Warisan seni bina kerajaan Sukhothai
Oleh Azran Jaffar
GAYA sederhana yang menampilkan ciri-ciri etnik
menonjolkan keperibadian pada beranda yang
menghadap persekitaran menghijau.
SENI hias rumah dan bangunan di Thailand banyak dipengaruhi adat budaya silam. Malah landskap persekitaran kawasan perumahan juga memaparkan ciri tersendiri yang dipadankan dengan unsur flora dan fauna.
Apa yang pasti, pemerintahan kerajaan Sukhothai di Thailand selama lebih 200 tahun, mencipta banyak kecemerlangan dalam bidang kebudayaan di negara gajah putih itu termasuklah terhasilnya gaya tersendiri dalam bidang seni bina dan kesenian.
Walaupun masih terdapat unsur-unsur luaran yang dipinjam dari Khmer, Mon dan Singhalese, namun pada zaman ini seni bina kediaman di Thailand bagaikan menampilkan jati diri tersendiri dengan ciri yang paling ketara adalah menara berbentuk kelopak bunga teratai.
Antara kediaman dengan bangunan untuk beribadat masih ada unsur yang memisahkan dan membezakan antara kedua-duanya iaitu dari segi bahan binaan. Kerana fungsi kedua-duanya yang berbeza, rumah kediaman biasanya dibina menggunakan kayu dan buluh manakala bangunan untuk beribadat menggunakan bata dan batu.
Ciri ini dapat dilihat dalam buku Thai Style hasil gambar dan tulisan oleh Luca Invernizzi Tettoni dan William Warren, terbitan Times Editions. Buku setebal 231 halaman ini menceritakan sejarah pembentukan rumah tradisional Thailand juga penerapan ciri-ciri tradisional dalam rekaan rumah moden.
Dipenuhi dengan gambar menarik yang memperlihatkan ciri-ciri kediaman moden dan tradisional Thailand serta bangunan untuk beribadat, ia turut melampirkan beberapa lakaran pelan kediaman serta pola motif-motif ukiran Thailand.
Dibahagikan kepada enam bab, ia sesuai untuk mereka yang ingin mendalami seni bina dan seni hiasan Thailand yang terkenal dengan kehalusan dan daya cipta mengagumkan.
KEDIAMAN yang dibina menghadap
ke terusan dan sungai bukan
saja membentuk ciri-ciri
unik tetapi juga memperlihatkan
landskap air yang cukup
menawan.
Menurut buku Thai Style ini, dari bentuk yang dicipta pada zaman Sukhothai, gaya rumah kediaman di Thailand kemudiannya diperhebatkan pada zaman Ayutthaya, kerajaan yang dibina sekitar abad ke-14 di persekitaran lembangan Chao Phya yang menyaksikan kemakmuran.
Terbentang di kawasan lembangan, terusan dan sungai menjadi bentuk perhubungan dan kerana kepentingannya kebanyakan rumah dibina menghadap terusan dan sungai bagi memudahkan penghuninya.
Walaupun terdapat unsur-unsur tambahan, namun seni bina rumah kediaman masih menampakkan ciri-ciri ringkas dengan elemen pelantar yang ditinggikan untuk memberikan kemasukan udara mula diperkenalkan, yang terus dianggap praktikal sehingga ke hari ini.
Pada zaman ini juga, evolusi seni bina rumah kediaman penduduk Thailand sampai ke penghujungnya yang memperlihatkan hujung atap berlengkuk juga dinding yang mengasingkan ruang.
Ciri-ciri seni bina ini kemudiannya menjadi pandangan biasa di Thailand. Bagaimanapun dengan peningkatan dalam jumlah penduduk, terusan dan sungai tidak lagi menjadi sumber pengangkutan utama dan jalan darat mula dibina.
Kesannya juga menyebabkan rumah kediaman semakin keluar dari kawasan sungai terusan dan ramai yang mula membina penempatan di kawasan darat.
Arus pemodenan juga mula menyaksikan perubahan dan dari bentuk yang ringkas ada yang mula menampakkan ciri-ciri asing dengan rumah yang lebih besar. Apa pun pembinaan rumah kediaman tetap merujuk kepada landskap, cuaca dan gaya hidup timur.
Seorang pelukis keturunan Inggeris PA Thompson dalam memerikan seni bina rumah tradisional di Thailand menceritakan: “Lantainya yang berada di ketinggian enam hingga tujuh kaki dari tanah diperbuat daripada kayu jati dan disokong oleh beberapa tiang. Di kedua-dua hujung lantai terdapat rumah kecil yang juga diperbuat daripada kayu jati. Jika di kawasan bandar atapnya diperbuat daripada jubin, tetapi di kawasan kampung rumah diatap dengan bahan semula jadi. Bagi mereka yang miskin, lantai rumah diperbuat daripada buluh begitu juga dengan dinding yang diselang-selikan dengan buluh dan atap. Lantai ini biasanya juga diisi dengan pokok-pokok bunga yang mana bertambah indah apabila rama-rama mula mendekatinya. Ia membentuk laman dalaman. Bilik tidur dibina di bahagian belakang dan di depan adalah beranda yang luas sebagai tempat ahli keluarga berkumpul serta menjalankan kegiatan harian pada siang hari.”
Kebanyakan rumah tradisional Thailand tidak diisi dengan perabot kecuali di kalangan mereka yang berada yang mungkin mempunyai katil dan meja dengan kaki berukir, pengaruh dari gaya China.
Rumah masyarakat Thailand diwarnakan dengan tumbuhan yang diletakkan di bahagian terbuka. Selain warna, pemilihan jenis pokok juga adalah kepada jenis yang mengeluarkan bau yang harum seperti pokok melur. Terdapat juga beberapa jenis bunga yang dikategorikan sebagai wahn atau membawa nasib baik, disusun sepanjang hujung lantai.
Di persekitaran rumah pula terdapat juga beberapa pilihan pokok tertentu seperti ma-yom (sejenis pokok yang mengeluarkan buah yang masam) yang ditanam di halaman rumah kerana dipercayai membuatkan orang suka kepada pemilik rumah berkenaan juga pohon nangka yang ditanam di bahagian belakang kerana ia dipercayai bertindak sebagai penyokong.
Selain itu tumbuhan herba untuk kegunaan dalam masakan juga ditanam seperti daun pudina, lada hitam, serai, halia dan kunyit juga pokok buah-buahan seperti kelapa, mangga, asam jawa, jambu dan nona.
Ada juga beberapa jenis pokok yang dianggap pantang yang tidak ditanam di kawasan rumah seperti pokok bunga cina, juga pohon Bodhi yang dikaitkan dengan Buddha dan pokok jenis ficus kerana dipercayai menarik semangat jahat.
Walaupun perubahan dalam teknologi dan bahan binaan menyaksikan pelbagai reka bentuk rumah kini mewarnai persekitaran Thailand, namun gaya tradisionalnya masih tetapi memikat.
Kesederhanaan serta bentuknya yang ringkas di samping adunan landskap yang hijau dan mengharum, menyuburkan lagi reka bentuknya.