Jangan memalukan gadis Kelantan
Oleh Ku Seman Ku Hussain
GRO adalah singkatan daripada Guest Relation Officer. Dalam bahasa
Melayu ialah Pegawai Perhubungan Pelanggan. Dalam bahasa yang semua
orang faham GRO adalah pekerja seks. Sama ada bahasa Inggeris atau
bahasa Melayu GRO disekutukan dengan kegiatan memperagakan dan
menjual diri untuk mendapatkan wang. Maknanya GRO bukan saja satu
kerjaya yang tidak mulia malah sangat menjijikkan.
Kalau ada pihak mahu mempertahankan GRO bekerja mengikut aturan
hidup yang betul dan mencari rezeki halal, kita boleh bahas pada
forum yang lain. Tetapi untuk kali ini GRO hanya disamaertikan
dengan pelacur yang menjual diri untuk mendapatkan wang. Simpan dulu
hujah anda kalau anda menemui ada GRO yang baik dan mulia.
Apabila istilah GRO membawa pengertian yang tidak baik sekali gus
boleh memalukan kalangan wanita. Maka hujah mengenai GRO wajar
berhati-hati. Dakwaan mesti disokong dengan fakta-fakta supaya tidak
kelihatan ada unsur prejudis, retorik dan hujah yang dangkal.
Kesan psikologi, trauma dan dimalukan bukan dirasai oleh GRO.
Sebaliknya wanita lain yang menanggung kesan psikologi ini. Apalagi
kalau spesifik kepada kelompok tertentu. Maka atas alasan apa
sekalipun, hujah mesti berasaskan fakta. Malah bukan saja fakta,
kredibiliti pihak yang mengeluarkan fakta juga sangat penting.
Kerana itu apabila Penasihat Majlis Belia Kelantan (MBK) Mustapa
Yaacob mendakwa 13,000 gadis Kelantan jadi GRO di Lembah Klang,
seluruh negara menjadi gempar. Mereka terkejut, kecewa dan sekali
gus menyoal kembali, benarkah semua itu?
Gadis itu tentulah gadis Melayu. Lagilah menggemparkan. Orang
tertanya-tanya begitu teruk sangatkah gadis Kelantan? Gadis Melayu
terutama dari Kelantan tertekan dengan isu ini. Malangnya mereka ini
tidak boleh mempertahankan diri daripada prejudis dan persepsi
serong orang sekeliling.
Mustapa atau siapa saja boleh mendakwa bukan saja 13,000 malah
30,000 sekalipun. Tetapi mereka mesti bertanggungjawab dan
mempertahankan dengan statistik yang sah. Kalau benar 13,000 gadis
Kelantan jadi GRO di Lembah Klang, sedih atau kecewa macam mana
sekalipun kita terpaksa terima kenyataan ini. Tetapi sampai
sekarang, statistik yang didedahkan secara terbuka di Wacana Ekonomi
dan Sosial Negeri Kelantan itu tidak dipertahankan dengan fakta.
Beberapa pihak mempersoalkan kebenaran dakwaan Mustapa. Mereka tanya
dari mana Mustapa dapat statistik itu? Tetapi malangnya sehingga
kini tidak ada hujah dan fakta yang meyakinkan.
Dakwaan bahawa 13,000 gadis Kelantan jadi GRO sangat serius.
Sekalipun barangkali statistik ini dimanfaatkan untuk menggambarkan
ketiadaan peluang pekerjaan di Kelantan, ia tetap memberikan kesan
yang buruk kepada aspek moral dan juga sosial.
Ini boleh dilihat sebagai memberikan satu perspektif moral yang
rendah kepada wanita. Dalam erti kata lain, wanita Melayu - Islam
sanggup menjual maruah untuk mendapatkan wang. Bukanlah tidak ada
yang melakukan pekerjaan itu. Tetapi soalnya kesan menjadi lebih
besar dengan statistik yang luar biasa itu.
Daripada satu aspek, Mustapa mungkin mendapat keuntungan politik
untuk memberikan gambaran bahawa kerajaan Kelantan pimpinan Pas
gagal memberikan kemewahan kepada rakyat. Malah dakwaan ini juga
mengajak khalayak melihat dasar-dasar kerajaan negeri yang gagal
hingga 13,000 gadis sanggup jadi GRO.
Tetapi kita kena realistik bahawa keuntungan di segi politik tidak
selalunya memberikan keuntungan jangka panjang. Dalam konteks 13,000
gadis Kelantan ini kesannya lebih memalukan golongan wanita. Malah
lebih mendukacitakan lagi apabila semua gadis Kelantan menjadi bahan
jenaka kerana ``rakan-rakan'' mereka yang ke Lembah Klang jadi GRO.
Percayalah trauma ini bukan kecil. Golongan yang menjadi mangsa
jenaka hitam ini menjadi pemarah kerana mereka semacam kehilangan
keadilan sosial. Gadis Kelantan dilihat secara rambang sebagai murah
dan materialistik. Tentu saja ini sangat tidak adil kepada mereka.
Berapa statistik peluang pekerjaan yang diwujudkan oleh kerajaan
Kelantan dan berapa pula statistik penganggur di Kelantan? Apabila
isu sesensitif ini dilontarkan tanpa hujah yang kukuh, kredibiliti
individu yang memperkatakannya juga terjejas. Bagaimanapun kita
tidak pasti adakah Mustapa sengaja menyembunyikan sumber, statistik
dan hujah lain berkaitan isu 13,000 gadis Kelantan ini.
Secara mudah, kalau statistik menunjukkan 13,000 gadis Kelantan
menjadi GRO, ini bermakna 13,000 itu telah diberkas oleh pihak
berkuasa. Selalunya setelah diberkas oleh pihak berkuasa, butir-
butir diri direkodkan oleh pihak berkuasa. Mustahil kita boleh
membilang mereka yang jadi GRO dan tahu pula dari Kelantan tanpa
penglibatan pihak berkuasa. Soalnya sekarang pihak berkuasa itu
siapa?
Menurut statistik tangkapan maksiat di Kuala Lumpur oleh Polis
Diraja Malaysia (PDRM) tahun lalu ialah 1,173 tangkapan. Sementara
tahun ini sehingga April lalu ialah 393 tangkapan. Statistik 1,173
itu belum dipecahkan mengikut kaum dan tentunya penglibatan gadis
Melayu sebagai GRO tidak sampai 1,173 orang.
Cuba lihat statistik pelacur di bawah umur di seluruh negara. Tahun
2000 sebanyak 373 orang dan tahun 2002 sebanyak 175 orang. Semua
mereka ini diselamatkan oleh pihak berkuasa dan statistik ini
didapati selepas menahan gadis-gadis terbabit.
Maknanya statistik yang tidak terbabit dalam tangkapan oleh pihak
berkuasa tidak ada siapa yang tahu. Maka kerana itu kita boleh
beranggapan 13,000 gadis Kelantan itu sudah ditahan oleh pihak
berkuasa. Tanda tanya besar kalau tidak ada pihak berkuasa yang
tampil mengaku statistik itu wujud dan betul. Kalau benar mereka
kena tampil menjernihkan kekeruhan ini.
Tetapi masih jadi persoalan, misalnya pekerja seks (semua kaum) yang
ditahan di Kuala Lumpur tahun lalu hanya 1,173. Bagaimana dengan
dakwaan 13,000 gadis Kelantan jadi GRO di Kuala Lumpur? Adakah ini
tidak termasuk dalam statistik yang dikeluarkan oleh pihak polis?
Kalau bukan polis, siapa pula?
Kita juga mahu tahu adakah 13,000 orang gadis Kelantan jadi GRO itu
dikira dalam jangka masa bila? Adakah 13,000 itu dalam setahun,
sepuluh tahun atau sejak negara ini wujud? Kita percaya Mustapa
sangat yakin dengan statistik itu. Buktinya beliau membuat spesifik
bahawa 13,000 gadis itu kini berada di Lembah Klang dan bukan di
Johor Bahru, Ipoh atau tempat-tempat lain.
Apabila ada elemen-elemen ``sangat pasti'' ini, kita pula mempunyai
kewajaran untuk mempersoalkan pihak berkuasa kenapa tidak membendung
gejala sosial yang nazak ini? Ini mengalih tumpuan daripada
mengkritik kerajaan Kelantan kepada mendedahkan kegagalan pihak
berkuasa seperti polis, pihak berkuasa tempatan (di Kuala Lumpur)
dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Malangnya statistik Mustapa sangat bercanggah dengan statistik oleh
PDRM iaitu pekerja seks Melayu di Kuala Lumpur yang ditahan sejak
1998 hingga 2003 ialah 274 orang, Cina 283 orang dan India 41 orang.
Kalau diperincikan lagi, tahun 2001 sebanyak 77 orang dan tahun 2003
hanya enam orang.
Pegawai Turus Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat Kuala Lumpur (D7),
Deputi Supritenden Azhar Hamzah memberitahu majalah MASSA,
kebanyakan GRO yang ditangkap adalah daripada golongan ibu tunggal,
janda dan orang susah.
Berdasarkan kenyataan itu, maka kita boleh menganggap terjebaknya
wanita Melayu sebagai GRO kerana desakan hidup tidak seperti dakwaan
Mustapa mereka menjadi GRO kerana kemiskinan.
MASSA juga melaporkan statistik oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa
(ILO) pada 2000 mengatakan di negara ini terdapat 142,000 pelacur
dan 10,000 daripadanya bergiat di Kuala Lumpur. Bagaimanapun bekas
Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat Tan Sri Zaleha
Ismail memberitahu agensi berita AP tahun 1998, kerajaan tidak
mempunyai data terperinci mengenai pelacur atau GRO. Ini kerana
sukar untuk mendapatkan statistik secara sukarela oleh pekerja-
pekerja seks di negara ini. Maknanya statistik direkodkan hasil
daripada tangkapan.
Sebenarnya tidak ada siapa pun yang menafikan penglibatan wanita
Melayu sebagai pekerja seks di negara ini. Ia memang wujud. Tetapi
usaha membanteras memerlukan pendekatan yang bijaksana,
bertanggungjawab dan berniat murni.