Mengantuk?Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Aisyah bahawa Nabi telah
bersabda:
"Jika salah seorang di antara kamu berasa mengantuk, hendaklah kamu
tidur sehingga hilang rasa mengantuknya. Jika seseorang bersembahyang
ketika mengantuk berkemungkinan dia membaca istighfar sedangkan
sebenarnya dia sedang mencaci dirinya sendiri."
Hadis ini menampakkan tentang kaitan di antara mengantuk dan
penurunan kualiti amal serta produktiviti seseorang. Kesan Mengantuk
Ke Atas Ekonomi Dan Juga Produktiviti. Banyak kes-kes kemalangan
dilapurkan berpunca dari mengantuk dan kurang tidur. Justeru itu
kerana kepentingannya, Kerajaan Amerika telah menubuhkan sebuah
yayasan yang bernama Yayasan Tidur Negara (National Sleep Foundation)
untuk mengkaji tentang kesan tidur terhadap produktiviti kerana
masalah ketiduran (insomnia and sleeping problems) telah memberikan
banyak kesan negatif kepada manusia dan ekonominya. Pada tahun 1995,
Jabatan Pengangkutan Amerika telah melaporkan bahawa 100,000
kemalangan di jalan raya dan industri di Amerika adalah berkaitan
dengan masalah tidur yang melibatkan kehilangan 1500 nyawa setahun.
(Dr. Stanley Coren; 'Sleep Deprivation, Psychosis and Mental
Efficiency,' Psychiatric Times, March 1998)
Suruhanjaya khas untuk mengkaji tentang masalah ketiduran di Amerika
telah melapurkan bahawa masalah ini telah menjejaskan produktiviti
dan menyebabkan kerugian $100 - $150 billion setahun. (Dr. Stanley
Coren;Ibid) Saintis-saintis dari Universiti Chicago telah mendapati
bahawa kekurangan tidur akan menyebabkan gangguan kepada proses
pengeluaran hormon, melemahkan kemampuan badan untuk memanfaatkan
kabohidrat di dalam badan, dan mengujudkan keadaan yang seakan
penyakit kencing manis.
(Rujukan: Tinker Ready (2000); 'Naps: The Art of Snoozing')
Seseorang yang tidur 3-4 jam kurang daripada kadar tidurnya yang
biasa, akan mudah mengalami tekanan perasaan (stress) dan akan mudah
dijangkiti kuman, disebabkan oleh sistem pertahanannya yang menjadi
lemah. Penemuan ini telah dilapurkan di dalam majalah
perubatan 'Lancet' pada pada bulan Oktober, 1999.
(Rujukan: Lancet: 'Impact of Sleep on Metabolic & Endocrine Function)
Tidur Dan Kerehatan Yang Berpatutan Adalah Ibadah
Islam adalah satu agama yang seimbang. Ia mementingkan tidur dan
kerihatan agar ibadah dan aktiviti akan dapat dilakukan dengan baik.
Dalam sebuah hadis disebutkan tentang kisah Abu Darda' yang, di
antaranya, tidak mahu tidur malam kerana ingin melakukan ibadah.
Salman, sahabatnya, telah menegurnya dengan berkata:
"Tuhanmu ada hak ke atasmu, badanmu ada hak ke atasmu dan isterimu
ada hak ke atasmu. Berikan kepada semua ini haknya." Ketika Nabi
mendengar perkataan Salman, Baginda berkata: "Benarlah Salman."
(Bukhari)
Islam tidak hanya menyuruh seseorang itu tidur, malah menekankan
bahawa ia adalah hak badan yang perlu ditunaikan. Dalam hadis yang
lain diceritakan bahawa Baginda Nabi telah memasuki Masjid dan
ternampak seutas tali yang merentangi dua tiang. Selepas bertanya,
Baginda diberitahu bahawa tali itu adalah kepunyaan Zainab agar dia
dapat berpaut kepadanya ketika keletihan melakukan sembahyang.
Nabipun terus mengeluarkan arahan:
"Buka tali ini! Hendaklah salah seorang di antara kamu bersembahyang
ketika dirinya cergas, dan ketika sudah mengantuk hendaklah tidur."
(Bukhari-Muslim)
Semua ini menunjukkan bahawa Islam amat mementingkan produktiviti
yang berkualiti dalam setiap amalan. Ia juga menampakkan tentang
perkaitan di antara produktiviti dan kualiti dengan tahap kecergasan
diri seseorang. Tidur secara yang mansabah adalah merupakan salah
satu cara untuk mengembalikan kecergasan diri.
Sunnah Tidur Tengahari Dan Penemuan Semasa
Tidur siang pernah dianggap sebagai salah satu tanda kemalasan. Islam
menganggapnya sebagai suatu kebaikan asalkan seseorang itu tidak
berlebih-lebihan dengannya. Di dalam kitab 'Misykatul Masabih'
disebutkan tentang salah satu amalan sunnah yang pernah dilakukan
oleh Nabi: "Tidur yang sedikit di waktu tengahari (qailulah) tidaklah
keji. Rasulullah ada melakukannya."
Imam Al Ghazali di dalam kitab 'Ihya Ulumuddin' telah
berkata: "Hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur di siang hari
kerana ianya membantu ibadah di malam hari sebagimana sahur membantu
puasa di siang hari. Sebaik-baiknya ialah bangun sebelum gelincir
matahari untuk solat zohor."
Islam mempunyai pandangan tertentu tentang tidur tengahari. Ia
dianggap sebagai sunnah dan bukan sebagai suatu yang keji.
Wallahuallam