150 setinggan Kampung Baru hilang tempat tinggalORANG ramai bertungkus lumus menyelamatkan barang dari
musnah dalam kebakaran di Pasar Kampung Baru, semalam.
KUALA LUMPUR: Seramai 150 penduduk setinggan kehilangan tempat tinggal dan perniagaan mereka dalam kebakaran yang memusnahkan 24 unit rumah serta 12 kedai di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru di sini, petang semalam.
Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Jalan Hang Tuah, Penguasa Morni Mamat, berkata kebakaran yang bermula daripada sebuah rumah lama itu dikatakan merebak cepat ke premis lain selepas ditiup angin.
“Memandangkan kebanyakan rumah dan kedai diperbuat daripada kayu, api begitu marak. Anggota bomba juga mengalami kesukaran ketika memadamkannya memandangkan angin bertiup kencang.
“Bagaimanapun, tindakan pantas anggota bomba berjaya mengawalnya daripada merebak ke bahagian belakang yang menempatkan stor penyimpanan gas memasak yang memungkinkan membabitkan kebakaran lebih besar,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Morni berkata, seramai 45 anggota bomba dan lima jentera iaitu dua dari Jalan Hang Tuah, masing-masing satu dari Menara Kota, Sentul dan Jalan Pudu terbabit dalam operasi memadam kebakaran.
Tiada kecederaan dilaporkan dan jumlah kerugian serta punca kebakaran masih disiasat.
Salah seorang mangsa yang juga peniaga kedai menjahit pakaian, Fatimah Saidan, 60, berkata kejadian berlaku begitu pantas dan dia hanya berjaya menyelamatkan dua anaknya serta mengeluarkan beberapa dokumen penting.
“Kami hanya tinggal sehelai sepinggang. Harta benda termasuk mesin jahit, wang dan persiapan pakaian sekolah anak-anak musnah. Saya berharap pihak berkuasa dapat membantu terutamanya anak-anak yang akan bersekolah Isnin ini,” katanya.
Katanya, berikutan kebakaran dia mengalami kerugian hampir RM10,000.
Seorang lagi mangsa, Rustam Mat Piah, 36, berkata ketika kebakaran dia baru saja pulang dari tempat kerja dan bergegas masuk ke rumah untuk mengambil apa yang difikirkan perlu.
“Saya hanya sempat mengambil televisyen, sedikit wang dan dokumen penting. Manakala, yang lainnya musnah dalam kebakaran berkenaan dan saya menganggarkan kerugian hampir RM8,000,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Dr Suleiman Mohamed, berkata semua mangsa kebakaran ditempatkan di dewan Sekolah Agama Rakyat Kampung Paya sementara menunggu keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membina rumah panjang.
“Buat masa ini kita akan memberi bantuan makanan, minuman dan pakaian. Bagi anak mangsa yang bersekolah bantuan pakaian, beg, kasut dan buku akan diberikan bagi membolehkan mereka meneruskan persekolahan, katanya.
“Saya juga menemui Datuk Bandar bagi membincangkan penempatan baru bagi menempatkan mangsa kebakaran. Hanya warga Malaysia saja layak ditempatkan di rumah panjang itu nanti, manakala warga asing sekadar diberi bantuan makanan serta keperluan lain,” katanya.
Ditanya mengenai pembangunan Kampung Baru yang tertangguh lebih enam tahun, Suleiman berkata, pihaknya kini sedang menunggu keputusan DBKL yang kini dalam peringkat akhir memilih kontraktor.
“Saya diberitahu kontraktor akan dipilih hujung bulan ini atau Februari depan bagi menjalankan kerja-kerja pembangunan berkenaan. Jika pemilihan kontraktor itu masih gagal, rumah panjang akan dibina di tapak kejadian,” katanya.
p/s: nasib baik umah pakcik atok xde tbakar sbb jarak nye hanya beberape meter je..