain negara mula menemui rentak serta mempamerkan gerakan lebih kemas. Pada minit ke-31, Akmal berpeluang menjaringkan gol hasil gerakan satu dua dengan Fadzli dan sepakan percuma Indra Putra, terkena palang. Babak kedua, Malaysia bermain lebih kemas dan Akmal yang kurang mendapat umpanan pada babak pertama mula menghasilkan beberapa percubaan berbahaya dan mendapat umpanan K Rajan dalam kotak penalti, tetapi sepakannya tepat ke arah penjaga gol. Rajan akhirnya menceriakan kem negara 17 minit selepas babak kedua bersambung apabila menjaringkan gol pertama hasil gerakan satu dua menarik dengan Akmal. Gol itu menaikkan semangat anak buah Harris yang semakin kerap mengancam kubu lawan tetapi masih gagal menemui penyudah sehinggalah pada minit ke-82 apabila Akmal turut mencatat nama sebagai penjaring. Gol berpunca daripada lorongan rakan seperguruannya di Perancis, Juzaili Samion yang bijak mengesan kedudukan Akmal yang tidak dikawal dan penyerang utama negara itu menggelecek seorang pertahanan sebelum melakukan rembatan leret yang menerjah bucu kiri gawang Singapura. Singapura terus mengasak tetapi Malaysia mampu bertahan hingga wisel penamat. Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, Sultan Ahmad Shah yang turut menyaksikan perlawanan bagi memberi sokongan moral kepada pemain Malaysia. Malaysia: Mohd Syamsuri Mustafa, Norhafiz Zamani Misbah (Shahril Sharifuddin), Mohd Fadzli Saari, Irwan Fadly Idrus (Ronny Harun), K Rajan, Indra Putra Mahayuddin, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Abd Aziz Ismail, Muhamad Juzaili Samion,Yosri Derma Raju, Mohd Marzuki Yusof (Mohd Norhissham Hassan). Singapura: Hassan Abdullah Sunny, Anuar Shah Mohamed, Baihakki Khaizan, Masrezwan Masturi, Ridhuan Muhamad, Razaleigh Khalik, Syed M Fadhil Al-Yahya, Noh Alam Shah, Shahril Ishak (Sazali Salleh), Mustaqim Ahmed Khan, Sevki Shaban, Hassan Abdullah Sunny. Pengadil: Luong The Tai (Vietnam) p/s:semoga dapat masuk final..
|
|
|
Post by cuak_mengganas on Dec 5, 2003 14:30:39 GMT 8
bagusla atok ni...cuak respek sgt kat atok ni...bagus la atok buat mcm ni...xdela kite ni mcm katak bwh tempurung.btl x.......
|
|
|
Post by atokENSEM on Dec 5, 2003 21:30:08 GMT 8
thanks.... Syed Anaz meninggal dunia
“PEMERGIANNYA amat dirasai semua ahli keluarga kerana arwah tidak menunjukkan sebarang reaksi yang pelik dan melayan kami dengan ramah dan mesra ketika berkumpul meraikan Aidilfitri baru-baru ini,” kata abang kepada penyanyi, Syed Anaz Syed Agil Barakbah, Syed Azhar. Syed Anaz yang terkenal dengan lagu Memori Cinta, meninggal dunia akibat penyakit ketumbuhan di kepala awal pagi semalam. Menurut Syed Azhar, 57, keluarganya masih terkejut dengan pemergian Syed Anaz, 42, kerana adiknya itu kelihatan sihat selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di kepalanya di Hospital Kuala Lumpur (HKL) seminggu sebelum Aidilfitri lalu. Beliau berkata, Syed Anaz meninggal dunia kira-kira jam 1.15 pagi semalam ketika dalam perjalanan ke Hospital Selayang selepas mengadu sesak nafas. “Selepas menjalani pembedahan, Syed Anaz tidak mengalami sebarang masalah kesihatan, bagaimanapun arwah diserang sesak nafas ketika berada di rumahnya di Pantai Hill Park, Kuala Lumpur awal pagi tadi (semalam). “Melihat keadaannya , dua beradik saya, Datin Syarifah Anisah dan Syarifah Sofiah menghubungi ambulans bagi menghantarnya ke Hospital Selayang, namun beliau meninggal dunia dalam perjalanan,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Lorong Menteri, Taman Golf, di sini semalam. Syed Azhar berkata, penyakit yang dihidapi adiknya itu dikesan ketika arwah mengerjakan ibadah haji di Makkah, dua tahun lalu. Ketika di sana, Syed Anaz sering diserang sakit kepala dan pada mulanya menyangka ia cuma migrain. “Selepas balik dari Makkah, arwah membuat banyak pemeriksaan dengan doktor pakar dan mencuba pelbagai jenis ubat tetapi tidak berjaya mengurangkan kesakitan pening kepalanya itu. “Bagaimanapun, selepas membuat pemeriksaan imbasan di kepala baru-baru ini, barulah dikesan arwah mengalami ketumbuhan di kepala dan membuat pembedahan segera dalam tempoh sebulan ini berikutan keadaanya yang semakin serius,” katanya. Beliau berkata, jenazah adiknya itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Alor Merah, di sini selepas solat Asar. Syed Azhar berkata, adiknya yang masih bujang itu sudah lama tidak aktif dalam bidang seni, hanya memberi tumpuan dalam bidang perniagaan milik keluarga seperti produk Nona Roguy. Katanya, kehilangan Syed Anaz yang mempunyai syarikat kosmetik sendiri, Anasis Sdn Bhd di Kuala Lumpur, meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada mereka sekeluarga. “Beliau anak yang manja terutama kepada ibu dan empat kakaknya, pemurah dan penyayang kepada semua orang terutama kepada kanak-kanak, orang tua dan miskin. “Bila balik ke sini, beliau sering memberi bantuan kewangan kepada orang kampung dan membuat majlis kenduri untuk kanak-kanak dan keluarganya,” katanya. Beliau berkata, pada setiap tahun kecuali tahun ini, arwah yang mempunyai seorang anak angkat lelaki berusia dua tahun setengah menganjurkan majlis sambutan hari raya untuk semua sanak saudara dari seluruh negara di sini. “Beliau yang menganjurkan sendiri majlis itu yang dihadiri lebih 500 orang sanak saudara dan membiayainya sendiri sama ada dibuat di rumah sini mahupun di hotel. “Kami semua menghargai usahanya dan akan merinduinya selepas ini kerana beliau adalah cahaya dalam rumah ini,” katanya. p/s: dia ni..laki ke pempuan?
|
|
|
Post by atokENSEM on Dec 5, 2003 21:37:10 GMT 8
Bola Sepak: Harris tilik pengganti ZamaniPEMAIN Malaysia menyejukkan badan di kolam renang semalam.JURULATIH Allan Harris masih belum memutuskanpengganti sesuai mengisi tempat Norhafiz Zamani Misbah dan mahu meneliti keupayaan beberapa calon sebelum membuat pilihan. Harris yang kecewa dengan kehilangan tonggak pertahanannya itu menjelaskan dia memiliki beberapa calon untuk posisi itu tetapi masih mahu menilai keupayaan mereka. Zamani patah jari kecil di kaki kirinya dalam perlawanan menentang Singapura kelmarin dan terpaksa melupakan kempen seterusnya di Sukan Sea XXII ini. “Ketiadaan Zamani satu kehilangan besar kepada skuad negara kerana selain menjadi tonggak di barisan pertahanan, dia juga kapten pasukan. “Saya mempunyai beberapa calon untuk mengisi tempat Zamani. Buat masa ini masih belum memutuskannya kerana mahu menilai keupayaan mereka,” kata Harris ketika ditemui di hotel penginapan skuad negara semalam. Malaysia menewaskan Singapura 2-0 kelmarin untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir yang akan diadakan di Hanoi. Zamani dikeluarkan pada minit ke-36 selepas terhincut-hincut apabila menyelamatkan percubaan penyerang Singapura dan digantikan pemain Pahang, Shahril Sharifuddin. Selain Zamani, dua lagi pemain – K Rajan dan Irwan Fadly Idrus – turut mengalami kecederaan tetapi dijangka sempat pulih untuk perlawanan terakhir kumpulan menentang Myanmar esok. Harris menegaskan walaupun telah mengesahkan tempat ke separuh akhir, dia masih mahu memastikan kemenangan menentang Myanmar kerana ia penting untuk meningkatkan keyakinan dan semangat pemain. Menurutnya, selepas megharungi dua perlawanan setakat ini, persembahan anak buahnya semakin meningkat terutama barisan penyerang yang disifatkannya berjaya menghasilkan penyudah lebih baik. “Daripada dua perlawanan yang kita lalui, kita telah menjaringkan 10 gol dan hanya bolos satu. Ini petanda baik mengenai keupayaan pemain dan saya mahu mereka terus mempamerkan peningkatan. “Walaupun kini sudah layak ke separuh akhir, saya tidak mahu pemain mengambil mudah perlawanan Sabtu ini kerana kita mahu menjadi juara kumpulan,” katanya.
|
|
|
Post by .:.nurisy@*UnpredictablE.:. on Dec 6, 2003 9:11:28 GMT 8
bagus lah atok nie.... jimat duit nuris nak beli paper ari2... dah lah tambang setiap ari ke tpt kerja cekik darah.... hu huh hu
|
|
|
Post by cuak_mengganas on Dec 6, 2003 11:54:42 GMT 8
ape lg berite t'kini....gempak la atok ni...
|
|
|
Post by cuak_mengganas on Dec 6, 2003 13:53:43 GMT 8
to: nurisya
jgn cari pasal nak jmpe atok ensem aluni nanti.....personal? lagila xleh.............atok ensem bwk secial die tau....hehehehe....ap,best x praktikal...m'cabar x...sayang ap
|
|
|
Post by atokENSEM on Dec 6, 2003 20:00:49 GMT 8
;)kesian nye nurisya..pegi keje naik ape?tak leh tumpang kwn ke yg ade kemudahan..ish cuak ni!bwk yg special tu..semestinye lah..tapi rm70 la.. ;)nak jumpa personal..insyaallah..leh! ;D Eksekutif dirogol, bunuh: Kaki, tangan diikat, leher dijerut, mulut disumbat kainNORITTA dibunuh di kondominium Puncak Prima Galleria, Sri Hartamas, semalam.
Mayat Noritta Samsudin, 22, ditemui terbaring di atas katil di bilik tidurnya dengan kedua-dua tangan diikat ke belakang, leher dijerut, mulut disumbat serta kakinya diikat. Difahamkan Noritta menyewa kondominium itu dengan seorang rakan sepejabat, tetapi gadis itu tiada di kediaman berkenaan ketika kejadian. Seorang lagi rakan sepejabat Noritta mendakwa, gadis itu pernah mengadu kepadanya bahawa dia menerima surat layang tiga bulan lalu, yang mengancam untuk membunuhnya. Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Kuzi Minai, berkata mangsa ditemui oleh pemilik kondominium itu, seorang wanita berusia lewat 20-an, sekembalinya daripada berurusan dengan kenalan kira-kira jam 4 pagi. “Ketika memasuki premis berkenaan, dia mendapati pintu bilik mangsa terbuka. Apabila meninjau ke dalam, dia mendapati mangsa berada dalam keadaan berbogel dan terbaring di atas katil bilik tidur itu. “Pemilik kondominium itu kemudian menghubungi polis,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, semalam. Kuzi berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang berasal dari Pokok Sena, Kedah bekerja dengan syarikat pembinaan, Transpro Sdn Bhd di Plaza Pekeliling sejak dua tahun lalu. “Ketika tiba di tempat kejadian, polis mendapati tangan mangsa diikat dengan wayar dan coli, leher dijerut dengan sarung bantal peluk, mulut disumbat dengan kain dan kakinya turut diikat tali. “Mangsa dipercayai dibunuh dalam tempoh dua atau tiga jam. Tiada sebarang kesan tikaman, luka atau dikelar pada tubuhnya. “Hanya kesan pada lehernya mungkin akibat dijerut penyerangnya dengan sarung bantal berkenaan. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat,” katanya. Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis juga menyiasat sama ada mangsa dirogol atau sebaliknya memandangkan ketika ditemui tiada sebarang pakaian pada tubuhnya. “Dalam hal ini saya tidak menolak atau menafikannya. Bagaimanapun kita akan menunggu hasil bedah siasat yang dilakukan pakar forensik HKL. “Begitu juga motif pembunuhan, kita masih kabur. Setakat ini hanya telefon tangan milik mangsa didapati hilang, manakala barang-barang berharga yang lain termasuk wang tunai masih berada di bilik berkenaan,” katanya. Kuzi berkata, maklumat daripada beberapa jiran mangsa mengatakan mereka ternampak seorang lelaki India Muslim keluar dari kediaman berkenaan sebelum pemilik pulang, tetapi mereka tidak tahu apa yang berlaku. “Menurut saksi mereka ternampak seorang lelaki berusia 30-an keluar dalam keadaan tergesa-gesa meninggalkan rumah berkenaan. Namun, mereka tidak tahu apa yang berlaku di situ,” katanya. Polis Brickfields menubuhkan satu pasukan khas dan melancarkan gerakan mengesan lelaki terbabit yang dipercayai masih berada di sekitar Lembah Klang. Orang ramai yang mempunyai maklumat atau terlihat kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasatan Asisten Superintendan Shahrul atau bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di talian 03-22742222. p/s: lawa plak..Noritta Samsudin ni! ;D
|
|