|
Post by atokENSEM on Mar 25, 2004 12:37:57 GMT 8
Askar Russia bunuh 308,000 orang awam Chechnya
DOHA: Lebih 308,000 orang awam Chechnya mati dalam konflik di wilayah bekas Soviet itu yang berlanjutan hampir sedekad lamanya.
Dalam temuramah eksklusif dengan stesen al-Jazeera, Timbalan Menteri Luar Chechnya yang hidup dalam buangan, Usman Ferzouli berkata, lebih 28 peratus daripada kira-kira sejuta penduduk wilayah itu mati di negara kecil berkenaan.
“Oleh itu, sukar untuk difahami mengapa dunia masih membisu di atas pembunuhan beramai-ramai yang membabitkan satu perempat daripada keseluruhan penduduk Chechnya itu.
“Stalin mungkin seorang manusia yang kejam, tetapi sekurang-kurangnya dia tidak membunuh kami seperti dilakukan 150,000 askar Russia yang bertugas di Chechnya ketika ini,” katanya yang ditemui al-Jazeera, kelmarin sempena lawatan dua harinya ke Qatar.
Kunjungannya itu bertujuan memberi hormat kepada balu Salim Khan Yandarbiyev, bekas presiden Chechnya yang mati Februari lalu selepas sebutir bom meletupkan keretanya yang baru selesai menunaikan solat Jumaat.
Sementara itu, balu Yandarbiyev, Malika berkata, tindakan Russia yang didakwanya membunuh suaminya itu, seharusnya menjadi peringatan di Eropah. – Agensi
“Jika pihak Moscow boleh terlepas selepas melakukan kekejaman itu di Qatar, sudah pasti kerajaan Britain dan Denmark perlu bersedia menghadapi kemungkinan berlaku jenayah sama terhadap wakil Chechnya di jalan raya London atau Copenhagen.
‘Satu-satunya kesalahan suami saya adalah enggan berundur daripada desakan mendapat kemerdekaan sepenuhnya wilayah itu. Dia tidak pernah terbabit dalam sebarang tindakan ganas,” katanya.
Malika turut mengecam sekeras-kerasnya tindakan Moscow melabelkan perjuangan pemisah Chechnya sebagai keganasan, sedangkan hakikatnya askar Russia yang membunuh beratus-ratus ribu wanita dan kanak-kanak tidak berdosa. – Agensi
|
|
|
Post by atokENSEM on Mar 25, 2004 12:43:49 GMT 8
Rantissi ketua Hamas di Gaza
BANDARAYA GAZA: Pemimpin kanan kumpulan Hamas Abdel Aziz Rantissi, 54, dilantik menjadi ketua kumpulan itu di Gaza menggantikan Sheikh Ahmed Yassin yang dibunuh dalam serangan udara Israel Isnin lalu.
Rantissi memberitahu ribuan penyokong Hamas yang berhimpun di stadium bola sepak bahawa beliau terpilih dalam satu pemilihan rahsia.
Satu demi satu pegawai kanan Hamas menyatakan sokongan dan kesetiaan kepadanya, katanya.
Pengumuman itu dibuat sehari selepas Israel membunuh Sheikh Yassin dan beberapa jam selepas Israel mengancam akan membunuh semua pemimpin Hamas sebelum pengunduran mereka dari Gaza.
Dalam ucapan penerimaan jawatan, Rantissi berkata: “Rakyatku, kita perlu bersatu di bawah satu payung untuk menentang Israel,” katanya.
Beliau menegaskan cawangan tentera Hamas akan “mengajar Zionis yang menakluki wilayah kami.”
Rantissi juga menolak gencatan senjata sementara dengan Israel dan sebarang tolak ansur dengan pemimpin Palestin Yasser Arafat. Tindakan agresifnya ini sangat digemari aktivis golongan muda Hamas.
Dalam perkembangan lain kira-kira 25 kereta kebal Israel menceroboh khemah pelarian Khan Younis di selatan Gaza awal pagi semalam, kata penduduk.
Pegawai tentera Israel berkata gerakan tentera Israel itu bertujuan membersihkan kawasan itu daripada pejuang Palestin. Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Kelmarin bot gempur Israel melepaskan tembakan ke arah pantai Gaza dengan mensasarkan bot nelayan dan jeti, kata penduduk. Bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu. – AFP
Dalam masa sama helikopter Israel menyerang kedudukan pejuang Hizbullah di selatan Lubnan menyebabkan dua pejuang Palestin terbunuh dan seorang lagi cedera.
Lewat kelmarin seorang pejuang Palestin terbunuh ketika dia menghampiri satu penempatan Yahudi di Gaza, lapor radio tentera. – AFP
|
|
|
Post by atokENSEM on Mar 25, 2004 12:46:28 GMT 8
Pemisah Kashmir ikrar balas dendam kematian Yassin
SRINAGAR: Kumpulan pejuang Kashmir, Lashkar-e-Taiba, yang menentang pemerintahan India di Kashmir semalam berikrar akan menyerang India sebagai membalas dendam di atas pembunuhan pengasas Hamas Sheikh Ahmed Yassin oleh tentera Israel.
“Kami akan membalas dendam di India lagipun Yahudi dan Hindu adalah musuh kami,” kata seorang jurucakap kumpulan itu yang dipetik akhbar berbahasa Inggeris, Greater Kashmir sebagai berkata.
“Kami akan segera mengadakan mesyuarat panglima perang bagi menentukan cara membalas dendam itu,” katanya.
India dan Isarel menjalin hubungan rapat sejak lewat 1990-an terutama dari segi ketenteraan.
Kerajaan India bagaimanapun berkata ia terkejut dengan serangan helikopter Israel ke atas Sheikh Yassin di Gaza Isnin lalu dan berkata pembunuhan itu akan meningkatkan keganasan di rantau itu.
Lashkar-e-Taiba terbabit dengan beberapa serangan berdarah di Kashmir dan ia juga satu daripada dua kumpulan pejuang yang dituduh India melakukan serangan ke atas Parlimen India di New Delhi pada Disember 2001 yang mengorbankan 15 orang.
Lashkar-e-Taiba dan Jaish-e-Mohammad yang didakwa bertanggugjawab melakukan serangan ke atas Parlimen India ditubuhkan di Pakistan tetapi diharamkan pada Januari 2002 dalam usaha Islamabad menghapuskan kumpulan pelampau Islam di negara itu.
Rakyat Palestin yang menentang Israel menikmati sokongan dan simpati di Kashmir yang mana pemberontakan dilancarkan terhadap pemerintahan India yang mengorbankan ribuan penduduk sejak 1989. – AFP
|
|
|
Post by kuzy on Mar 25, 2004 16:33:50 GMT 8
tu la dlm berita smalam teruka kat sana.. dah pakai meriam besau besau dah...
|
|
|
Post by atokENSEM on Apr 10, 2004 1:37:59 GMT 8
tu la dlm berita smalam teruka kat sana.. dah pakai meriam besau besau dah... nampaknye peperangan dah nak meletus antara org arab dan yahudi..kite berdoalah semoga org islam di iraq dan palestin mahupun di dunia..selamat!
|
|
|
Post by atokENSEM on Apr 18, 2004 13:12:19 GMT 8
AS mahu Abu Bakar ditahan di Guantanamo
JAKARTA: Amerika Syarikat sememangnya mahu memastikan ulama terkenal Indonesia, Abu Bakar Bashir yang juga pemimpin Majlis Mujahidin Indonesia (MMI) diekstradisi ke kem tahanan Washington di Teluk Guantanamo, Cuba seawal-awalnya bulan depan.
Perkhidmatan Islamonline melaporkan semalam, ini didedahkan sendiri seorang pemimpin MMI, Sheikh Ahmad kepada wakil media Arab itu, kelmarin.
“Duta Amerika dan Australia ke Indonesia menggesa pihak polis supaya mengusir Abu Bakar ke Cuba mulai bulan depan,” katanya.
Malah, berita kemungkinan penahanan Abu Bakar di Kem X-Ray, Teluk Guantanamo yang menyaksikan Washington menahan ratusan lelaki Muslim atas dakwaan melakukan keganasan tanpa sebarang perbicaraan, menjadi tajuk utama beberapa akhbar utama Indonesia, kelmarin.
Menurut media tempatan, berita itu kali pertama didedahkan Habib Hussein Al Habsy, pemimpin pertubuhan Islam Ikhwanul Muslimin Indonesia (IMI), yang mendakwa dia mempunyai maklumat sah berhubung perkara itu.
Habib yang dikenakan tahanan rumah di Salemba berkata, duta Amerika, Ralph L Boyce dan duta Australia, David Ritchie juga sudah membincangkan isu itu dengan Ketua Polis Indonesia Jeneral Da'i Bachtiar.
Bachtiar bagaimanapun menyangkal laporan kemungkinan Abu Bakar ditahan di Kem X-Ray itu.
Namun, MMI dalam wawancara dengan IslamOnline, mengesahkan laporan itu dan berkata Abu Bakar sepatutnya dihantar Mac lalu tetapi keputusan mahkamah yang menyebelahi ulama itu mematahkan hasrat Amerika dan Australia.
Pada 1 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Jakarta menolak tuduhan khianat terhadap Abu Bakar selain mengurangkan hukuman penjara daripada empat tahun kepada tiga tahun.
MMI mendakwa syarat-syarat penahanan Abu Bakar secara rasminya tamat pada 30 April ini dan pihak berkuasa penjara tiada sebab untuk terus menahannya.
“Bagaimanapun, pihak berkuasa Amerika, Australia dan Singapura mendesak kerajaan Indonesia dan polis supaya tidak membebaskan Abu Bakar, sebaliknya menghantarnya ke Kem X-Ray, Cuba.” – Agensi
|
|
|
Post by atokENSEM on Apr 18, 2004 13:15:09 GMT 8
Petani perlu guna internet
ROMPIN: Petani di negara ini perlu mengeksploitasi kemajuan bidang sains dan teknologi dalam memperluaskan rangkaian pemasaran hasil pertanian mereka menerusi internet.
Berikutan itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Jamaluddin Jarjis, berkata petani perlu mempelajari kaedah menggunakan komputer bagi memudahkan mereka menembusi pasaran antarabangsa.
Beliau berkata, kerajaan sudah membekalkan kemudahan komputer kepada semua persatuan peladang bagi membantu memudahkan pengurusan pejabat tetapi penggunaan komputer itu perlu diperluaskan supaya ia juga dapat memberi manfaat kepada petani terbabit.
"Dalam zaman moden ini, perkembangan teknologi banyak membantu memudahkan tugas dan sebagai pengeluar sayur, misalnya, mereka boleh memasarkan produk yang dihasilkan menerusi Internet selain memenuhi permintaan pasaran tempatan.
"Jadi, golongan petani perlu berani mencuba sesuatu yang baru dan jika mereka tiada kemahiran menggunakan komputer, ianya boleh dipelajari," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis bercukur rambut membabitkan 45 penyokong Barisan Nasional (BN) dari Felda Keratong 8 dan Keratong 10, dekat sini, petang kelmarin.
Majlis itu diadakan sebagai tanda kesyukuran kemenangan besar BN pada pilihan raya umum lalu. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Keluarga dan Hal Ehwal Wanita; Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Pahang, Datuk Maznah Mazlan.
Jamaluddin berkata, kemudahan komputer yang ada di pejabat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan pejabat penghulu pada masa ini hanya digunakan untuk urusan pentadbiran saja.
Beliau berkata, kemudahan komputer itu perlu digunakan secara meluas dan tindakan memasarkan produk keluaran petani menerusi Internet juga dapat menarik kedatangan lebih ramai pelancong asing ke kawasan berkenaan.
"Saya akan membincangkan kaedah pemasaran bahan pertanian yang dikeluarkan pekebun kecil menerusi Internet pada mesyuarat mingguan Kabinet tidak lama lagi.
"Untuk sementara ini, saya galakkan ahli persatuan peladang di seluruh negara belajar menggunakan komputer sebagai persediaan awal ke arah pelaksanaan program pemasaran produk pertanian menerusi Internet," katanya.
|
|
|
Post by atokENSEM on Apr 18, 2004 13:18:12 GMT 8
Perasuah tiada tempat dalam pentadbiran Pak Lah Oleh Kalimullah Hassan
PADA mesyuarat Kabinet pertama selepas berjaya memimpin Barisan Nasional mencapai kemenangan dalam pilihan raya umum lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberitahu rakan lama dan barunya bahawa beliau mengharapkan mereka supaya sentiasa bertindak dengan jujur.
Sekiranya sepanjang menjalankan tugas ada perkara yang mereka tersilap, beliau berjanji akan berdiri teguh di belakang mereka, demikian yang dikatakan Dr Maximus Ongkili, seorang daripada 14 menteri baru yang dilantik Abdullah ke dalam Kabinetnya, sewaktu mengingati semula detik itu.
Bagaimanapun, jika kesalahan itu dilakukan secara sedar, Abdullah menegaskan, bahawa beliau tidak akan menyebelahi mereka dan menyerahkannya kepada undang-undang.
Inilah yang akan menjadi dasarnya walaupun membabitkan rakan baiknya seperti Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik.
Kenyataan itu menyebabkan Dr Lim melolong ketawa begitu juga di kalangan yang lain, jelas Maximus, tetapi semua anggota pentadbiran barunya sedar akan pendirian Perdana Menteri terhadap rasuah.
Hari berikutnya, mesej yang sama diulang semula pada bahagian lain anggota pentadbiran – pembantu Perdana Menteri, Anggota Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ketua Menteri dan juga Menteri Besar.
Jika masih ada lagi yang menaruh sedikit keraguan terhadap usaha Abdullah menangani gejala rasuah, segala-galanya sudah dibuktikan pada Rabu lalu.
Pada hari berkenaan, seorang rakan karib Abdullah, Datuk Azman Mahalan dituduh di Mahkamah Ipoh atas kesalahan rasuah. Berhubung politik wang membabitkan sejumlah RM7,000.
Politik wang menjadi masalah yang tidak sudah dalam Umno sejak bertahun. Sehinggakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terpaksa merayu, juga menangis pada Perhimpunan Agung Umno 1995 meminta anggota Umno membuang amalan itu dan menganggapnya sebagai perkara keji.
Dalam beberapa kes, laporan mungkin tidak dibuat pada Badan Pencegah Rasuah atau polis. Dalam beberapa kes lain pula, mungkin tiada bukti untuk membawa perkara ini ke muka pengadilan.
Dalam kes Azman, pendakwaraya berasa mereka sudah punya cukup bukti untuk mendakwanya.
Tidak ramai yang tahu hubungan rapat Azman dan Abdullah.
Bekas pegawai Imigresen di Pangkalan Hulu, kampung saya, Azman adalah seorang yang sentiasa ceria dan mudah dibuat kawan.
Adalah sesuatu yang menyukarkan bagi orang seperti saya apabila melihat Azman didakwa kerana beliau adalah rakan baik arwah bapa saya. Ia menjadi lebih sukar bagi Pengarang Kumpulan Berita Harian, Hishamuddin Aun kerana Azman adalah pakciknya.
Walaupun sukar bagi kami untuk melihat gambar Azman disiarkan di muka depan akhbar yang kami kendalikan, ia menjadi lebih sukar kepada Abdullah. Pembantunya memberitahu, peristiwa itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada beliau.
Sewaktu Abdullah disingkir daripada Kabinet pada 1987 kerana menentang Dr Mahathir dalam pilihan raya parti, ramai rakan dan penyokong menjauhkan diri dan memencilkan beliau, walaupun Abdullah terus kekal sebagai Timbalan Presiden Umno.
Pada pilihan raya Umno 1993 yang memperlihatkan pengaruh besar Anwar Ibrahim melebihi segalanya atau sesiapa yang tidak menyokongnya, Azman adalah antara beberapa kerat yang berdiri di belakang Abdullah, walaupun perkara itu bukan sesuatu yang mahu dilakukan semua orang, juga bukannya satu keputusan politik yang dianggap wajar. Beliau menjadi ‘rakan menangis’ pada pandangan Abdullah.
Sewaktu berbincang dengan pembantunya minggu lepas, Abdullah secara tiba-tiba mengeluarkan tiga batang pen dan menyusunnya sebaris di atas meja. Kawan, polisi dan undang-undang - inilah yang digambarkan bagi setiap batang pen. Katanya kepada pembantunya, ketiga-tiga ini tidak sama, menunjukkan bahawa tidak ada apa yang boleh beliau lakukan.
“Beliau adalah rakan, rakan sejati saya,” sesalnya.
Sebelum pilihan raya umum lalu, Pengerusi DAP, Lim Kit Siang menanyakan pandangan saya sebagai orang surat khabar terhadap keseriusan Abdullah dalam menghapuskan gejala rasuah.
Saya katakan bahawa beliau serius. Sangat serius sehinggakan kawannya juga takut untuk melepasi garisan itu kerana mengetahui tidak akan ada pembelaan terhadap mereka.
Sewaktu menteri Kabinet, Tan Sri Kasitah Gaddam bertemu Abdullah sebelum beliau dituduh rasuah pada Februari lalu, Perdana Menteri meminta beliau membersihkan namanya di mahkamah.
Dalam kes Azman, Abdullah berdoa supaya rakannya itu dapat membuktikan bahawa beliau tidak bersalah.
Doa juga akan menjadi satu-satunya pertolongan yang boleh diharapkan oleh anggota Kabinet Abdullah serta mereka yang terbabit dalam pentadbiran sekiranya disabitkan dengan sebarang salah laku.
|
|
|
Post by atokENSEM on Apr 18, 2004 13:21:13 GMT 8
BPR hanya laksanakan tugas: PM Oleh Ridzuan Yop
KUALA LUMPUR: Tindakan Badan Pencegah Rasuah (BPR) menahan pihak tertentu termasuk ahli politik dan korporat yang terbabit dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah tidak ada kena mengena dengan usaha menonjolkan imej bersih kerajaan, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Perdana Menteri berkata, pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR) hanya melaksanakan tugas mereka sebagaimana yang diamanahkan dan tidak ada kaitan bagi menunjukkan kepada rakyat mengenai imej baik kerajaan.
Beliau berkata, tugas BPR itu akan diteruskan dan rakyat akan melihat sendiri betapa serius pegawai BPR bekerja.
“Mereka (BPR) menjalankan kerja dengan membuat siasatan apabila menerima laporan dan jika bersabit kesalahan dan difikirkan orang yang disiasat perlu dibawa ke mahkamah untuk diadili maka mereka dikenakan tindakan dan saya berpuashati dengan tugas yang terbaik mereka lakukan.
“Kita tidak perlu tangkap orang itu dan ini semata-mata mahu menunjukkan imej kerajaan yang baik kerana ia adalah tugas BPR,” katanya ketika diminta mengulas berhubung penahanan beberapa orang kenamaan sejak akhir-akhir ini yang terbabit dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Hari Keluarga Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bersama Perdana Menteri, di Akademi Pencukaian Negara, di Bangi, semalam.
BPR sebelum ini bertindak menahan beberapa tokoh perniagaan dan politik termasuk bekas Pengarah Urusan Perwaja Rolling Mill and Developments Sdn Bhd, Tan Sri Eric Chia kerana melakukan pecah amanah RM76.4 juta.
Kemudian diikuti Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gaddam kerana menyalahgunakan kuasa ketika menjadi Pengerusi Eksekutif Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah pada 1996.
Rabu lalu, Ketua Penaja Umno Bahagian Tapah, Datuk Azman Mahalan, 62, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh, atas dua tuduhan rasuah berkaitan politik wang membabitkan RM7,000, tiga tahun lalu.
Kelmarin, bekas Exco Kerajaan Selangor, Datuk Mohd Shariff Jajang ditahan atas tuduhan menyalahguna kedudukan untuk memperakukan Lesen Menduduki Sementara tanah seluas 1.2141 hektar tanah di Bandar Baru Salak Tinggi kepada syarikat yang dia mempunyai kepentingan.
Abdullah berkata, dalam setiap siasatan ia perlu dilakukan dengan rapi dengan bermatlamatkan keadilan.
“Dalam hal ini (siasatan), kadang-kadang ia ambil masa agak lama dan kadang-kadang kes diselesaikan dengan cepat tapi matlamat utama adalah untuk mencapai keadilan dan prinsip itu mesti dipegang kuat,” katanya.
Ditanya mengenai kemungkinan ada lagi orang kenamaan yang akan ditahan, Abdullah berkata, beliau tidak tahu kerana tidak ada senarai nama mereka yang terbabit atau yang bakal ditahan.
Berhubung kontroversi pelantikan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP), Abdullah berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Samsudin Osman untuk menyelesaikannya.
Kontroversi jawatan YDP MPSP timbul apabila terdapat dua nama iaitu Pegawai Daerah Seberang Prai Utara (SPU) Datuk Ab Ghani Ariffin dilantik melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), manakala Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pembangunan), Md Aris Ariffin dilantik oleh Kerajaan Negeri.
Mengenai cadangan agar dua jawatan tertinggi Umno iaitu Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan Umno akan datang, Abdullah berkata, belum ada sebarang cadangan dibuat mengenai perkara itu.
“Bagi saya ada kebaikannya (tidak ada pertandingan), tapi susah nak cakap pasal saya terbabit nanti orang kata dia nak bagi diri dia selamat. Ini semua saya serahkan pada Umno dan apa terbaik untuk parti,” katanya.
Mengenai kegiatan jenayah yang dilakukan pelancong asing di negara ini, Abdullah berkata, jika didapati bersalah mereka akan dikenakan hukuman mengikut undang-undang negara ini.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan tidak mahu melaksanakan peraturan yang ketat membabitkan pelancong asing memasuki negara ini kerana ia tidak adil bagi pelancong lain yang berniat baik semata-mata mahu melawat tempat menarik di Malaysia.
|
|
|
Post by atokENSEM on Apr 18, 2004 13:24:30 GMT 8
YPJM buat siri seminar bagi guru penasihat
KUALA LUMPUR: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) akan mengadakan beberapa siri seminar kepada guru penasihat sekolah mengenai usaha menangani masalah gangsterisme pada peringkat sekolah mulai bulan depan.
Naib Pengerusi YPJM, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, seminar itu membabitkan 360 guru dalam enam zon di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, mulai pertengahan Mei depan.
“Seminar dua hari itu memberi pendedahan kepada guru penasihat ini mengenai senario salah laku jenayah membabitkan remaja. Ia juga membantu pihak sekolah menghidupkan semula kelab pencegahan sekolah.
“Seminar ini juga akan membantu guru penasihat akan aspek pengurusan kelab dan merancang aktiviti bagi mencapai matlamat penubuhannya. YPJM akan bertindak sebagai penasihat kepada kelab berkenaan,” katanya pada sidang media Mesyuarat Agung Ke-11 YPJM di Bukit Aman di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi YPJM yang juga Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Omar, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Musa Hassan, Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia, Datuk Kamaruddin Md Ali.
Beliau berkata, pada seminar itu beberapa penceramah yang pakar dalam bidang masing-masing berhubungan pencegahan jenayah akan membentangkan beberapa kertas kerja. Mereka termasuk penceramah dari Kementerian Pelajaran, YPJM dan badan bukan kerajaan (Ngo).
“Maklumat dan input yang diperoleh daripada seminar berkenaan akan digunakan guru penasihat sekolah menjalankan aktiviti kelab pencegahan jenayah di sekolah masing-masing apabila pulang ke lokasi masing-masing,” katanya.
Beliau berkata, Zon Utara membabitkan Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak, Zon Tengah (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor), Zon Selatan (Johor, Melaka dan Negeri Sembilan) manakala Zon Timur pula membabitkan Pahang, Kelantan dan Terengganu.
“Seminar ini membabitkan perbelanjaan bernilai RM80,000 dan akan ditaja oleh YPJM. Malah, yayasan juga akan mengeluarkan geran bernilai RM100 untuk menghidupkan kembali setiap kelab pencegahan yang tidak aktif di seluruh negara,” katanya.
Kini terdapat 1,500 kelab pencegahan jenayah peringkat sekolah menengah di seluruh negara dan hampir 70 peratus tidak aktif.
Langkah menghidupkan kembali kelab berkenaan menjadi keutamaan YPJM lebih-lebih lagi dalam menangani kes buli membabitkan pelajar sekolah semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini.
Kajian polis juga mendapati terdapat 259 sekolah menengah bermasalah di seluruh negara di mana pelajarnya didapati berlagak sebagai samseng serta pembuli kepada rakannya yang lemah.
Lee berkata, YPJM juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran dalam membincangkan bagaimana yayasan ini boleh memainkan peranan lebih aktif terutamanya memberikan pengetahuan cara kaunseling yang betul kepada guru-guru penasihat berkenaan.
Sementara itu dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Ke-11 YPJM, Bakri berkata yayasan itu mewujudkan lapan jawatankuasa dalam memperkemaskan aktiviti serta merealisasikan objektif penubuhannya.
Jawatankuasa yang diwujudkan membabitkan Pengurusan, Perhubungan Awam dan Kempen, Dana, Pentadbiran, Operasi dan Kewangan, Penyelidikan dan Penerbitan, Kejiranan Selamat, Kelab Pencegahan Jenayah serta Penyelarasan Projek.
YPJM juga melaksanakan 302 aktiviti sepanjang tahun lalu di seluruh negara dan 23 dianjurkan YPJM Pusat serta selebihnya peringkat negeri.
Pada mesyuarat kali ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dikekalkan sebagai Pengerusi. Begitu juga dengan Mohd Bakri sebagai Timbalan Pengerusi; sementara Lee Lam Thye, Datuk Henry Chin dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mohd Sedek Mohd Ali dilantik sebagai Naib Pengerusi YPJM bagi sesi 2004/2005.
|
|
|
Post by atokENSEM on Apr 18, 2004 13:28:56 GMT 8
Pengharaman lagu Melayu istilah Inggeris disiasat
KOTA BHARU: Menteri Penerangan, Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir akan menyiasat mengenai laporan pengharaman lagu Melayu yang mempunyai istilah Inggeris dalam liriknya daripada disiarkan di RTM.
"Saya pun hairan dan ini tentu ada kekeliruan. Saya akan siasat dan perbetulkan. Saya yakin lagu itu diharamkan bukan disebabkan ada perkataan atau istilah Inggeris tetapi mungkin berbaur lucah.
"Saya baru lagi dalam kementerian ini dan tidak tahu menahu mengenai perkara ini. Saya pun tidak setuju jika diharamkan hanya kerana beberapa istilah Inggeris, kalau sikit-sikit (istilah Inggeris) digunakan tidak ada masalah terutama ketika kita kini berada di dunia tanpa sempadan," katanya selepas mesyuarat dengan pegawai kanan agensi di bawah Kementerian Penerangan di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan kemungkinan lagu Madu Tiga yang dipopularkan Tan Sri P Ramlee diharamkan RTM berikutan liriknya mempunyai istilah Inggeris.
Kelmarin, akhbar melaporkan pengharaman ini dibuat berikutan arahan terbaru Kementerian Penerangan tidak membenarkan lagu Melayu yang mempunyai lirik berbahasa Inggeris disiarkan RTM.
Ini kerana, lagu itu yang dipopularkan menerusi filem Madu Tiga mempunyai lirik I Love You.
Sebelum ini, beberapa lagu Melayu turut digam oleh RTM berikutan arahan yang sama, antaranya, lagu Seksis dan Diva oleh Anita Sarawak; Tipah Tertipu (Ruffedge); Alhamdulillah (Too Phat) dan Bade (KRU).
Mengulas sama ada lagu yang digam RTM itu boleh disiarkan semula, Abdul Kadir berkata pihaknya akan mengkaji semula sama ada ia mempunyai unsur lucah atau sebaliknya.
Terdahulu, beliau berkata pihaknya akan menyelaraskan tugas yang dijalankan agensi di bawah kementerian itu supaya ia tidak bertindih.
"Jabatan Penerangan akan terus berfungsi menyebarkan maklumat dengan memberi penerangan kepada masyarakat supaya dapat membantu mengubah pemikiran bagi membolehkan mereka maju tanpa bergantung kepada kerajaan negeri," katanya.
|
|
|
Post by atokENSEM on May 6, 2004 16:20:43 GMT 8
.:: Tidur Siang. Pandangan Islam dan Saintifik ::.
Tidur siang pernah dianggap sebagai salah satu tanda kemalasan. Islam menganggapnya sebagai suatu kebaikan asalkan seseorang itu tidak berlebih-lebihan dengannya.
Di dalam kitab 'Misykatul Masabih' disebutkan tentang salah satu amalan sunnah yang pernah dilakukan oleh Nabi:
"Tidur yang sedikit di waktu tengahari (qailulah) tidaklah keji. Rasulullah ada melakukannya."
Imam Al Ghazali di dalam kitab 'Ihya Ulumuddin' telah berkata: "Hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur di siang hari kerana ianya membantu ibadah di malam hari sebagaimana sahur membantu puasa di siang hari. Sebaik-baiknya ialah bangun sebelum tergelincir matahari untuk solat zohor."
Islam mempunyai pandangan tertentu tentang tidur tengahari. Ia dianggap sebagai sunnah dan bukan sebagai suatu yang keji. Tidurnya hanya sekejap. Tujuannya adalah untuk kesegaran tubuh badan agar dapat dimanfaatkan untuk melaksanakan amal dan ibadah yang berkualiti. Dewasa ini, berpandukan kajian-kajian saintifik, tidur sekejap di waktu siang (day napping), terutamanya pada waktu tengahari, didapati amat berkesan untuk mempertingkatkan tenaga, tumpuan dan akhirnya produktiviti pekerja-pekerja.
Baru-baru ini satu kajian 25 tahun tentang kesan tidur ke atas negara-negara industri dan pasca-industri telah mendapati bahawa "92.5% pekerja-pekerja yang berkesempatan tidur di waktu tengahari, mempunyai daya kreativiti yang lebih tinggi. Daya kemampuan mereka untuk menyelesaikan masalah juga meningkat. Semua ini pastinya meningkatkan produktiviti." (Napping News: 'Scientific Proof Confirms: Napping Enhances Worker Productivity,' from eFuse)
Waktu tengahari merupakan masa yang paling sesuai untuk tidur seketika kerana sistem badan kita memang bersedia untuk memanfaatkan fasa tidur pada waktu itu. Fasa ini disebutkan sebagai 'a midafternoon quiescent phase' atau ' a secondary sleep gate.' Di antara tokoh-tokoh yang menggalakkan tidur tengahari ini ialah Dr. William A. Anthony, Ph.D. dan Camille W. Anthony, pengarang buku 'The Art of Napping at Work.'
Demikian juga yang disebutkan oleh David F. Dinges dan Roger J. Broughton di dalam buku mereka 'Sleep and Alertness: Chronobiological, Behavioural and Medical Aspects of Napping.' Dr. James Maas, pakar tidur dari Cornell University juga telah merumuskan bahawa tidur di tengahari sekadar 15-20 minit sudah mencukupi untuk mengembalikan tenaga dan menjaga kesihatan. Seorang pengkaji yang lain, Donald Greeley, telah mengatakan bahawa tidur tengahari adalah bermanfaat selama mana ianya tidak melebihi satu jam. (Gail Benchener: 'Parents and Sleep Deprivation,' Family.com)
Sunnah tidur tengahari yang diajarkan Nabi rupa-rupanya merupakan suatu yang amat saintifik lagi relevan pada hari ini.
(Laporan saintifik tentang kelebihan tidur tengahari ke atas produktiviti berdasarkan kajian 25 tahun)
|
|
|
Post by atokENSEM on May 13, 2004 10:43:09 GMT 8
Kepala Noritta berbungkus: Mayat ditutup selimut di dalam bilik tidur: Saksi
KUALA LUMPUR: Kepala Noritta Samsudin berbungkus dengan sarung bantal, manakala badannya ditutup dengan sehelai selimut ketika dia ditemui mati dalam bilik tidurnya di Kondominium Puncak Prima Galleria pada awal pagi 5 Disember lalu.
Selain itu, Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu, ada suara wanita menjerit di beranda tingkat tujuh sebelum mayat eksekutif pembangunan perniagaan itu ditemui.
Pengawal keselamatan Kondominium Puncak Prima Galleria, Sri Hartamas, Thanabalan Kobal memberitahu mahkamah, beliau mendengar teman serumah mangsa, Nor Azora Abdul Hamid, yang berdiri di beranda itu menjerit ‘ada orang lari, ada orang lari’.
Thanabalan, saksi pendakwa ke-11 itu yang menjadi antara orang paling awal menemui mayat Noritta, berkata sebelum sempat beliau ke kediaman Azora di unit D-7-1, wanita itu turun ke tingkat bawah bersama teman lelakinya, Kenneth Michael Yap Teik Huat.
“Mereka bertanya sama ada saya ternampak seseorang melarikan diri melalui pintu utama di depan pondok pengawal keselamatan. Saya menjawab tidak nampak sesiapa dan selepas itu Yap menyuruh saya mengikut dia pergi ke unit berkenaan.
“Saya dan Yap menaiki satu lif manakala Azora menaiki lif lain untuk ke tingkat tujuh,” katanya menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Stanley Augustin pada hari kelima perbicaraan kes pembunuhan Noritta.
Jurutera Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Hanif Basree Abdul Rahman, 36, dituduh membunuh Noritta, 22, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, di No D-7-1 Kondominium Puncak Prima Galleria, Sri Hartamas, antara jam 1 hingga 4 pagi 5 Disember lalu.
Thanabalan yang menyambung keterangannya semalam, terpaksa melalui sesi soal jawab panjang dengan pendakwa dan peguam bela berikutan beliau adalah antara saksi penting dalam perbicaraan kes itu.
Malah, pada satu ketika, sesi pemeriksaan balas terhadap saksi itu oleh peguam bela tertuduh, V Sithambaram agak tegang apabila peguam itu tidak puas hati kerana soalan diajukan beliau sering dibantah oleh Stanley.
Hakim Datuk Abdull Hamid Embong terpaksa menenangkan mereka dan membenarkan peguam bela itu meneruskan soalannya kepada saksi.
Bagaimanapun, apabila Sithambaram terus merungut mengenai gelagat timbalan pendakwa raya, Abdul Hamid dengan nada tegas berkata: “Ok teruskan soalan. Tanya... tanyalah.”
Menceritakan lebih lanjut mengenai kejadian pada awal pagi itu, Thanabalan berkata, beliau berada dalam pondok pengawal keselamatan apabila mendengar suara seorang wanita menjerit dari arah blok D yang terletak bertentangan pondok itu.
Beliau kemudian melihat dari bawah blok bangunan itu dan ternampak Azora sedang berdiri di beranda unit rumah D-7-1 di tingkat tujuh sambil menjerit.
Katanya, beliau kemudian pergi ke unit kediaman berkenaan untuk melakukan pemeriksaan kira-kira jam 4.15 pagi dan melihat mangsa terbujur di atas tilam dalam keadaan terbaring dengan muka menghadap ke tilam, manakala kedua-dua tangan terikat ke belakang.
Stanley: Kamu masuk unit kondominium itu?
Thanabalan: Ya
Stanley: Apa yang kamu lihat?
Thanabalan: Saya lihat di ruang tamu tapi tak nampak apa-apa, saya lihat pula di bilik tidur pertama, juga tak nampak apa-apa dan satu lagi bilik tidur di sebelah kiri, saya nampak sesuatu bertutup dengan selimut.
Stanley: Apa yang kamu nampak di atas katil?
Thanabalan: Saya nampak lebih kurang seperti mayat. Kepalanya bertutup dengan sarung bantal.
Stanley: Adakah mayat itu ditutup?
Thanabalan: Ya
Stanley: Tutup dengan apa?
Thanabalan: Selimut
Stanley: Selepas itu apa yang berlaku?
Thanabalan: Saya lihat Encik Yap panggil nama perempuan itu.
Stanley: Apa nama yang dia panggil?
Thanabalan: Ita
Stanley: Selepas itu?
Thanabalan: Encik Yap membuka ikatan sarung bantal di leher di mati.
Saksi itu memberitahu mahkamah, ketika itu beliau sudah memasuki bilik mangsa bersama Yap dan hanya berdiri sambil memerhati berhampiran pintu bilik berkenaan.
Katanya, beliau nampak Yap membuka ikatan sarung bantal pada leher Noritta dan kemudian menarik selimut yang menutup badan mangsa sehingga paras pinggang dan mendapati kedua-dua tangan wanita itu terikat ke belakang.
Beliau kemudian keluar dari bilik mangsa bersama Yap dan sejurus kemudian lelaki itu menghubungi polis dengan menggunakan telefon bimbitnya untuk memaklumkan kejadian itu serta meminta sebuah ambulans dihantar ke kondominium berkenaan.
“Beberapa minit kemudian, seorang lelaki Eropah tiba di rumah berkenaan dan memasuki bilik tidur Noritta bersama Yap. Saya tidak ikut masuk ke bilik kerana mereka menutup pintu dan saya tidak tahu apa yang berlaku di dalam bilik,” katanya.
Stanley: Selepas itu apa berlaku?
Thanabalan: Beberapa minit kemudian, Yap keluar dan bertanya saya, boleh tak saya tiup mulut si mati. Saya bagi tahu, saya tak boleh.
Stanley: Selepas itu?
Thanabalan: Selepas itu Yap suruh saya keluar dari situ.
Pengawal keselamatan itu berkata, ketika meninggalkan rumah berkenaan, beliau nampak Azora menangis di ruang tamu sambil bercakap dengan seseorang menerusi telefon bimbit.
Beliau juga memberitahu mahkamah, sebelum kejadian itu beliau melihat Azora berjalan masuk ke kondominium itu sambil diekori Yap kira-kira jam 4 pagi.
Menjawab soalan pendakwa, Thanabalan berkata, beliau menghubungi seorang lagi pengawal keselamatan, Suzaki Supok, yang meronda di kawasan berhampiran kolam renang kondominium itu melalui walkie-talkie pada kira-kira jam 4.15 pagi untuk memberitahu mengenai kejadian berkenaan sejurus selepas mendengar Azora menjerit.
“Saya bagi tahu dia, saya dengar orang menjerit mengatakan ada orang lari, ada orang lari dari unit D-7-1 dan memintanya datang ke pondok pengawal secepat mungkin dan mencari orang yang lari itu,” katanya.
Ketika disoal balas oleh Sithambaram selepas itu saksi berkenaan berkata, beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang kawalan keselamatan kerana pernah bertugas sebagai pengawal keselamatan selama kira-kira 30 tahun, termasuk di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Beliau akan menyambung keterangan apabila perbicaraan bersambung hari ini.
|
|
|
Post by KomOt on May 21, 2004 15:31:44 GMT 8
> > Selama 7 hari saya menjaga bapa saya yang tenat di hospital HUSM Kubang > > Kerian, Kelantan dari 27 hingga 3 April 2004. Dalam hari penjagaan >ayah, > > saya dikhabarkan anak sepupu saya pula jatuh pokok menyebabkan >tulangnya > > belakangnya patah dan keretakan, dimasukkan ke HUSM. Bezanya..berlainan > > wad. > > > > Bila ayah tidur, saya sempat menjengah anak sepupu saya yang ketika itu > > masih tidak sedar..tetapi yang menyayat hati saya..dan yang menyentuh > > perasaan saya apabila saya terpandang seorang remaja yang badannya >terlalu > > kurus..kepala besar..tiada kaki...di temani bapanya..pilu hati saya. > > Apatah > > lagi katilnya hanya bersebelahan dengan anak sepupu saya. > > > > Semalaman saya menjaga ayah, fikiran saya terkenangkan remaja itu. Hati > > saya benar-benar terusik dan ingin tahu apa penyakit yang ditanggung >oleh > > remaja itu. Keesokan hari, setelah segala pengurusan untuk telah > > dibuat..saya terus ke wad Zamrud HUSM..tengok anak sepupu saya..dan >saya > > terus bertanya dengan berhati-hati supaya tidak menyinggung perasaan > > remaja > > itu serta bapanya. > > > > Tergenang air mata saya bila diberitahu remaja yang dikenali Adik Nasir > > Bin > > Ahmad menanggung cancer tulang yang sudah peringkat kritikal. >Teringatlah > > saya kepada arwah Kushairi (anak kawan saya) juga mengalami cancer > > tulang..ketika berusia 12 tahun. Juga kakinya dipotong.. Terkenang pada > > rakan baik saya arwah Radhiah akibat barah payudara dan juga arwah >Ismadi > > akibat barah paru-paru... > > > > Berbalik pada pada adik Nasir Ahmad..ketika saya lihat..bagaimana >payahnya > > beliau untuk menelan sebiji makanan sungguhpun sehalus nestum kerana >barah > > telah menyerang paru-paru beliau. Anak yatim yang baru kehilangan > > ibunyapada 20/6/2003 kerana Lukemia. Adik-beradik seramai 4 >orang..masih > > bersekolah terpaksa ditinggalkan di Alor Setar kerana ayahnya terpaksa > > menjaga Nasir. Begitu juga ayah Nasir hanya bekerja sendiri sebagai >buruh > > kontrak.. Nasir berasal Kuala Kedah. Ayahnya terpaksa berulang- alik >dari > > Alor Setar dan Kubang Kerian, Kelantan untuk menjaga dan mendampingi > > Nasir, > > anak sulungnya. > > > > Nasir tidak sempat mengambil SPM...dan beliau `diconfirmkan' oleh >doktor > > bahawa beliau menghidap cancer tulang semasa berumur 17 tahun pada > > 23/3/2003 sehingga kini beliau terpaksa menjalani kemotherapi dan kini > > beliau di peringkat `advance'. Adik Nasir adalah bekas pelajar SMK > > Seberang > > Perak, Alor Setar. Beliau diarahkan oleh Hospital Alor Setar untuk > > mendapat rawatan di HUSM Kubang Kerian kerana hospital ini sahaja > > mempunyai > > PAKAR BARAH TULANG. > > > > Berminat bermain bola sepak. Akibat jatuh semasa bermain bola sepak, >kaki > > kanannya patah terus tidak sembuh dan akhirnya Nasir terpaksa akur pada > > keputusan doktor bahawa dia dihidapi BARAH TULANG. Kaki kanannya >terpaksa > > dipotong untuk mengawal sel-sel barah dari terus menyerang ke bahagian > > organ lain. Luluh dan pilu hati Nasir apabila mengenangkan >nasibnya..ibu > > pesakit lukemia..dia pesakit barah tulang. > > > > Kepada rakan-rakan yang sudi untuk menghulurkan sumbangan ikhlas, >Alamat > > tempat tinggal : > > 2260 Lorong Masjid, Tambak Bunga, > > Jalan Kuala Kedah, Alor Setar. > > > > Rakan-rakan juga boleh menghubungi di talian 012-5898254. Rakan-rakan >juga > > boleh menghubungi WAD ZAMRUD ARAS 2 HUSM Kubang Kerian Kelantan untuk > > mendapat maklumat yang lebih lanjut serta kepastian.
|
|
|
Post by KomOt on May 24, 2004 0:07:14 GMT 8
Penduduk Ramadi sifatkan tentera AS kejam
RAMADI, Iraq 21 Mei - Mangsa-mangsa yang terselamat dalam serangan udara tentera Amerika Syarikat (AS) di Kampung Mukaradeeb, Ramadi kelmarin menganggap insiden itu sebagai isyarat jelas kekejaman AS terhadap penduduk Iraq.
Menurut mereka, dakwaan bahawa vila yang diserang itu merupakan tempat persembunyian gerila Iraq adalah tidak berasas kerana para penduduk kampung baru menghadiri majlis perkahwinan sejurus sebelum serangan tersebut.
Seorang mangsa, Haleema Shihab, 30 berkata, dia dan para penduduk terdengar dengungan pesawat pada pukul 10.30 malam iaitu ketika para tetamu mula pulang ke rumah masing-masing.
``Pengeboman itu bermula pada pukul 3 pagi dan kami semua yang berada di dalam rumah itu terpaksa berlari keluar tetapi ditembak oleh askar- askar AS,'' kata Haleema yang sedang terbaring di wad hospital di Ramadi.
Haleema adalah menantu perempuan keluarga Rakat iaitu pemilik vila yang menjadi sasaran serangan askar-askar AS malam kelmarin. Katanya, beliau berlari sambil mendukung anak perempuannya, Khalood Mohammed sementara dua anak lelakinya, Ali dan Hamza turut berlari untuk menyelamatkan diri.
Bagaimanapun kata Haleema, tembakan yang dilepaskan oleh askar AS telah mengenai kaki dan lengan kanannya dan menyebabkan dia terjatuh ke dalam lumpur.
``Saya melihat Ali dan Hamza terkorban akibat tembakan tentera AS sewaktu seorang askar datang ke arah saya dan menyepak saya.
``Saya terpaksa berpura-pura mati agar dia tidak menembak saya sementara anak kecil saya, Khalood dibiarkan hidup,'' kata Haleema yang kesemua jarinya mempunyai kesan inai yang masih baru iaitu bukti bahawa majlis perkahwinan baru berlangsung di situ.
Suaminya, Mohammed yang merupakan anak sulung keluarga Rakat, turut terbunuh dalam serangan itu.
Cerita beliau turut diakui oleh saksi lain yang mengatakan vila milik keluarga Rakat musnah akibat dibom bertubi-tubi oleh askar AS. Selain Haleema, dua lagi adik iparnya, Moaza Rakat, 12 dan Iqbal Rakat, 15 yang kaki kirinya terpaksa dipotong akibat cedera parah turut berada di hospital itu.
Serangan ke atas kediaman keluarga Rakat menyebabkan 42 nyawa terkorban, kata Pengarah Hospital Al-Qaim di Ramadi, Hamdi Noor al- Alusi.
Antara terbunuh ialah 27 anggota keluarga besar Rakat, tetamu-tetamu majlis perkahwinan serta beberapa orang ahli kumpulan muzik termasuk penyanyi terkenal di wilayah selatan, Hussein al-Ali.
Menurut Dr. Hamdi, 11 daripada mangsa yang terbunuh terdiri daripada wanita sementara 14 lagi ialah kanak-kanak.
Seorang jiran Haleema, Ma'athi Nawaf, 55, berkata, kegembiraan seluruh penduduk kampung pada majlis perkahwinan itu berakhir dengan tragedi menyayat hati.
``Benda pertama yang dibom oleh askar-askar AS ialah khemah yang didirikan di depan rumah tersebut.
``Mereka kemudiannya menembak ke arah rumah itu dan orang-orang yang berada di luar rumah berkenaan,'' kata Ma'athi sambil memberitahu beberapa buah kenderaan perisai turut terlibat dalam serangan itu. Kata Ma'athi, anak perempuannya, Fatima, 25 serta dua orang anak lelaki beliau, Raad, 4 dan Raed, 6 turut terkorban.
Sementara itu, Komander Divisyen Pertama Marin AS, Mejar Jeneral James Mattis yang mempertahankan serangan itu berkata, adalah mustahil untuk mengadakan majlis kenduri di kawasan kampung di padang pasir yang terletak sejauh 130 kilometer dari bandar.
``Saya tidak fikir kami perlu memohon maaf kerana melancarkan operasi itu,'' tegasnya.
|
|