3 maut di Tol JelapangREMUK: Bahagian depan trailer baja hancur selepas merempuh
trailer gula kira-kira 200 meter dari Plaza Tol
Jelapang ke arah selatan, pagi semalam. Dalam nahas
kira-kira jam 3 pagi itu pemandu,
kelindan dan seorang penumpang trailer baja dari
Butterworth, Pulau Pinang menuju Kuala Lumpur,
terbunuh. Pemandu dan kelindan trailer
gula pula terselamat. Plaza Tol
Jelapang adalah kawasan yang sering
berlaku kemalangan akibat cerunnya
yang curam sebelum plaza tol itu.
– Gambar oleh Ikhwan Munir
IPOH: Tiga lelaki terbunuh apabila trailer mereka merempuh sebuah trailer lain yang diletakkan tidak jauh dari Plaza Tol Jelapang (arah ke selatan), di sini pagi semalam.
Trailer terbabit yang membawa baja dan dipercayai mengalami kerosakan brek, baru saja menuruni bukit sebelum melungsur laju serta melepasi lorong enam kaunter tiket Smart Tag di plaza tol berkenaan.
Bagaimanapun, selepas kira-kira 200 meter melepasi plaza tol itu pemandunya dikatakan cuba mengelak sebuah kenderaan di sebelah kiri yang keluar dari persimpangan Chemor, tetapi gagal mengawalnya sebelum merempuh belakang trailer yang membawa muatan gula.
Plaza Tol Jelapang adalah kawasan yang sering berlaku kemalangan akibat cerun curam sehingga kerajaan bercadang menutup dan memindahkannya ke kawasan lain bagi mengelak banyak lagi nyawa terkorban.
Cadangan itu bagaimanapun terpaksa ditangguhkan berikutan pemindahan dan pembinaan plaza tol baru memerlukan peruntukan besar.
Mereka yang terkorban ialah pemandu trailer membawa baja dikenali sebagai A Pancanathan, 40, dari Brickfields; penumpangnya, L Saravanan, 17, dari Taman Selasih, Kulim, Kedah dan kelindan trailer yang masih belum dikenal pasti identitinya berusia 20-an.
Pemandu dan kelindan trailer gula yang dalam perjalanan dari Prai ke Pelabuhan Klang tidak mengalami sebarang cedera.
Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam negeri, Superintendan Hamza Taib, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 3.05 pagi apabila trailer yang membawa muatan baja itu dalam perjalanan dari Butterworth ke Kuala Lumpur.
"Sebaik menuruni bukit selepas terowong Menora, trailer itu mengalami kerosakan brek dan terus merempuh tiang serta papan tanda di lorong kaunter Smart Tag di plaza tol itu sebelum bergerak sejauh 200 meter ke hadapan.
"Trailer itu kemudian dikatakan cuba mengelak sebuah kenderaan dari sebelah kiri sebelum merempuh belakang sebuah trailer lain yang diletakkan di bahagian kanan lebuh raya itu kerana mengalami kerosakan.
"Akibat rempuhan itu, kedua-dua trailer terbabit bergerak sejauh 50 meter dengan menghampiri pembahagi jalan dalam keadaan kepala trailer di belakang melekat pada trailer di hadapan," katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Hamza berkata, kejadian itu menyebabkan ketiga-tiga lelaki yang berada dalam trailer baja mati di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di badan kerana tersepit.
Anggota penyelamat terdiri daripada anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) membantu mengeluarkan mayat mangsa.
Mayat pemandu trailer dikeluarkan kira-kira 4 pagi manakala dua lagi mayat dikeluarkan pada 6.20 pagi, sebelum dibawa ke Hospital Ipoh untuk bedah siasat.
Hamza tidak menafikan kemalangan sering berlaku di kawasan itu kerana pemandu, terutama pemandu kenderaan berat tidak mengurangkan kelajuan selepas melalui terowong.
"Saya berharap pemandu akan lebih berhati-hati menggunakan jalan itu dan kerajaan sedang cuba mengatasi masalah ini," katanya.