|
Post by StRiDeR on Jan 4, 2004 21:27:57 GMT 8
Hari-hari dalam Islam ------------------------------
Sahabat-sahabat Nabi SAW telah bertanya akan hari-hari yang tujuh, Sabda Nabi: ..
Jumaat - Hari Jumaat adalah hari yang baik untuk mengadakan perhubungan dan pernikahan.
Sabtu - Hari Sabtu adalah di namakan sebagai hari tipu daya, kerana pada hari itu orang-orang kafir Quraish telah mengadakan tipu daya pada perjanjian Darrun Nadwah.
Ahad - Hari Ahad adalah hari yang baik untuk bertanam dan membuat binaan, kerana pada hari Ahad Allah memulakan menciptakan dunia dan membangunnya.
Isnin - Hari Isnin adalah hari yang baik untuk musafir dan untuk berniaga, kerana bahawasanya pada hari Isnin Nabi Syith telah musafir dalam urusan perniagaan dan beliau banyak mendapatkan keuntungan dari perniagaannya.
Selasa - Hari Selasa adalah hari berdarah, kerana pada hari itu, bermulanya Siti Hawa berhaid, dan pada hari itu pula mula-mula terjadinya pembunuhan anak Nabi Adam iaitu Qabil membunuh Habil.
Rabu - Hari Rabu adalah hari kebinasaan yang berkekalan, kerana pada hari itu Allah SWT menenggelamkan Fir'aun bersama kaumnya. Kaum Samud dan kaum 'Ad yang mereka itu adalah kaum Nabi Saleh, juga di binasakan oleh Allah pada hari Rabu.
Khamis - Hari Khamis adalah hari yang baik untuk menuntut sekalian hajat, kerana bahawasanya Nabi Ibrahim AS pergi ke istana raja Mesir, maka raja Mesir menunaikan hajatnya dan mengembalikan isterinya Siti Sarah.
|
|
|
Post by StRiDeR on Jan 5, 2004 20:40:59 GMT 8
Mengenal Diri Dari Bulan Islam Kelahiran ----------------------------------------------------
Sekiranya anda mengetahui pada bulan Hijrah anda dilahirkan, menurut pengetahuan tradisional bulan itu mempunyai pengaruh yang tersendiri terhadap perilaku. Dicatatkan bagi menambahkan pengetahuan:
Muharram Bersifat pendiam, sihat fikirannya. Mungkin akan menjadi bodoh jika tidak mendapat didikan yang sempurna, walaupun begitu, jika dididik dengan baik, dia boleh menjadi cerdik kerana bakat fikiran yang pintar cerdas ada padanya. Dia mempunyai keinginan yang baik dan selalu berada dalam selamat.
Safar Tabiatnya buruk. Dia tidak suka mengakui kesalahannya. lbubapanya perlu mendidiknya bagi menghilangkan tabiat buruk itu, jika tidak, kehidupannya akan menjadi susah di kemudian hari. Walaupun begitu, sekiranya dia melakukan sesuatu untuk kepentingan dirinya, selalunya ianya akan mendatangkan hasil.
Rabiul Awal Perwatakannya baik. Mungkin dia akan mendapat pangkat besar, menjadi orang berpengaruh atau kaya tanpa diduga. Dalam pekerjaan ramai yang suka. Sifat negatif dirinya termasuklah kurang sabar, hatinya keras dan mudah marah.
Rabiul Akhir Perwatakannya jahat. Hatinya tidak tetap. Fikiran dan kemahuannya lemah, buruk nafsunya, kasar wataknya, mudah mengangkat tangannya. Kehidupannya menjadi sukar kerana tabiat buruknya itu. Ibubapa menempuh kesukaran dalam mendidiknya.
Jamadil Awal Dia mempunyai tingkat keyakinan yang tinggi. Dia berani dan nekad, kadangkala melakukan sesuatu yang bodoh atau bahaya. Walaupun begitu, keberanian dan tekadnya itu akan menunjukkan hasil usahanya, yang menemui kegagalan juga.
Jamadil Akhir Wataknya berani, dia hormatkan orang lain. Berbagai kepandaian ada padanya. Apabila dia tahu bahawa dia salah atau keliru maka dia mudah mengakuinya, tapi bila dia tahu dia benar, pendiriannnya keras dan tidak mahu mengalah. Semasa kecilnya, ibubapanya perlu mendidiknya dengan baik agar terserlah sifat-sifatnya yang baik itu, kerana jika betul didikannya, masa dewasa ia akan menyenangkan kedua orang tuanya.
Rejab Semasa kecilnya dia degil dan nakal. lbu bapanya patut mendidiknya dengan baik agar dia dapat menerapkan nilai-nilai yang baik. Ketika sudah dewasa, dia suka bersikap merendah diri dan bersikap tidak tahu menahu. Ini agak berlainan dari sikapnya semasa kecil. Walau bagaimanapun hidupnya selamat dan sentosa.
Sya'aban Perwatakannya baik. Hidupnya selamat dan rezekinya tidak putus-putus. Sewaktu kecilnya dia mudah mengalah semasa bermain dengan kawan-kawan. Kelakuannya baik, berbudi bahasa hingga semua orang sayang padanya. Masa dewasanya dia akan berjaya dalam segala kerjayanya dan mudah mendapat rezeki.
Ramadhan Dia baik, pendiam, suka merendah diri. Dia tidak angkuh kepada teman yang dikenalinya. Dia tidak suka menonjolkan diriya. Kehidupannya selalu selamat.
Syawal Perwatakannya keras. Hatinya keras. Dia tidak suka dikalahkan oleh orang lain. Hal ini membahayakan hidupnya, oleh itu ibu bapanya perlulah mendidiknya dengan betul bagi menghilangkan tabiat buruknya itu. Jika tidak kehidupannya menjadi susah kerana perangai keras hatinya, dan dia selalu bergaduh terutamanya dalam hal mencari rezeki.
Zulkaedah Perwatakannya pendiam. Banyak perkara baik pada dirinya berubah menjadi buruk. Dia banyak berfikir, kerana sifat ini, satu hari nanti dia akan mendapat hasil yang baik dalam kehidupannya. Tetapi oleh kerana banyak berfikir, perbuatannya kadang kala menjadi keliru. Dia seharusnya bertindak tanpa terlalu banyak berfikir untuk mendapat hasil yang yang memuaskan.
Zulhijjah Jika dia jahat dia terlalu jahat, jika baik terlalu baik pula. Dia sering mendapat padah dari perbuatannya sendiri. Dia sukar mengawal perasaannya, kadangkala terlalu berlebih-lebihan atau sebalikknya. 0leh kerana dia tidak dapat memberikan garis pemisah, dia sukar mempertimbangkan baik buruk perbuatannya. Dia seringkali menyesal kerana kurang hati-hati dan kurang pertimbangan.
|
|
|
Post by StRiDeR on Jan 6, 2004 20:22:57 GMT 8
Penghulu Hari --------------------
Dari Anas r.a. Rasulullah s.a.w. barsabda "Sesungguhnya telah datang Jibril a.s kepadaku dan di telapak tangannya ada cermin putih lalu Jibril berkata, "Ini adalah hari Jumaat, Tuhan telah memfardhukan supaya hari ini menjadi hari raya bagimu dan juga umatmu selepas peninggalanmu nanti." Tanya Rasulullah lagi, "Apakah keistimewaannya bagi kami?"
Jawab Jibril, "Di dalamnya kamu memiliki saat yang paling baik, sesiapa berdoa bertepatan dengan waktu itu, maka akan diperkenankan doanya itu. Ataupun ia memohon untuk berlindung dari kecelakaan serta memohon keampunan maka Allah akan mengampuninya lebih dari itu. Jumaat adalah penghulu dari segala hari. "Sabda Rasulullah s.a.w, "Sebaik-baik hari yang terbit mata hari di dalamnya adalah hari Jumaat, hari yang diciptakan Nabi Adam, hari dimasukkannya Adam ke syurga, juga hari diturunkannya Adam ke bumi dan di hari yang sama juga Allah telah mengampunkan segala dosa Adam. Nabi Adam wafat juga pada hari Jumaat dan hari ini jugalah akan berlakunya kiamat, Jumaat pada sisi Allah adalah hari 'Penambahan' begitu jugalah dengan para malaikat."
|
|
|
Post by StRiDeR on Jan 7, 2004 20:43:50 GMT 8
Amalan Pada Malam Nisfu Syaaban --------------------------------------------
Selesai sembahyang Maghrib hendaklah membaca Yasin dengan niat panjangkan umurnya dalam mentaati Allah. Kemudian berdoalah. Kemudian dibacakan pula Yasin dengan diniatkan diluaskan Allah rezekinya yang halal dan diberkatinya, kemudian lalu dibacakan doanya. Kemudian dibacakan pula Yasin dengan niat minta mati dalam iman, kemudian lalu dibacakan doanya.
Pada malam Nisfu Syaaban sangat baik memperbanyakkan beristighfar (memohon keampunan) dan taubat dari dosa-dosa besar dan kecil serta meminta diampunkan Allah ibubapa kita dan keluarga kita. Maksud doanya:
Ya Allah, Engkau Tuhanku, tiada ada Tuhan melainkan Engkau, Engkau telah menjadikan aku dan aku adalah hambaMU, sentiasa berada dalam genggamanMu dan ketetapanMU, tiada ada kesanggupanku. Aku mengaku padaMU nikmatMu atasku dan aku mengaku kepadaMu dengan dosa-dosaku, maka ampunilah aku. Sesungguhnya tiada apa yang akan mengampun dosa melainkan Engkau jua. Aku berlindung dengan Engkau daripada kejahatan apa yang telah aku lakukan.
Memohon keampunan dua ibubapa, maksudnya: Ya tuhanku ampunilah aku dan kedua ibubapaku dan rahmatilah duanya sepertimana mereka mendidik aku di waktu kecil. (Rabbigh firli waliwa lidaiya warham huma kama rabbayaani soghiro)
Memohon keampunan dan taubat diri: (70/100 kali pagi petang). Maksudnya: Aku mohon keampunan Allah dan aku bertaubat kepadanya. (Astagfirullah hal a’zim wa atu bu ilaih)
Membaca: (beberapa kali - pahala seperti ibadat seribu tahun). Maksudnya: Tiada tuhan melainkan Allah dan tiada kami sembah melainkan dianya, dengan cara ikhlas kepadanya, lagi tetap teguh di atas tauhid, walau pun membenci oleh orang-orang kafir. (La ila haillallah wala na’budu illa iyyahu mukhliseena lahuddin walau karihal kaafirun)
Membaca Al-Quran.
Membaca Tasbih: Seratus kali tiap-tiap satu.
Maksudnya: Maha Suci Tuhanku yang Maha Tinggi. (Subhanarob biyal a’ala)
Maksudnya: Maha Suci Allah dan dengan segala kepujianNya. Maha Suci Allah yang Maha Agung. (Subhanallah wabihamdih, Subhanallahal ’azim)
Maksudnya: Maha Suci Allah dan segala kepujian bagi Allah tiada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar (Agong) tiada suatu daya dan tiada suatu kekuatan melainkan dengan Allah Yang Maha Agong. (Subhanallah, walhamdulillah, wala ila ha illallah, Allahhu akbar, walahaula wala qhuwwatailla billahil ‘aliyyil ‘azeem)
Membaca Salawat Atas Nabi: (Allahhummasolli ‘ala Muhammad) 10 atau 100 kali pagi dan petang.
Membaca Zikrullah: (La ila ha illallah) 100 kali selepas sembahyang Subuh dan Asar.
Sembahayang-sembahyang sunat: Sunat Mutlaq, Sunat Isyraq, Sunat Dhuha, Sunat mengiringi Fardhu, Sunat Awwabin, Sunat Tahajjud, Sunat Tasbih, Sunat Witir dan Sunat Hajat di tengah malam sebaik-baiknya memohon hajat sesuatu.
|
|
|
Post by StRiDeR on Jan 8, 2004 23:12:55 GMT 8
Fadilat Bulan Zulhijjah ----------------------------
Dari sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a. Rasulullah s.a.w. telah menerangkan tentang fadilat puasa di bulan Zulhijjah iaitu:
Tanggal 1 Zulhijjah kesalahan Nabi Adam a.s. telah diampunkan Allah. Oleh itu sesiapa yang berpuasa pada hari itu dosanya akan diampuni oleh Allah.
Tanggal 2 Zulhijjah doa Nabi Yunus diperkenankan Allah. Oleh itu sesiapa yang berpuasa pada hari itu maka pahalanya sama seperti ia berpuasa setahun dan dicatitkan baginya seolah tidak pernah melakukan maksiat walau sedikitpun.
Tanggal 3 Zulhijjah doa Nabi Zakaria diperkenankan Allah. Sesiapa yang berpuasa pada hari itu maka doanya juga akan diperkenankan oleh Allah.
Tanggal 4 Zulhijjah Nabi Isa dilahirkan. Sesiapa yang berpuasa pada hari itu akan terhindar ia dari kefakiran dan kemelaratan dan di hari kiamat ia akan dimasukkan dalam golongan yang terhormat.
Tanggal 5 Zulhijjah Nabi Musa dilahirkan. Sesiapa yang berpuasa pada hari itu terlepas ia dari sifat munafik dan dari siksa kubur.
Tanggal 6 Zulhijjah Allah telah membukakan pintu kebajikan untuk nabi-nabiNya. Sesiapa yang berpuasa pada hari itu ia akan dipandang oleh Allah dengan pandangan rahmat serta terlepas ia dari azab.
Tanggal 7 Zulhijjah pintu neraka Jahannam akan dikunci. Sesiapa yang berpuasa pada hari itu akan dikuncikan oleh Allah 30 pintu kesulitannya dan dibukakan 30 pintu kemudahan.
Tanggal 8 Zulhijjah Nabi Ibrahim telah bermimpi mendapat perintah dari Allah supaya menyembelih anaknya Ismail. Seharian ia berfikir sama ada perintah itu datang dari Allah atau syaitan. Hari itu dinamakan dengan ‘Tarwiyah’ (hari berfikir) oleh itu sesiapa yang berpuasa pada hari itu akan diberi oleh Allah pahala yang tidak terhitung banyaknya hanya Allah sahaja mengetahui.
Tanggal 9 Zulhijjah Allah telah memberitahu kepada Nabi Ibrahim bahawa mimpinya itu adalah benar dari Allah, bukan dari syaitan. Oleh itu hari itu dikenali dengan nama ‘Arafah’ (hari tahu). Sesiapa yang berpuasa hari itu akan diampunkan oleh Allah dosanya setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.
Tanggal 10 Zulhijjah adalah hari raya Aidil Adha (hari korban) juga dikenali dengan nama hari ‘Nahar’ (menyembelih). Sesiapa yang berkorban pada hari itu dengan seekor korban dan pada setiap titisan dari yang mengalir dari leher haiwan tersebut Allah akan mengampuni dosanya dan dosa ahli kaum keluarganya (haram berpuasa pada hari ini).
Sunat bersedekah kepada kaum fakir miskin. Sesiapa yang bersedekah pada hari itu dengan satu sedekah maka akan dibangkitkan oleh Allah pada hari kiamat nanti dalam keadaan aman dan sentosa serta timbangan amal baiknya lebih berat dari bukit Uhud.
Amalan sunat pada 10 Zulhijjah seperti:
Mandi sunat Aidil Adha pada pagi harinya. Sunat tidak menjamah makanan atau minuman sehinggalah selesai menunaikan solat Adha. Keluar menuju ke masjid dengan satu jalan dan bila pulang menggunakan jalan yang lain pula. Lebih afdal dengan berjalan kaki ke masjid jika inya tidak terlalu jauh. Mengumandangkan takbir, tahmid dan tahlil bermula dari malam 10 Zulhijjah hingga terbenam matahari pada tanggal 13 Zulhijjah (Takbir Muqayyad). Sunat membaca doa akhir tahun pada tanggal 29 atau 30 Zulhijjah selepas solat ‘Asar dan membaca doa awal tahun selepas solat Maghrib pada malam pertama awal Muharram.
|
|
|
Post by StRiDeR on Jan 9, 2004 19:07:33 GMT 8
Fadhilat 10 Muharam ---------------------------
14 perkara yang sunat dilakukan pada hari Asyura :
1. Melapangkan masa / belanja anak isteri fadhilat - Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.
2. Memuliakan fakir miskin fadhilat - Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti
3. Menahan marah fadhilat - Di akhirat nanti Allah akan memasukkannya ke dalam golongan yang ridha
4. Menunjukkan orang sesat fadhilat - Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya
5. Menyapu / mengusap kepala anak yatim fadhilat - Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang di sapunya.
6. Bersedekah fadhilat - Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tak berhenti-henti dari kecil sehingga ia mati. Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.
7. Memelihara kehormatan diri fadhilat - Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.
8. Mandi Sunat fadhilat - Tidak sakit (sakit berat)pada tahun itu lafaz niat : sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala.
9. Bercelak fadhilat - tidak akan sakit mata pada tahun itu
10. Membaca Qulhuwallah hingga akhir seribu kali fadhilat - Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah diakhirat nanti
11. Sembahyang sunat empat rakaat fadhilat - Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50 tahun melakukannya. lafaz niat : sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala. Pada rakaat pertama dan kedua selepas fatihah di baca Qulhuwallah sebelas kali.
12. Membaca "has biallahhu wa nik mal wa kila nikmal maula wa nikmannasiru" fadhilat - Tidak mati pada tahun ini
13. Menjamu orang berbuka puasa fadhilat - Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.
14. Puasa Niat - Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala. fadhilat - Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu kali syahid dan diharamkannya daripada neraka.
|
|
|
Post by StRiDeR on Jan 11, 2004 10:34:24 GMT 8
Hadiah dari Israk Mikraj ------------------------------
Bersama-sama ini disertakan beberapa petikan tentang kelebihan bulan Rejab. Tepat pada malam 27 Rejab, terjadinya satu peristiwa yang amat luar biasa lagi bersejarah bagi umat Islam iaitu Peristiwa Israk Mikraj.
Israk Mikraj yang dialami oleh Nabi Muhammad s.a.w. dengan beserta jasad dan rohnya. Banyak hikmah dalam peristiwa Israk dan Mikraj yang menggemparkan itu. Dalam kejadian Israk Mikraj, Nabi Muhammad s.a.w. diisrakkan oleh Allah dari Masjidil Haram di Makkatul Mukaramah ke Palestin dengan mengenderai buraq bersama Malaikat Jibrail.
Kemudian dari Masjidil Aqsa, nabi s.a.w. diMikrajkan dengan menjelajahi tujuh lapis langit hingga sindratul Muntaha bahkan ke Mustawa. Dalam perjalanan Mikraj inilah Nabi dapat melihat banyak tanda-tanda kebesaran Allah s.w.t. Di sana Nabi s.a.w. berdailog dengan Allah s.w.t. dan Allah s.w.t. menghadiahkan suatu perkara untuk dibawa pulang oleh nabi s.a.w., iaitu perintah SOLAT LIMA WAKTU untuk nabi sampaikan pada umatnya. Peristiwa Israk Mikraj berlaku selepas terjadinya tahun dukacita kerana pada tahun itu Rasulullah s.a.w. mendapat musibah secara berturut-turut iaitu kematian dua insan yang amat disayangi dan tempat bergantung iaitu isterinya dan pamannya.
Kehilangan kedua-dua insan ini memberi tamparan hebat kepada Nabi s.a.w. Dan merasakan tugas menyeru penduduk Makkah kepada Islam tidak mampu dilanjutkan lantaran begitu hebat tentangan yang baginda terima.
Baginda berangkat ke Thaif selepas merasa ruang untuk memgembangkan dakwah di Makkah begitu sukar dan berharap penduduk Thaif akan menerimanya sekali gus membantu perjuangannya.Namun tanpa diduga, bukan saja tidak sudi menerima seruan bahkan mendapat pelbagai cemuhan dan dilontarkan dengan batu sehingga muka dan tubuh baginda luka hingga baginda jatuh pengsan. Baginda mengadu mengenai kelemahan dan kekurangan tenaganya dalam menghadapi orang kafir. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui dan sekiranya Nabi ingin membalas perlakuan jahat orang Thaif terlaksana tapi Nabi s.a.w. tidak bersifat pendendam.
Atas tujuan menghiburkan Nabi dan memantapkan lagi iman baginda maka Allah menghantar malaikat Jibrail bersama kenderaan Buraq untuk menjemput Nabi meneui-Nya untuk diperlihatkan tanda-tanda kebesaran-Nya dan meperteguhkan iltizam baginda dalam meyebarkan risalah-Nya. Dalam perjalanan Israk Mikraj, pelbagai keadaan atau kejadian diperlihatkan kepada baginda. Semuanya menggambarkan fenomina yang pasti akan terjadi keatas umat baginda kelak. Segala gambaran yang sebenarnya menjadi teladan kepada kita semua. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim ada menceritakan hal ini, antaranya :
Nabi s.a.w. menemui suatu kaum yang bercucuk tanam menuai hasilnya pada hari yang sama. Ini menggambarkan mereka yang berjihad pada jalan Allah, diperggandakan suatu kebajikan hingga 700 kali ganda.
Nabi s.a.w. melihat suatu kaum yang menghempapkan kepala mereka dengan batu besar dan sehingga kepala pecah dan ia pulih seperti sediakala. Mereka melakukan tanpa rasa penat. Inilah gambaran orang didunia malas dan berat kepalanya untuk menunaikan solat.
Ada kaum yang perut besar seperti rumah. Setiap kali mereka cuba bangun, mereka terjatuh. Ini adalah gambaran orang yang memakan riba. Ada kaum yang mengunting-guntingkan lidahnya, dan setiap kali lidahnya putus, kembali pulih semula. Ini gambaran ahli pidato yang membawa fitnah.
Banyak lagi kejadian yang diperlihatkan kepada baginda. Semuanya itu adalah pengajaran dan ingatan orang muslim. Sebelum dimikrajkan, baginda sempat bersembahyang sunat bersama Malaikat Jibrail dan ruh anbiya'yang Allah berkati sekelilingnya. Dari masjid ini, Nabi s.a.w. terus di mikrajkan iaitu dengan mejelajah tujuh lapis langit lalu sampai yang tertinggi iaitu Sidratul Muntaha bahkan ke Mustawa.
Di sinilah baginda bermunajat dengan Allah dan Allah memberi hadiah yang mata bernilai untuk dibawa pulang kepada umat nabi Muhammad s.a.w. yakni perintah solat lima waktu sehari semalam. Umat Islam yang benar-benar mempercayai bahawa Qiamat itu pasti datang dan setiap perbuatan itu akan dipertanggungjawabkan, sewajarnya mengambil iktibar daripada peristiwa israk mikraj yang menakjubkan itu Solat pula adalah satu ibadat yang istimewa dan terpenting. Rasulullah menerimanya secara langsung dari Allah sedangkan ibadat puasa, zakat dan haji diwahyukan melalui Malaikat Jibrail.
Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj mengandungi lautan hikmah yang harus dikaji dan diteliti terutama betapa pentingnya solat dalam kehidupan seseorang Muslim. Dengan solat, setiap Muslim dapat berhubung dengan penciptanya lima kali sehari dalam bentuk dialog langsung. Jika kita jauh tersesat dan banyak melanggar larangan Allah, hentikanlah dengan segera dan kembali melakukan pekerjaan kebajikan.
|
|
|
Post by StRiDeR on Jan 12, 2004 21:19:44 GMT 8
Kelebihan Ibadah Korban --------------------------------
Amalan menyembelih korban merupakan satu ibadah sunat yang dikerjakan pada setiap hari Raya 'Idul Adha atau lebih dikenali dengan Hari Raya Korban iaitu pada 10,11 12 dan 13 Zulhijjah.
Binatang-binatang korban itu pula terdiri daripada unta, lembu, kerbau atau kambing. Ibadat ini menjadi bukti keikhlasan dan kesetiaan serta ketaatan hamba kepada Allah. Melaksanakan ibadah mempunyai banyak kelebihan yang dikurniakan oleh Allah. Dengan berkoban kita mendapat tempat yang mulia di sisi Allah, sebagaimana dijelaskan oleh Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam dalam sabdanya bermaksud : "Wahai manusia, sembelihlah korban dengan mengharapkan pahala daripada Allah dengan darahnya. Sesungguhnya darah korban itu jika ia tumpah ke bumi maka ia akan mengambil tempat yang mulia disisi Allah 'Azza wajalla" (hadis riwayat Thabarani) Berkorban juga boleh menebus dosa-dosa kita iaitu dengan setiap titisan darahnya , sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam kepada Sayyidatina Fatimah bermaksud : "Hai Fatimah berdirilah di sisi korbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atau dosa-dosamu " (Hadis riwayat al-Bazzar dan Ibnu Hibban) Binatang -binatang yang dikorbankan tersebut akan menjadi tunggangan atas titian (sirat ) pada Hari Kiamat, sepertimana dipetik daripada sebuah kitab yang mana Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud : "Perbesarkanlah oleh kamu akan sekalian korban kamu kerana bahawasanya ia jadi tunggangan kamu atas titian pada Hari Kiamat." Bulu binatang yang dikorbankan itu juga adalah satu kebajikan sebagaimana menurut sebuah hadis bermaksud : "Korban itu bagi tuannya dengan setiap bulunya adalah kebajikan" (Hadis riwayat at-Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim) Jika diperhatikan daripada keterangan di atas, jelas bahawa keseluruhan amalan atau pekerjaan yang berhubung-kait dengan ibadah korban itu, mempunyai kelebihan yang sangat besar kepada orang yang melakukan ibadah korban itu. Bermula daripada perbuatan menyembelih, menyaksikan penyembelihan, darah, bulu, dan memperbesarkannya semuanya akan mendapat ganjaran daripada Allah Subhanahu Wata'ala.
|
|
|
Post by StRiDeR on Jan 14, 2004 19:53:54 GMT 8
Hijrah dan penghayatan -------------------------------
Peristiwa hijrah Rasullullah s.a.w. dengan sahabat-sahabatnya dari kota Mekah ke kota Madinah merupakan peristiwa yang sangat penting kepada umat Islam seluruh dunia, dan peristiwa ini sering diperingati pada setiap tahun. Selama 13 tahun Rasullulah menjalankan usaha dakwahnya di Mekah, menyeru kaum kafir Quraish supaya beriman dengannya, namun usaha ini hanya diterima oleh segelintir kecil sahaja dari kalangan mereka. 13 tahun bukanlah satu masa yang singkat, lebih-lebih lagi dalam masa tersebut dipenuhi dengan berbagai-bagai rupa kezaliman dan kekejaman, penderitaan dan azab sengsara.
Kemuncak dari kekejaman dan penyeksaan musuh-musuh Islam ialah keazaman bulat untuk membunuh baginda Rasullullah s.a.w. Hanya dengan pertolongan daripada Allah sahaja yang dapat melepaskan Rasullullah s.a.w. daripada rancangan dan niat jahat musuh-musuh Islam ini. Setelah mendapat pembelaan dan pertolongan daripada Allah, maka berlakulah penghijrahan Rasullullah dari kota Mekah ke kota Madinah bersama-sama dengan sahabat baginda saidina Abu Bakar as Siddiq di tengah malam yang gelap pekat pada tahun 622 Masihi.
Motif sebenar hijrah baginda Rasullullah ini bukanlah kerana putus asa, atau kerana kelemahan atau kerana lari dari kekejaman dan penyeksaan atau kerana takut mati dan bacul untuk menghadapi musuh. Tetapi motif sebenatnya ialah akidah dan agamanya dari fitnah musuh, kerana membawa akidah dan agamanya ke bawah naungan langit yang tenang dan damai, sehingga hijrah itu menjadi wajib ke atas setiap mukmin yang berkuasa dan terdaya.
Tegasnya kedamaian dan ketenangan dalam menganuti akidah dan agamanya itulah motif hijrah. Oleh hal yang demikian maka beberapa hijrah yang terdahulu daripada itu telah diizinkan sebelum hijrah ke kota Madinah secara umum dan menyeluruh dibenarkan.
Hijrahnya Rasullullah s.a.w. dan para sahabat dengan segala pengorbanan dan kesusahan, adalah semata-mata kerana menyahut seruan Allah bagi meninggalkan buat sementara negeri Mekah yang ketika itu dipenuhi dengan kekufuran dan kesyirikan. Mereka menuju ke kota Madinah untuk mendirikan sebuah masyarakat yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai Islam menurut ajaran Allah dan RasulNya.
Justeru itu, peristiwa hijrah adalah peristiwa yang amat penting dalam sejarah Islam dalam konteks mendirikan sebuah masyarakat Islam di Madinah. Oleh sebab itu, hijrah merupakan kewajipan utama yang mesti dilaksanakan oleh umat Islam ketika itu, kerana tanpa hijrah tersebut masyarakat Islam tidak dapat dibentuk. Dalam berhijrah, terkandung tiga perkara yang tidak boleh dipisahkan, iaitu Iman, Hijrah dan Jihad.
Iman menjadi titik tolak untuk berhijrah. Hijrah pula merupakan suatu ujian kepada kekuatan iman, yang kelak akan menghasilkan jihad ke jalan Allah, dan menerusi jihad pula akan menjamin kejayaan di dalam perjuangan menegakkan masyarakat Islam. Ketiga-tiga rangkaian inilah yang telah disebutkan oleh Allah dalam surah at Taubah ayat 20, yang maksudnya; "Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (yakni daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang haji dan orang-orang memakmurkan masjid sahaja), dan mereka itulah orang-orang yang berjaya."
Umat Islam di zaman Rasullullah s.a.w. telah beriman dengan Allah dan telah berhijrah bagi mendirikan masyarakat Islam, dan mereka juga telah berjihad di jalan Allah. Oleh itu, mereka telah memperolehi kejayaan di dunia dan juga di akhirat. Iman sahaja tidak mencukupi untuk menjadi seorang hamba Allah yang taat. Iman yang benar-benar ikhlas dan jujur akan mendatangkan hasil yang dapat dilihat. Hasil iman ialah amal yang bersungguh-sungguh menurut segala ajaran Allah, dan berusaha menghasilkan sebuah masyarakat Islam yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai keIslaman.
Sejarah telah menceritakan kepada kita kisah-kisah yang istimewa dan jarang ditemui apabila masyarakat Islam pertama hendak didirikan di Madinah pada tahun 622 Masihi, iaitu ketika berlakunya peristiwa hijrah Rasullullah s.a.w. Kisah-kisah ini sebenarnya menggambarkan suatu pengorbanan yang besar yang telah diberikan oleh umat Islam bagi menyahut seruan Allah dan rasulNya bagi mendirikan sebuah masyarakat Islam di Madinah. Oleh kerana mendirikan masyarakat Islam itu merupakan suatu tanggungjawab yang wajib dipikul oleh setiap individu Muslim, maka semuanya rela menunaikan amanah itu dengan penuh ikhlas dan jujur hingga terlaksananya pembentukan masyarakat Islam pertama di Madinah al Munawwarah.
Hijrahnya umat Islam dari Mekah ke Madinah adalah untuk menyahut panggilan Allah dan RasulNya bagi mendirikan sebuah masyarakat Islam yang ideal, yang akan menjadi contoh selama-lamanya. Usaha seperti ini tidak akan berjaya tanpa iman yang kukuh dan pengorbanan yang besar dan ikhlas hanya kerana Allah. Di mana kesemuanya ini dilakukan hanyalah untuk mencari keredhaan Allah dan bukan kerana kepentingan peribadi ataupun sebagainya.
Iman yang sebeginilah yang telah berjaya ditanam dan dipupuk oleh baginda Rasullullah s.a.w. kepada pengikutnya, dan natijahnya dapat dilihat daripada peristiwa hijrah. Iaitu iman yang bukan hanya disebut dilidah, tetapi iman yang terukir di dalam hati, iman yang mengisi segala ruang hatinya. Iman yang teruji adalah iman yang kukuh dan teguh, iman yang bersih dan jernih. iman yang benar dan jujur, iman yang tinggi dan terbukti. Oleh hal yang demikian hubungan antara iman dan ujian merupakan hubungan yang pasti dan tabii. Tiada ujian pada hakikatnya adalah tiada iman, iaitu iman yang teruji dengan nama, dengan kedudukan dan pangkat, teruji dengan harta dan kekayaan, teruji dengan kelazatan dan keseronokan kebendaan, kesenangan dan kemewahan, dan teruji dengan hawa nafsu dan keindahan yang palsu.
Seterusnya peristiwa hijrah mengajar kita supaya mengenal erti jihad. Jihad dengan pengertiannya yang luas meliputi segala bidang usaha dna amal, perjuangan dan pengorbanan, sama ada denga lisan atau kalam, sama ada dengan ilmu pengetahuan, wang atau harta kekayaan, ataupun sama ada dengan mata pedang atau nyawa dan tubuh badan. Jihad yang dipamerkan oleh umat terdahulu menerusi hijrah ialah jihad untuk membela dan membantu Allah dan RasulNya. Iaitu membela agama Allah dengan erti dan konsep yang didatangkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui wahyuNya iaitu al Quran, dan bukannya Islam seperti yang difahami oleh manusia-manusia yang jahil kepada hakikat Islam.
Jiwa jihad tidak mungkin hidup pada setiap Muslim dan juga pada umat Islam tanpa mereka mempunyai rasa cintakan Allah dan RasulNya lebih dari segala-galanya. Iaitu lebih dari ibubapanya, anak isterinya, atau saudara-maranya, atau dari harta benda dan pangkat dan ketinggian. Jelasnya, tanpa rasa cintakan Islam tidak mungkin sama sekali akan sanggup berjihad kerana Allah.
Justeru itu, jelas kepada kita kenapakah hijrah yang telah dilakukan oleh Rasullullah bersama-sama dengan para pengikutnya itu telah berjaya mencapai matlamatnya, di mana mereka telah berjaya mencapai kemenangan yang besar untuk mempertahankan akidah dan agama dan menyebar-luaskan deen yang suci ini ke seluruh dunia.
Bagaimanakah pula kita umat Islam masakini. Adakah konsep hijrah yang telah dirakamkan oleh sejarah telah dapat kita fahami dan hayati, sepertimana yang yang telah ditunjukkan oleh pengikut Rasullullah s.a.w. Apa yang jelas dalam kehidupan umat Islam kini menggambarkan kita amat jauh daripada menghayati konsep hijrah. Hijrah sepatutnya membawa perubahan dalam hidup ke arah yang lebih baik, sempurna dan diredhai Allah. Di mana hasilnya ialah kemenangan kita dalam mempertahankan akidah, agama, cara hidup dan nilai-nilai yang kita amalkan.
Di antara ciri-ciri kemenangan yang perlu ada pada diri kita sebagai seorang Islam menerusi penghayatan hijrah ialah;
1. Seorang yang beriman kepada Allah dan taat serta patuh kepada segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya
2. Orang yang beriman dengan Rasullullah s.a.w., memuliakannya, menolong dan membelanya, dan mengikuti cahaya kebenaran yang diturunkan oleh Allah melaluinya.
3. Orang yang sentiasa membersihkan jiwanya.
4. Orang yang mendapat petunjuk daripada Allah s.w.t.
5. Orang yang berjihad dengan harta benda dan dirinya.
6. Orang yang bertaqwa, bertaubat, dan sering mengingati Allah.
Akhirnya perlulah kita fahami bahawa hijrah merupakan syiar keimanan, sama ada hijrah dari suatu tempat kekufuran, kemusyrikan dan kejahilan kepada tempat yang dinaungi akidah keimanan dan hakikat kebenaran. Atau hijrah dari kemaksiatan, kemungkaran dan kefasikan kepada ketaatan, kemakrufan dan kesalihan. Seterusnya hijrah dari ketaatan kepada ketaqwaan dan seterusnya kepada mendekatkan diri kepada Allah. Demikianlah juga hijrah dari dunia kepada akhirat, iaitu hijrah dari cintakan dunia kepada cintakan Allah dan hari akhirat.
|
|