Ribena Ada Arak....betul ke?
-----------------------------------------
LONDON: Pemimpin Islam di Birmingham menggesa diadakan
rombakan menyeluruh dalam undang-undang pengguna selepas
kemunculan berita menggemparkan bahawa dua minuman ringan
kegemaran mengandungi arak.
Birmingham Post semalam melaporkan ramai peniaga membuang
stok Ribena dan Lucozade selepas pengguna mendapati ramuan perisa
air minuman itu mengandungi arak meskipun pada paras yang rendah.
Peraturan makanan tidak mensyaratkan pengeluar produk itu,
Glaxo-SmithKline menyenaraikan arak pada bungkusan minuman itu
kerana kandungan arak itu pada kadar yang rendah.
Bagaimanapun, umat Islam yang diharamkan daripada meminum arak
mendakwa semua minuman ringan seharusnya dilabelkan dengan jelas jika
ada ramuan yang bercampur arak meskipun amat sedikit.
Empat tahun lalu, Walkers, sebuah syarikat makanan, menukar label
pada bungkusan kerepeknya selepas akhbar Birmingham Post mendedahkan
snek keju dan bawangnya mengandungi ekstrak lembu tidak sembelih.
Kandungan arak dalam Ribena dan Lucozade adalah kurang daripada
0.1 peratus tetapi umat Islam memberitahu Birmingham Post bahawa mereka
kecewa selepas mengetahui bahawa mereka sejak sekian lama meminum arak
meskipun pada paras yang teramat rendah.
Pengerusi Masjid Jamik Birmingham, Dr Mohammed Naseem menyuarakan
rasa terkejutnya kerana undang-undang itu masih membenarkan kandungan
dalam makanan atau minuman tidak dinyatakan dengan jelas pada label.
"Kita amat kecewa kerana sebelum ini umat Islam menganggap minuman
ringan seperti Ribena dan Lucozade ini halal tetapi sebaliknya," katanya.
Pekedai yang juga anggota Persatuan Peniaga Ladypool, Mohammed Zaman
Khan berkata penjualan Ribena dan Lucozade jatuh mendadak sejak
beberapa minggu lalu dan beliau memastikan produk itu tiada pada rak
kedainya.
Jurucakap Glaxo-SmithKline memberi alasan label minuman dan makanan
pasti tidak dapat dibaca jika peraturan mensyaratkan semua komponen
bagi penyediaan makanan itu dinyatakan.
"Sesetengah bahan perasa mengandungi lebih 50 komponen. Kami amat
sensitif dengan keperluan budaya pengguna dan cuba menangani isu itu
jika ia dimaklumkan kepada kami," katanya.
Beliau mengakui minuman tenaga Lucozade berperisa asli, limau, tropika
dan sitrus mengandungi paras rendah arak begitu juga dengan lima perasa
yang disediakan untuk Ribena. - Agensi