Post by atokENSEM on Nov 12, 2004 10:26:44 GMT 8
Arafat tabah perjuang nasib rakyat Palestin
Oleh Meor Hisham Zulkifli
YASSER Arafat menjadi simbol dan tonggak perjuangan Palestin, berjuang lebih setengah kurun bagi mengembalikan kedaulatan negara Islam yang dirampas oleh rejim Zionis Israel.
Semangatnya tidak pernah luntur, sanggup menderita hidup terpenjara di Muqata, ibu pejabatnya di Ramallah sejak tiga tahun lalu selepas Israel bertindak ke atasnya ekoran siri serangan berani mati ke atas Yahudi.
Beliau juga beberapa kali terpaksa menagih simpati hidup dalam buangan di beberapa negara sebelum kembali ke Palestin.
Pada usia 75 tahun, beliau menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Percy, Clamart, di pinggir Paris, kira-kira jam 10.30 pagi semalam waktu Malaysia.
Ketua doktor dan jurucakap hospital itu, Christian Estripeau, berkata Arafat meninggal dunia kerana mengalami pendarahan otak sejak Selasa lalu.
Arafat yang diterbangkan ke hospital berkenaan dari Tebing Barat pada 29 Oktober lalu selepas jatuh sakit sejak awal Ramadan dikatakan mengalami masalah darah, menghidap barah termasuk dakwaan diracun.
Arafat atau nama sebenarnya Mohammed Abdel-Raouf Arafat al-Qudwa al-Hussaini dilahirkan pada 4 Ogos 1929 di Baitulmaqdis (walaupun ada yang menyatakan di Kaherah), muncul sebagai wira mutlak Palestin yang mempunyai pendirian tegas dalam usaha memartabatkan kembali maruah penduduk Arab.
Tidak keterlaluan jika dikatakan kemunculan Arafat boleh dianggap sebagai tokoh sebenar yang sehingga kini tiada tandingan kerana terbukti mampu menyekat impian Zionis membentuk Inisiatif Asia Raya merentangi seluruh Asia Barat.
Beliau yang juga dikenali sebagai Abu Ammar, menyertai perang antara Israel dan jiran Arab pada Perang 1948. Ia menyaksikan pakatan Arab tumbang dan merintis jalan kepada penubuhan Israel.
Bersama Khalil al-Wazir, Farouk Khaddumi, Salah Khalaf dan Mahmud Abbas, Arafat menubuhkan pergerakan Fatah pada 1958 bagi memerangi Yahudi yang merampas tanah Palestin menggunakan kaedah perang gerila.
Pada Februari 1969, Arafat dipilih sebagai Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).
Agak rendah, gempal dan mesra, Arafat muncul sebagai tokoh disegani menerusi personalitinya yang tegas dan serius ketika bekerja, mempunyai gerak hati tepat dalam kelangsungan politik serta dedikasi sepenuh hati terhadap perjuangannya.
Selepas dilantik mengetuai PLO, Arafat mengharungi pelbagai onak duri hidup dalam buangan yang menyaksikan beliau terpaksa berlindung di Tunisia selepas diusir dari Jordan oleh tentera Raja Hussein pada 1970 dan dari Lubnan oleh tentera Israel yang diketuai Ariel Sharon pada 1982.
Dengan pilihan ketenteraan semakin lenyap dan meletusnya pemberontakan penduduk Palestin di kawasan yang diduduki Israel, intifada pertama dilancarkan di Tebing Barat dan Gaza pada 1987.
Keadaan itu melonjakkan beliau menjadi perunding Palestin dengan pihak Israel dan sekutunya.
Pada 1988, Arafat mengutuk keganasan dan mengiktiraf hak Israel untuk terus wujud bersama, mendorong Amerika Syarikat menamatkan pengharaman rundingan dengan PLO yang berlangsung selama 13 tahun.
Dalam rundingan Madrid pada 1991 yang membabitkan wakil kerajaan Jordan, sebuah delegasi Palestin diselitkan dalam pasukan perunding itu. Ia dilancarkan oleh Amerika dan Russia bagi mencari perjanjian menyeluruh antara Israel dan jiran Arabnya.
Ketika rundingan di Madrid itu kelihatan berlarutan tanpa penyelesaian, wakil Israel dan PLO memulakan rundingan langsung secara sulit di Oslo, Norway.
Hasil rundingan Oslo yang pertama dimeterai di Washington pada September 1993, menyaksikan Palestin mendapat kuasa autonomi di Semenanjung Gaza dan Jericho di Tebing Barat.
Arafat kembali ke wilayah Palestin pada Julai 1994 dan dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan bersama Perdana Menteri Israel, Yitzhak Rabin serta Menteri Luar Israel, Shimon Peres.
Bagaimanapun, proses damai itu hancur apabila pelampau Yahudi menembak mati Rabin pada November 1995.
Pada 1996, Arafat dilantik sebagai Presiden Pihak Berkuasa Palestin dan selepas itu, beliau sering digelar Mr Presiden setiap kali rundingan dengan pegawai Amerika dan Israel, meskipun ada pihak menganggap gelaran itu seolah-olah menyindir Arafat.
Selepas lima tahun keadaan tidak menentu, Presiden Amerika, Bill Clinton pada Julai 2000 menjemput Arafat dan Perdana Menteri Ehud Barak untuk berunding di Kem David, sebuah pusat peranginan untuk presiden.
Bagaimanapun, rundingan itu yang bertujuan mencapai perjanjian damai menyeluruh runtuh juga akhirnya lalu merintis jalan kepada intifada kedua. Ia meletus dua bulan selepas rundingan itu apabila ketua pembangkang Israel ketika itu, Ariel Sharon mencemarkan Masjid al-Aqsa apabila melawat ke kawasan larangan berkenaan.
Ketika mengetuai PLO, Arafat sentiasa terbang dari satu negara ke satu negara untuk mengumpul sokongan perjuangan dari negara dunia dan memberi penjelasan sebenar nasib berjuta-juta pelarian Palestin serta penderitaan melawan dakyah Zionis.
Usahanya memerangi Israel dan konconya, selain mengetuai senarai kumpulan pejuang yang dipayungi PLO bertahun-tahun, beransur-ansur menyaksikan beliau terpaksa mengambil pendirian amat berhati-hati berkaitan isu orang nombor dua atau perkongsian kuasa.
Ia lebih menebal selepas beberapa cubaan membunuh serta rampasan kuasa ketika pemerintahannya.
Menyedari bahawa sebarang peralihan kuasa boleh mengakibatkan bencana, beliau memastikan semua kuasa pentadbiran berada di bawah telunjuknya dari aspek keselamatan, ekonomi sehinggalah kepada isu kebajikan.
Ini kerana beliau menyedari bahawa mengetuai rakyat Palestin adalah satu bebanan besar yang bukan saja untuk membela rakyatnya sendiri, tetapi tersirat perjuangan membela maruah umat Islam Asia Barat dan juga dunia.
Akan tetapi musuhnya, sama ada dalam PLO sendiri atau rejim Zionis, menggambarkan beliau sebagai seorang ketua yang gila kuasa, mencetuskan pemberontakan dalaman dan terbaru, pemberontakan sekumpulan kecil pejuang Palestin yang menuntutnya melakukan pembaharuan serta memerangi rasuah.
Kejadian penculikan beberapa pegawai kanan Palestin serta petugas kebajikan di Palestin pertengahan tahun ini, mengukuhkan sentimen itu.
Selepas desakan antarabangsa hasil propaganda Amerika dan Israel, Arafat terpaksa tunduk dan dengan berat hati melantik Perdana Menteri Palestin pertama, Mahmud Abbas pada April 2003.
Abbas atau dikenali sebagai Abu Mazen, hanya dapat bertahan selama empat bulan selepas gagal mendesak Arafat melepaskan kuasanya dalam angkatan bersenjata.
Abbas yang sebelum ini menjadi pilihan Amerika dan Israel kerana sikap sederhananya, merintis jalan kepada beberapa rundingan tetapi hubungannya dengan Arafat terus keruh.
Arafat menuduh Abbas sebagai pembelot kerana terlalu banyak menggugurkan prinsip perjuangan Palestin dan tunduk kepada tekanan Israel terutama ketika menyertai rundingan ber-sejarah di Mesir.
Ahmed Qoray atau Abu A’la, yang menggantikan Abbas turut menghadapi masalah sama.
Selepas dua perdana menteri buntu mengurangkan pengaruh dan kuasa Arafat, Amerika yang dipimpin Presiden George W Bush serta Sharon, mengorak langkah melancarkan kempen memulaukan Presiden Palestin itu.
Sebenarnya usaha untuk menyingkirkan Arafat sudah lama kedengaran iaitu sejak empat tahun lalu sebaik saja kegagalan rundingan damai tajaan Amerika pada 2000.
Rumah Putih dan Israel terus menerus menuduh Arafat menggalakkan pejuang Palestin melancarkan serangan balas ke atas tentera Yahudi yang mengganas di bumi Arab, mewajarkan tindakan keras terhadapnya.
Lebih biadap, Menteri Kehakiman Israel, Yosef Lapid, berkata Palestin akan aman cukup dengan hanya ketiadaan Arafat.
Bagaimanapun, segala propaganda Amerika dan Israel ke atas Arafat, tidak sedikitpun menggoyahkan sokongan padu masyarakat Palestin terhadap pemimpin kesayangan mereka.
Umpama sebutir permata di lautan kaca, Arafat terus diagungkan dan ketiadaannya meresahkan dunia kerana tiada tokoh sekuat dan setanding beliau yang mampu serta memahami perjuangan sebenar rakyat Palestin.
“Arafat umpama pelekat dan apabila sesuatu berlaku terhadapnya, hilanglah pelekat itu,” kata penganalisis Asia Barat, Ali Jarbawi, ketika menggambarkan betapa Abu Ammar dan Palestin adalah sinonim.
“Kami bimbang Palestin akan menjadi haru-hara jika pengganti Arafat adalah tokoh yang lemah yang boleh diperkotak-katikkan oleh Amerika dan Israel,” kata seorang guru Palestin.
“Kami takut akan berlaku kekacauan politik di sini jika pengganti Arafat sama seperti Hamid Karzai di Afghanistan dan Iyad Allawi di Iraq yang sebenarnya adalah orang kepercayaan dan lantikan Amerika,” kata penduduk Palestin, Juda di Ramallah dua minggu lalu.
Malah, Israel sendiri sudah menyedari pasti berlaku kekacauan di Palestin selepas ketiadaan Arafat. Polis dan tentera Yahudi sejak awal tahun lalu, sering menjalankan latihan besar-besaran bagi menghadapi senario kematian Arafat.
Semalam, detik hiba itu muncul juga dan Ketua Pejabat Arafat di Tebing Barat menyatakan, jenazah pemimpin agung mereka itu akan diterbangkan ke Kaherah, hari ini, untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tebing Barat.
Beliau turut mengumumkan seluruh rakyat Palestin akan berkabung selama 40 hari.
Arafat meninggalkan seorang balu, Suha Tawail, 41 dan seorang anak perempuan, Zahwa, 9.
Apa yang pasti patah tumbuh hilang berganti. Tokoh lama pergi, tokoh baru datang dan nasib Palestin tetap akan terbela seperti yang digariskan oleh al-Quran, Taurat dan Injil meskipun Israel dan Amerika sedaya upaya cuba menghalangnya.