Teman lelaki rakan serumah, wanita direman
Oleh Mohd Azis Ngah
KUALA LUMPUR: Polis menahan reman seorang wanita dan seorang lelaki dipercayai teman lelaki rakan serumah eksekutif pemasaran, Noritta Samsudin yang ditemui mati dibunuh dalam keadaan separuh bogel di kondominium Puncak Prima Galleria, Sri Hartamas, Jumaat lalu.
Wanita itu, yang menyewa sebuah bilik di kondominium berkenaan serta lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan pada hari yang sama mangsa ditemui mati.
Bagaimanapun polis masih menjalankan siasatan mengenai pembabitan mereka dalam pembunuhan itu.
Timbalan Ketua Polis Brickfields, Superintendan Kuzi Minai, ketika mengesahkan penahanan itu berkata, kedua-duanya ditahan bagi membantu siasatan kerana polis memerlukan maklumat daripada mereka berhubung kejadian itu.
“Belum tahu hasil siasatan kerana kami sedang mengumpul maklumat, sebab itu mereka direman untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai latar belakang kedua-dua mereka bagi mengelakkan daripada mengganggu siasatan.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa yang berusia 22 tahun ditemui terbaring di atas katil di bilik tidurnya dengan kedua-dua tangan diikat ke belakang, leher dijerut, mulut disumbat serta kaki turut diikat.
Noritta yang bekerja dengan syarikat pembinaan Transpo Sdn Bhd dan berasal dari Utan Aji, Perlis dikatakan menyewa rumah berkenaan dengan rakan sepejabatnya.
Bagaimanapun, ketika kejadian, teman serumahnya tiada di rumah.
Ditanya kemungkinan polis akan menahan beberapa orang lagi termasuk seorang lelaki yang dikatakan dilihat keluar tergesa-gesa dari rumah berkenaan, Kuzi enggan mengulas lanjut dan berkata:
“Kami masih menjalankan siasatan dan memerlukan banyak maklumat daripada saksi. Kalau perlu kita akan panggil saksi untuk bagi keterangan. Apa yang pasti kami memerlukan maklumat saksi dan ia bergantung kepada keadaan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasatan Asisten Superintendan Shahrul atau bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di talian 03-22742222.
Berdasarkan laporan kakak mangsa, Suhaily, 29, beliau mendakwa adiknya ada memberitahu dia sering diganggu seorang lelaki berketurunan India Muslim yang dikenali sebagai Hanif. Katanya, lelaki itu sangat meminati adiknya dan mahu hubungan mereka diteruskan seperti biasa.
Mengulas mengenai siasatan lanjut ke atas mangsa yang dikatakan turut dirogol sebelum dibunuh, Kuzi berkata beliau tidak boleh membuat sebarang andaian sebelum mendapat laporan daripada pakar yang mengesahkan mangsa dirogol.
“Kita belum tahu, kena tanya dan dapatkan laporan pakar. Hal ini kita serahkan kepada Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk buat pemeriksaan.
“Kami akan tunggu (laporan), tetapi belum tahu bila boleh dapatkan laporan penuh kerana ia (siasatan) memerlukan ketelitian dan ambil masa, tidak boleh buat andaian sesuka hati,” katanya.
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat menyiasat rumah yang terbakar
dan mengorbankan empat sekeluarga di Taman Muhibah,
Saleng, Kulai, semalam. Gambar kecil ialah Rashidah.
KULAI: Seorang ibu muda yang masih dalam pantang selepas bersalin serta tiga anaknya termasuk bayi berusia 25 hari, rentung dalam kebakaran di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Muhibah, Saleng, dekat sini, semalam.
Kejadian yang menyayat hati itu berlaku kira-kira jam 12.45 tengah hari ketika Rashidah Hassan, 23; dan tiga anaknya, Nurul Syafiqa Shafie, dua setengah tahun; Anwar Shahadat, setahun sembilan bulan dan Ahmad Ery Amri dikatakan sedang berehat di dalam bilik tingkat atas rumah berkenaan.
Empat beranak itu dikatakan baru tiba dari Taman Cahaya Masai, Pasir Gudang dan menumpang di rumah dua tingkat milik rakan suami Rashidah, Shafie Abdullah, 28.
Rashidah dikatakan akan memulakan kerja di sebuah kilang, dekat sini tidak lama lagi. Ketika kejadian Shafie pulang ke rumah sewanya di Pasir Gudang untuk membersihkan rumah dan mengambil pakaian isterinya, manakala rakannya keluar bekerja.
Kejadian itu disedari jiran di belakang rumah terbabit yang melihat Rashidah melambaikan tangan dan menjerit meminta tolong sambil menutup mulutnya berikutan asap tebal.
Bagaimanapun, usaha jiran untuk memasuki rumah terbabit dari pintu belakang gagal kerana pintu jeriji berkunci.
Mereka hanya berjaya memasuki rumah terbabit melalui pintu depan selepas dipecahkan.
Namun, api yang terlalu marak dan asap tebal di tingkat bawah rumah itu menggagalkan usaha jiran menyelamatkan mangsa dari luar rumah dan hanya mampu mendengar tangisan serta jeritan meminta tolong.
Penolong Pengarah Penguatkuasa Bomba dan Penyelamat Negeri, Penolong Penguasa Mohamad Tilmizi Johar, berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 1.20 tengah hari berhubung kejadian itu.
"Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kulai dengan lapan anggota dihantar ke tempat kejadian dan api hanya dapat dipadamkan sepenuhnya 10 minit kemudian," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.
Katanya, bomba menemui mayat Rashidah dan anaknya yang berusia 25 hari, Ahmad Ery Amri jam 1.42 tengah selepas dimaklumkan jiran bahawa ada mangsa yang terperangkap di dalam rumah berkenaan.
"Mayat ketiga dan keempat iaitu Nurul Syafiqa dan Anwar Shahadat pula ditemui tiga minit kemudian dan semua mangsa ditemui di dalam bilik yang sama," katanya.
Katanya, ketika ditemui semua mangsa tidak hangus terbakar, tetapi hanya melecur di antara 15 hingga 20 peratus anggota badan mereka.
Difahamkan kejadian dipercayai berpunca daripada litar pintas di dapur berkemungkinan peralatan elektrik rosak. Bagaimanapun, pihak Bomba dan Penyelaamt masih menyiasat terperinci punca sebenar kejadian.
Sementara itu, suasana pilu menyelebungi Rumah Mayat Hospital Kulai apabila Shafie, keluarganya serta keluarga sebelah aruah isterinya yang datang untuk menuntut mayat Rashidah dan tiga anaknya.
Sejurus tiba di rumah mayat, beliau yang sugul dan kelihatan terkejut dengan berita sedih itu menangis kerana kehilangan isteri serta tiga anak tersayang sekali gus.