zuchin
Junior Student
Di hati tetap satu
Posts: 159
|
Post by zuchin on Jan 11, 2005 11:32:17 GMT 8
Sekolah dalam taman Cerita dan gambar oleh Amran Abdullah HIASAN sederhana namun sentuhannya menimbulkan suasana ceria pada laman kediaman. KEJAYAAN mewujudkan taman di perkarangan sekolah serta menjadikan kraftangan sebagai penghias beberapa sudut sekolah menarik ribuan pengunjung dan pelancong asing ke Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Kerian 1, Kelantan. Kesungguhan pengetua, guru, kakitangan sekolah dan pelajarnya, meletakkan SMKKK1 meraih banyak hadiah sama ada di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kubang Kerian, negeri serta kebangsaan. Kemuncak kejayaan, SMKKK1 dianugerahkan Sekolah Harapan Negara pada 2003 bagi kategori sekolah bandar. Usaha memurnikan pusat sumber sekolah dengan menempatkan pelbagai aktiviti kesenian dan kebudayaan rakyat Malaysia, sekolah ini turut meraih anugerah Pusat Sumber Sekolah Cemerlang 2001. “Pihak sekolah dengan kerjasama pelajar memanfaatkan sepenuhnya peluang dan pembelajaran bagi menghayati kebudayaan serta kesenian rakyat Malaysia, membolehkan kami muncul juara kategori itu” kata Pengetuanya, Abu Hassan Shaari Abd Rahman. Kerjasama masyarakat daerah itu dan Hospital Besar Kubang Kerian mengambil sebahagian pelajar sebagai anak angkat serta mengajarkan astronomi sebagai satu mata pelajaran semasa aktiviti kokurikulum di luar bilik darjah adalah satu langkah bijak. Sudut Kecergasan Jasmani yang diletakkan di satu penjuru sekolah, membolehkan tenaga pengajar serta pelajar di situ melalui kegiatan sukan serta kecergasan dilakukan hanya di tempat itu tanpa pergi jauh ke taman rekreasi lain. Kebanyakan guru dan pelajar banyak melakukan senaman serta kecergasan ringan di kawasan itu dan ini menanamkan rasa sayang kepada sekolah pada setiap masa. Pada 2002, hasil pemuafakatan ini membolehkan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) SMKKK1 muncul tempat kedua kategori Pengurusan PIBG peringkat negeri Kelantan. Malah di dalam taman itu ada pondok pembelajaran yang dibina PIBG SMKKK1 yang bukan sahaja digunakan sebagai tempat berteduh sebaliknya menjadi pusat pembelajaran kedua selepas bilik darjah. Kebanyakan buku yang disumbangkan kepada pondok pembelajaran ini datangnya daripada orang ramai, guru-guru serta pelajar lepasan sekolah ini. Usaha warga SMKKK1 telah membuahkan banyak kejayaan termasuk dalam bidang akademik. Sepanjang tahun 2002 hingga 2004, sekolah itu muncul juara Pesta Pantun peringkat daerah, manakala pada peringkat negeri muncul di tempat kedua Juara 3K (Kebersihan, keceriaan dan keselamatan) pada tahun 2002, Johan Pusat Sumber Sekolah serta tempat kedua Inovasi Akademi peringkat negeri Kelantan pada tahun 2003. Abu Hassan berkata, kejayaan dikecapi SMKKK1 ini adalah bukti 3,048 pelajar dan 164 kakitangan akademik serta sokongan masyarakat setempat menjalin kerjasama dan permuafakatan bagi membina kejayaan. “Sesuatu yang terbaik boleh dicapai jika mengutamakan kerja secara berkumpulan serta terdapatnya suasana sekeliling yang sihat bagi membantu meningkatkan kecemerlangan” katanya.
|
|
zuchin
Junior Student
Di hati tetap satu
Posts: 159
|
Post by zuchin on Jan 11, 2005 11:36:07 GMT 8
Halaman sempit tetapi menawan Oleh Azran Jaffar HIASAN sederhana namun sentuhannya menimbulkan suasana ceria pada laman kediaman. TAMAN yang merimbun dengan pelbagai jenis pokok adalah sesuatu yang menawan. Apa pun, dalam soal pembentukan landskap di halaman rumah, ia sebenarnya tidak mempunyai peraturan khusus dan terpulang kepada cita rasa seseorang. PANCURAN air di sudut memberikan ketenangan. Ada yang lebih senang mengaitkan rekaan landskap dengan suasana yang diterapkan di dalam rumahnya manakala ada sesetengah pula yang berasa mewujudkan dua suasana berlainan untuk dalam dan luar rumah memberikan sentuhan lebih menarik. Bagi Raja Kamarul Azzahar, beliau lebih senang dengan konsep kurang tetapi menawan dan gaya inilah yang diterapkan pada kediamannya yang terletak di Kota Damansara. Dengan hiasan dalaman yang menekankan kepada penggunaan perabot yang minimum, gaya sama turut dilepaskan pada halamannya. Walaupun halaman yang dimilikinya sederhana besar dan mampu menampung bilangan pokok yang agak banyak, namun beliau lebih senang melihat halamannya hijau ditutupi rumput mutiara. Dengan hanya sepohon traveller’s palm di dalam pasu yang diletakkan di sudut berhampiran tembok luar, Raja Kamarul Azzahar menambah seri halamannya dengan pancuran yang terdiri daripada tiang berukiran kerawang serta pasu bulat yang dihiasi dua patung katak. Sekeliling tapak pancuran itu pula diisi dengan batu-batu sungai yang membentuk formasi empat persegi untuk mewujudkan suasana semula jadi, selain bertujuan menghindari air daripada menakungi bahagian ini serta mengelakkan percikan air pergi jauh sehingga ke lantai anjung. Dihasilkan dengan tangan sendiri, Raja Kamarul Azzahar berkata, beliau menyenangi gaya sebegini kerana nampak lebih kemas dan tersusun di samping penyelengaraannya yang agak minimum. Rumput mutiara yang memenuhi keseluruhan halamannya disulam dengan blok-blok batu yang membentuk laluan yang mana di antara blok-blok batu ini pula diisi dengan batu-batu sungai yang lebih kecil. Begitu juga di bahagian menempatkan pasu berisi traveller’s palm yang disusun batu-batu sungai memperlihatkan bentuk empat segi memanjang bagi memberikan keseimbangan dengan bahagian yang menempatkan pancuran air. Di satu sudut bahagian anjung yang berturap jubin pula, Raja Kamarul Azzahar menempatkan beberapa pasu yang diisi dengan pelbagai jenis pokok dan disusun tinggi rendah bagi menimbulkan suasana rimbun. Ia sengaja dibuat begitu bagi mewujudkan suasana hijau di kawasan itu di samping berfungsi menutup pandangan di belakangnya yang menempatkan basikal anaknya. Bagi menambah seri, beliau meletakkan sebuah bangku kayu tiga dudukan di kawasan anjung itu yang membelakangkan jeriji untuk tingkap kaca sorongnya manakala di sudut berhampiran tiang anjung kereta diletakkan satu pasu besar berisi pokok hiasan. Walaupun hiasannya agak sederhana, namun Raja Kamarul Azzahar menyuntik keceriaan di halamannya dengan menggantung enam buah pelita lilin daripada logam yang disusun tinggi rendah. “Memang sengaja saya gantung sebegitu bagi memberikan kelainan dan ia berfungsi memberi cahaya tambahan pada waktu malam,” katanya.
|
|
zuchin
Junior Student
Di hati tetap satu
Posts: 159
|
Post by zuchin on Jan 11, 2005 11:37:18 GMT 8
|
|
zuchin
Junior Student
Di hati tetap satu
Posts: 159
|
Post by zuchin on Jan 11, 2005 11:40:27 GMT 8
Luang masa selenggara taman Oleh Azran Jaffar DI HALAMAN rumah Ng macam-macam pokok ada dan pelbagai tema dipersembahkan. Ada gaya tropika, ada gaya kedesaan Inggeris, ada taman Jepun, ada taman bonsai dan topiari juga satu sudut yang dipenuhi dengan pelbagai jenis kaktus. - Gambar oleh Afendi Mohamed HIDUP seharian bagaikan tidak lengkap jika tidak menjenguk dan membelek pokok bunga kesayangannya. Berbekalkan sebuah topi bagi menghalang daripada terik mentari pagi serta pisau pemangkas, Ng Kui Lin akan menghabiskan masa tiga hingga empat jam sehari menyelenggarakan tamannya. Tugasnya bermula seawal 7.30 pagi selepas kedua-dua anaknya sudah ke sekolah dan suaminya sudah keluar ke tempat kerja dan bagi Ng tiada apa yang lebih menyenangkannya selain dapat bersama pokok-pokoknya setiap hari. DI DALAM tempayan Cina itu diisi beberapa ikan emas jenis ping pong yang riang bermain di bawah jatuhan air. “Anak saya kedua-duanya sudah besar, seorang dalam tingkatan dua dan seorang lagi dalam tingkatan empat, jadi tidak banyak kerja yang perlu saya lakukan pada waktu pagi, jadi inilah cara saya menghabiskan masa,” katanya sewaktu ditemui di kediamannya di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. Mendiami lot tengah, halaman Ng sebenarnya tidaklah begitu luas, tetapi kerana banyaknya pokok bunga yang diisi di samping dibuat sudut-sudut kecil yang memaparkan tema tersendiri, jadi banyak masa dihabiskan di tamannya. “Macam pokok petunia dan periwinkle ini, saya kena buang satu persatu bunga dan daun yang sudah layu supaya ia sentiasa nampak cantik serta segar. “Inilah juga petuanya bagi memastikan pokok ini dapat tahan lama,” katanya sambil tangannya leka membalik-balikkan rimbunan pohon petunia di hujung cucur atapnya, mencari jika masih ada daun layu yang tidak dibuang. Apa yang dapat dikatakan, di halaman Ng macam-macam pokok ada dan pelbagai tema dipersembahkan. Ada gaya tropika, ada gaya kedesaan Inggeris, ada taman Jepun, ada taman bongsai dan topiari juga satu sudut yang dipenuhi dengan pelbagai jenis kaktus. Bagi taman topiarinya yang dibina di luar pagar hadapan rumah, pokoknya dipangkas cantik dengan bentuk love dan diserikan pula dengan kehijauan beberapa pokok lidah buaya. “Saya sukakan pokok dan sekurang-kurangnya dua kali sebulan saya ke Sungai Buloh untuk membeli pokok dan ada kalanya sehingga seminggu sekali kerana saya berasa seronok bila berada di sana. “Sebenarnya, hati saya senang bila melihat pokok-pokok saya hidup subur kerana itu saya tidak kisah menghabiskan banyak masa untuk pokok-pokok ini kerana saya gembira dengan pekerjaan ini,” katanya. Ng juga tidak melupakan elemen air dan walaupun tidak banyak ia cukup memberikan kesan yang menarik. Dengan satu pasu diisi pohon telipok, satu lagi bentukan elemen ini dibuat menggunakan gabungan tempayan Cina dengan batu pengisar tepung yang membentuk air terjun. Di dalam tempayan Cina itu diisi beberapa ikan emas jenis ping pong yang riang bermain di bawah jatuhan air. Di samping itu Ng turut meletakkan beberapa tempayan jeruk di sekitar halamannya yang diisi dengan tumbuhan water lettuce. Selain pokok, Ng turut menambah hiasan taman di halamannya dengan patung haiwan dan juga patung budak. Bagi menyerikan lagi persekitaran halamannya, yang sekali pandang nampak seperti kedesaan Inggeris melalui gantungan pokok petunia, Ng turut meletakkan sebuah meja bulat dari besi tempawan dengan dua buah kerusi. “Tempat ini menjadi kegemaran saya dan suami menikmati minum petang sambil mengambil angin,” kata Ng. Namun, dalam menghasilkan taman yang menarik Ng sebenarnya tidak bersendirian kerana minat itu turut dikongsi bersama jiran yang berada di kiri dan kanan rumahnya. Mereka sering bertukar pendapat dalam soal penjagaan tanaman serta membentuk sudut-sudut menarik di taman.
|
|
zuchin
Junior Student
Di hati tetap satu
Posts: 159
|
Post by zuchin on Jan 11, 2005 11:44:06 GMT 8
Suasana malam indah simbahan cahaya panjut, tanglung Oleh Azran Jaffar TEALIGHT candle di dalam bekas kaca diletakkan di tengah-tengah meja makan sebagai pemberi cahaya tambahan. - Gambar oleh galeriiizu@Kenny Hill KEINDAHAN malam pada musim Aidilfitri masih bermain di mata. Halaman yang dipenuhi pohon semakin berseri dengan cahaya kemilau membentuk persekitaran yang cukup mengasyikkan. Suasana malam sebenarnya mewujudkan panorama tersendiri dan sesuatu rekaan landskap nampak lebih dramatik dan mengesankan jika disimbahi cahaya di sudut-sudut tertentu. Suasana ini sudah tentu sama sekali berbeza dengan rupa bentuk landskap berkenaan pada waktu siang yang mana semuanya jelas pada pandangan, berbanding malam yang memberikan suasana kelam. Dengan udara malam yang lebih dingin, di samping kesan menarik yang ditimbulkan, sudah tentu mengadakan majlis di halaman pada waktu malam satu ilham yang menyegarkan. Bersempena Syawal yang kini memasuki minggu kedua, kenapa tidak majlis rumah terbuka diadakan pada waktu malam di dalam persekitaran taman dengan simbahan cahaya dari lampu taman juga lampu panjut. Apa pun, yang pasti, jika taman anda kurang menarik tetapi dengan kilauan cahaya yang samar-samar ini pemandangan halaman anda akan tetap memberikan kesan menyenangkan. LAMPU tanglung diletakkan pada payung di dek untuk menceriakan ruang. (Lagipun, siapalah yang nak belek sangat pokok-pokok anda dalam gelap-gelap begitu, tambahan pula pokok yang ditanam di hujung halaman, takkan ada siapa yang nak ke sana.) Apa yang hendak ditekankan di sini, walaupun reka bentuk landskap anda adalah hasil tangan anda, yang mana bagi sesetengah orang (mungkin juga jiran anda) tidaklah sebagus yang dihasilkan pereka landskap ternama, namun kesan daripada cahaya mampu menyerlahkan landskap kediaman anda pada waktu malam. Tidak perlu juga bersusah payah memasang lampu taman yang mahal-mahal, memadai jika anda menggunakan lampu panjut (seperti suasana pada majlis puak dalam rancangan Survivor) dan juga tealight candle yang kini banyak di pasaran dengan harga yang agak berpatutan. Letakkan saja tealight candle ini di sekitar halaman, apa yang dapat dikatakan, kesannya memang menakjubkan, lagipun bukannya selalu anda mengadakan majlis pada waktu malam dan biasanya majlis ini adalah antara empat hingga lima jam dan lilin dapat bertahan untuk jangkamasa itu. Tak perlu hendak memeningkan kepala memasang litar di sekitar halaman kerana kaedah tealight candle lebih mudah dan selamat (di samping itu, tak ada yang akan persalahkan anda kalau ada yang terkena kejutan elektrik). Penataan taman pada waktu malam yang dipaparkan oleh Izuldin Hani (Izu) di kediamannya di Bukit Kenny, Kuala Lumpur, yang juga dijadikan galeri lukisan mungkin dapat memberi ilham bagaimana gaya ini dapat dihidupkan. Dengan taman yang sederhana besar, Izu beruntung kerana pokok besar milik jirannya memberikan teduhan pada sebahagian rumahnya dan ini membolehkan beliau meletakkan satu set kerusi taman di tengah halaman. Di samping itu, beliau turut membina sebuah dek di hujung taman yang bercerun sebagai ruang duduk tambahan. Bagi menambah kehijauan dan warna, Izu meletakkan beberapa pokok pasuan tambahan di sekitar halaman dan juga beberapa pasu gantung. Beliau turut meletakkan beberapa bahan hiasan taman seperti patung zirafah dan juga bekas lampu manakala beberapa sudut ditabur dengan batu kerikil bagi menutup kesan tanah. Izu kerap mengadakan majlis makan pada waktu malam yang dibuat secara jamuan berselerak dan untuk itu, selain menggunakan lampu elektrik, beliau menambah dengan lampu panjut dan juga tanglung bagi memberikan cahaya tambahan. Dengan ruang utama rumah dibiarkan terang manakala kesemua pintu dibuka, cahaya dari dalam digunakan untuk menerangi bahagian luar. Bagaimanapun, halangan seperti bumbung tidak mampu memberikan terang yang maksimum. Di sinilah lampu-lampu tambahan memainkan peranan yang mana ia bukan sekadar menerangkan persekitaran tetapi juga memberikan kesan menarik pada keseluruhan halaman. Untuk menambah warna dan gaya, tanglung pelbagai warna digunakan yang memberikan kesan lebih menarik kepada halaman. Apa pun, dalam membentuk suasana menarik untuk taman pada waktu malam, apa yang perlu adalah sikap berani mencuba. Ini kerana apa saja jenis lampu dan lilin yang anda gunakan ia tetap memberikan kesan menarik. Cuma yang membezakannya adalah kesannya, kerana cahaya lilin mungkin lebih kelam berbanding lampu elektrik dan terpulang kepada anda membentuk cahaya yang diingini dan jika sebatang lilin tidak memadai, tambahan dua tiga kerana dalam membentuk suasana tidak ada peraturan yang khusus.
|
|
zuchin
Junior Student
Di hati tetap satu
Posts: 159
|
Post by zuchin on Jan 11, 2005 11:48:13 GMT 8
Pokok lada hiasan mudah terserlah Oleh Torek Sulong BUAH lada berwarna oren menjadi satu gubahan unik hasil kombinasi daunnya yang hijau sebagai warna latar – Gambar oleh Torek Sulong SELAIN pokok hiasan, lada yang diklasifikasikan dalam kumpulan sayuran masih boleh digunakan sebagai tumbuhan yang menarik apabila pelbagai spesies kacukan ditanam di perkarangan rumah. Capsicum annum adalah nama botaniknya dan ia dipanggil Chili Pepper yang turut digolongkan dalam spesies buahan di negara asalnya di Amerika Selatan. Pokok semusim ini anggun ditanam dalam pasu pelbagai saiz mengikut teksturnya. Pemasuan semula tidak perlu dilakukan kerana pokok ini akan menyerlahkan kecantikannya selepas mengeluarkan buah pada musim kedua. Daya tarikan bergantung sepenuhnya kepada serlahan buah yang menarik. Pelbagai pilihan boleh dilakukan sama ada ingin memilih buah berjambak, bersaiz kecil, besar, panjang atau halus bentuknya. Teksturnya padat dan rimbun dalam lingkungan 22.5 sentimeter (sm). Bagaimanapun pokok yang subur boleh menjangkau 45 sm. Daunnya pula berukuran lima sm pada semua dahan dengan batang induknya berkayu lembut dan mengeluarkan kuntuman kecil bunga putih. Lada hybrid yang berbentuk tomato atau ceri memang diminati ramai sejak kebelakangan ini. Ia menyerlahkan buah yang merah bersinar dengan ukuran diameter matang 2.5 sm. Sementara buah berbentuk kun memanjang boleh menjangkau sehingga lima sm, berubah warna daripada hijau kepada kuning, oren dan berakhir dengan warna merah. Pokok lada hybrid lazimnya mengeluarkan buah dalam bentuk gugusan, berjambak dan memanjang sehingga 7.5 sm. Spesies ini juga berubah warna kepada merah apabila matang. Spesies tumbuhan semusim ini sensitif terhadap tiupan angin yang kuat walaupun ia sesuai ditanam di kawasan yang terbuka. Penanamannya boleh dilakukan dengan semaian biji benih dengan kadar suhu permulaan yang sesuai iaitu 18 darjah celsius. Pada musim sejuk atau hujan buahnya akan gugur sekiranya menerima bekalan air berlebihan dan kurang bekalan cahaya. Pembajaan tidak digalakkan pada musim ini. LADA ceri dengan serlahan buahnya yang bulat, kecil dan menarik dan, baka lada hybrid berwarna unggu dipasarkan dengan harga RM6 hingga RM12 sepasu. Semburan berterusan dari atas pokok perlu dilakukan sepanjang musim panas untuk mengekalkan kelembapan pokok. Langkah ini untuk mengelakkan pokok daripada serangan kulat atau serangga terutama laba-laba merah. Pembajaan boleh dijalankan sekali seminggu ketika pokok mula berbunga dan perlu dihentikan sebaik saja proses matang pendebungaan berlaku di mana pokok mula mengeluarkan buah. Tanah yang subur dan kaya dengan bahan organik adalah media tanaman yang sesuai. Tanah yang dipilih seharusnya tidak mudah digenangi air pada musim hujan dan tidak terlalu kering pasa musim kemarau. Tanah yang dipilih sebagai medai tanaman mesti memiliki kemasaman tanah (pH) 5 hingga 7. Tanah yang dipasarkan seperti podsolik, lateritic, latosol dan utisol disyorkan. Lapisan tanah yang mengandungi humas di sekitar satu hingga dua meter permukaan bumi juga disyorkan sebagai media yang sesuai untuk menanam lada. Tiga jenis hama utama yang menyerang tanaman sering menyebabkan pokok lada yang dijadikan tamanan hiasan tidak subur, kekuningan dan akhirnya mati. Hama pengorek batang (Laphobaris Peperis) yang berwarna hitam berukuran tiga hingga lima milimeter (mm) gemar menyerang bunga, pucuk dan cabang dahan muda pokok. Cara untuk mengatasi masalah ini ialah dengan memotong bahagian serangan. Penanam disyorkan mengunakan insektisid seperti Puradan 3G, Temik 5G, insektisid kontak seperti Sistemik Super Cide 40EC. Hama bunga kelihatan bersayap seperti jala dengan ukuran tubuh empat hingga lima mm dengan lebarnya tiga mm. Serangan hama ini sering menggagalkan pertumbuhan buah. Pokok lada hanya mampu hidup dalam tempoh sebulan. Pengendalian bagi mengatasi masalah ini ialah dengan menggunakan insektisid seperti MPSIN 50-100, Metador 25 EC atau Agration 50 EC. Hama buah adalah serangga yang berwarna hijau kecoklatan. Ia gemar menyerang buah menyebabkan buah berisi kosong. Penggunaan Mipcin 50WP atau Darmacin 50WP disyorkan.
|
|
zuchin
Junior Student
Di hati tetap satu
Posts: 159
|
Post by zuchin on Jan 11, 2005 11:50:04 GMT 8
Ati-ati lebih indah jika ditanam secara pasuan Oleh Torek Sulong ADA banyak pokok hiasan yang memiliki daun beraneka warna. Pokok jenis ini sesuai untuk menimbulkan lagi keindahan di samping serlahan pelbagai bunga sebagai elemen penghias taman. Selain pokok puding yang senang tumbuh, antara spesies pokok hiasan beraneka warna ialah Ardisia eleptica, Euphorbia pulcherrime, Wrightia religiosa variegata, Tabernaemontana corymbosa, Gardenia jasmonoides dan Excocaria bicolor. Spesies ini sesuai sebagai pokok hiasan dalam rumah, pejabat atau bangunan yang ditanam dalam pasu yang juga sesuai ditanam berkelompok berasaskan kaedah tanaman tumpuan. Teknik penanaman gabungan khusus untuk mendapatkan warna latar belakang bagi serlahan pokok hiasan utama adalah disyorkan. Pokok hiasan yang dicadang bagi kaedah tanaman pasuan dan penghias laman yang mudah diuruskan ialah varieti Coleus dan Codium cariegatum. Coleus lebih dikenali sebagai pokok ati-ati dan Codium cariegatum pula atau dikenali puding mas dan puding perak dari keluarga Euphorbiaceae. Kedua-dua spesies ini banyak terdapat di negara ini dan boleh diperoleh dengan harga murah berbanding nilai kecantikannya. Ia sebenarnya popular di kepulauan Fiji, Maluku dan Australia yang dikenali penduduknya sebagai pokok berdaun cantik. Varieti Coleus terkenal dengan keunikannya kerana memilik kombinasi daun berwarna warni dalam serlahan gabungan warna merah, kuning, ungu dan merah jambu. Spesies ini yang paling menarik ialah Coleus blumei dan Coleus hybridus dan ia mudah ditanam menggunakan keratan batang muda. Proses pengakarannya juga cepat dan tidak memerlukan penjagaan rapi. Spesies ini anggun ditanam dalam pasu atau dalam satu barisan memanjang untuk hiasan tepi rumah. Pokok ati-ati pula memerlukan cahaya penuh tetapi tidak begitu terik bahangnya. Pokok yang telah matang akan mengeluarkan bunga kecil dalam satu jambak dan setelah berbunga, proses mengeluarkan daun muda berhenti yang lazimnya tidak lagi menampakkan serinya. Justeru disyorkan dahan bunganya dipangkas bagi menggalakkan pertumbuhan daun baru. Sementara pokok tua yang susah untuk digubah atau dibentuk berikutan serlahan warna daun semakin pucat boleh dijadikan baka untuk semaian pokok baru dengan penanaman semula menggunakan batang. Tanah gembur yang banyak mengandungi bahan organik tetapi tidak menakung air akan membantu pertumbuhan dan proses pengakaran yang baik bagi pokok ati-ati. Baja kimia yang tinggi kandungan nitrogen perlu dibekalkan sekurang-kurangnya dua minggu sekali untuk mendapatkan daun yang cantik. Berbeza dengan pokok puding yang rimbun tegak dan melampai walaupun cara pengurusan penanamannya mudah seperti ati-ati. Ini kerana tekstur pokok ini berbagai seperti sederhana kasar, halus dan sederhana padat (bergantung kepada spesiesnya). Ketinggian maksimum pokok ini mencapai tiga meter. Seperti ati-ati, daun puding juga menyerlahkan kombinasi warna daun hijau, kuning kemerahan dan keputihan. Ia memerlukan cahaya penuh, tanah peroi, keperluan air sederhana tetapi tidak tahan kemarau. Spesies ini yang ditanam untuk lanskap kebanyakannya ialah Codium variegatum, General paget, Warrenii, Taemosum, Delaware, Interuptum, Crispum, Majisticum, Norwood Beuty, Illustries, Punctatum auran dan Gloriosum superbum.
|
|
zuchin
Junior Student
Di hati tetap satu
Posts: 159
|
Post by zuchin on Jan 11, 2005 11:53:41 GMT 8
Dapatkan ketenangan wangian di SPA Indrani Oleh Hafizah Iszahanid KOLAM mandi dikelilingi pokok hijau yang tenang. – Gambar oleh Hasan Ismail DISEBABKAN kedudukannya, ramai yang mungkin tidak sedar, di tengah-tengah kesesakan bangunan pencakar langit di kota Kuala Lumpur, ada sebuah SPA indah seluas tiga ekar yang bukan saja mempesona dengan landskap dan sentuhan hiasan dalamannya, tetapi juga layanan serta perkhidmatan yang disediakan. SPA Indrani yang letaknya hanya beberapa minit dari Menara Berkembar Petronas menjanjikan ketenangan jiwa dengan hiasan cantik yang melatari bahagian luar dan dalam premis. SENTUHAN gaya Bali di SPA Indrani. Sebaik masuk, pengunjung akan disambut dengan bau-bauan harum yang memenuhi segenap ruang, beriring dengan rentak gemalai muzik tradisional Indonesia. Hiasan dalamannya pula dipengaruhi sepenuhnya gaya Bali, dipadankan dengan lilin aromaterapi yang menenangkan jiwa. Hiasan kayu berukir dilekat kemas di dinding manakala bunga raya menjadi cukup mesra dengan takungan air yang menghias setiap sudut dan meja. Sesuatu yang menarik di sini, banyak rempah-ratus serta herba tradisi dijadikan sebahagian daripada hiasan. Kulit kayu manis misalnya, yang mana kegunaannya adalah untuk menambah lagi aroma masakan, bagaimanapun bila diikat membentuk rangkaian dan diisi memenuhi mangkuk kaca, seakan ada harum bau yang bangkit menyegarkan pengunjung. Halia, buah keras, jintan putih dan jintan manis, kacang hijau, semuanya disusun cantik dalam bekas kayu di sisi kiri kerusi dengan alas kain batik dari Indonesia. Penolong Pengurusnya, Sazuan Nazrah, berkata hampir semua perabot yang ada di SPA itu dibawa khas dari Indonesia. “Kami menyediakan rawatan SPA tradisi Indonesia dan kebanyakan perabot yang mengisi tempat ini juga dibawa dari sana bagi menepati konsep,” katanya. Sama ada perabot jati, buluh atau rotan, ketiga-tiga diterima pakai sebagai gaya sentuhan Bali dengan kebanyakan gaya sama ada penuh berukir atau neo klasikal. Di SPA Indrani, perabotnya lebih kepada kayu jati yang dihias dengan kain batik Indonesia. Mencantikkan lagi hiasan, lantai di bilik rawatan ditukar daripada marmar kepada kayu. Kain batik yang merentang panjang dari atas ke bawah pula menghias dinding. Gaya sentuhan Bali sangat ketara apabila bunga-bungaan serta lilin aromaterapi menjadi penghias ruang. Seramik dan bambu berukir menjadikan pengunjung asyik seketika pada kemasan hiasan dan ketenangan ruang. Sepanjang jalan ke bilik rawatan, lilin-lilin kecil menerangi laluan dengan batu batu kecil disusun indah di sisi kamar. Bilik urutan pula, meskipun nampak ringkas tetapi cukup membangkitkan ketenangan dengan bau lilin aromaterapi. Dibangunkan di kawasan rumah tinggalan zaman kolonial, hampir keseluruhan persekitaran spa ini ditumbuhi pokok-pokok rendang yang menghijau. Di sebelah luar SPA ini, sebuah kolam renang memberi ruang jika anda mahu berenang selesai urutan. Dengan pokok-pokok menghijau, air di kolam kelihatan cantik membiru. Di sini, anda bukan saja boleh mendapatkan mendapatkan khidmat urutan tradisional Indonesia atau Thailand tetapi juga dapat menghirup udara tenang dan nyaman di tengah-tengah kota. Kata Sazuan, selain pengunjung tempatan, pelanggannya juga terdiri daripada golongan pelancong. “Jangan terkejut jika saya katakan kebanyakan pelanggan di sini adalah lelaki. Lelaki kini sudah mula ada kesedaran untuk membelai diri atau mungkin juga mereka sebenarnya lebih tertekan daripada perempuan,” katanya. Bagi pelanggan lelaki, kebanyakan mereka, datang untuk mendapatkan khidmat urut manakala bagi pelanggan wanita pula selain berurut, ramai juga yang datang untuk mandi lulur dan mendapatkan khidmat urutan wajah.
|
|
zuchin
Junior Student
Di hati tetap satu
Posts: 159
|
Post by zuchin on Jan 11, 2005 11:57:52 GMT 8
Ceriakan halaman sempena Aidilfitri Oleh Azran Jafar GANTUNGAN petunia dengan bunga yang pelbagai warna memberikan warna yang ceria. SELAIN suasananya yang meriah, Aidilfitri juga menggambarkan keceriaan, justeru halaman rumah juga perlu mendapat sentuhan sewajarnya supaya suasana penuh kegembiraan ini dapat dibangkitkan. Bagaikan tidak lengkap jika hanya bahagian dalaman rumah dihias indah bagi menyambut tetamu, tetapi laman dibiarkan berselerak dan seolah tidak terurus yang sudah tentu mencacatkan pemandangan. MENAMBAH pokok orkid yang berbunga pada pergola di hujung kolam menyuntik kesegaran. Sesuai dengan suasananya, tambahan satu dua pokok berbunga mampu menyuntik keindahan kepada persekitaran halaman yang bukan saja memberikan gaya menarik tetapi menyegarkan mata. Pengarah Urusan Enrich Focus Sdn Bhd, syarikat terbabit dalam perundingan dan rekaan landskap, Maznah Ariffin berkata, walaupun ingin mewujudkan suasana ceria tidak bermakna perlu menukar keseluruhan landskap. “Apa yang perlu adalah, menyuntik sedikit warna pada landskap sedia ada dengan menambah pokok berbunga yang mana ia bukan saja memberikan pemandangan indah pada Aidilfitri, tetapi seterusnya hingga selepas musim raya,” katanya. Maznah berkata, bagi mereka yang ingin mewujudkan keceriaan yang lebih, boleh menggunakan pokok semusim yang sememangnya mengeluarkan bunga yang banyak dan memberikan warna yang indah. “Tetapi ia memerlukan perbelanjaan yang banyak dan tidak salah bagi mereka yang berkemampuan, sementara bagi mereka dengan bajet yang terhad, cukup sekiranya menggunakan pokok bunga biasa,” katanya. Sebagai contoh katanya, pemilik rumah boleh mengambil sudut-sudut tertentu di halaman untuk dihias sempena 1 Syawal, juga jika ada kawasan yang masih kosong boleh diletakkan satu dua tumbuhan berbunga. Tidak salah juga jika halaman rumah sudah hijau dengan tanaman kerana ia membentuk pemandangan menyegarkan, tetapi sekiranya hendak membangkitkan suasana ceria, tumbuhan berbunga adalah pilihan yang sesuai. Apa yang boleh dilakukan juga adalah menggantung, sebagai contoh beberapa pasu pokok petunia di anjung hadapan yang mana bunganya yang berwarna merah, merah jambu dan ungu memberikan warna tambahan kepada bahagian hadapan rumah. Juga boleh menambah sepasu dua pokok orkid yang diletakkan di sudut-sudut kosong seperti di tiang anjung atau di atas tembok yang mempunyai teduhan, katanya. JIKA halaman ditanam dengan pelbagai pohon herba yang digunakan dalam masakan, cuba tambah dengan pohon berbunga sebagai tanaman di tepi batas untuk menyuntik warna seperti yang ditunjukkan Maznah. Maznah berkata, dalam membentuk landskap di kawasan kosong yang kecil, sebaiknya diletakkan pokok yang tinggi di bahagian dalam dan disudahi dengan pokok batasan di luar. Perlunya meletakkan pokok batasan adalah untuk mengelakkan hakisan tanah dan juga baja daripada mengalir keluar sewaktu melakukan siraman serta menseimbangkan kedudukan pokok-pokok yang diisi di sudut berkenaan, katanya. Bagi ruang yang sedia bertanam dengan pelbagai jenis pokok, keceriaan boleh diwujudkan dengan menambah jaluran pokok berbunga sebagai tanaman batasan. Apa pun kata Maznah, dalam membentuk suasana ceria dan meriah apa yang diperlukan adalah sedikit kreativiti supaya suasana halaman yang diwujudkan segar dan seolah-olah mengalukan kehadiran tetamu.
|
|
zuchin
Junior Student
Di hati tetap satu
Posts: 159
|
Post by zuchin on Jan 11, 2005 12:01:35 GMT 8
Mengimarah persekitaran masjid dengan kreativiti Oleh Torek Sulong KREATIVITI penciptaan taman yang memanfaatkan bumbung dengan tanaman pokok hiasan. PERSEKITARAN yang bersih, cantik dan suasana damai memang dituntut Islam. Justeru, gabungan teknologi seni bina dan kreativiti seni reka landskap boleh digabungkan untuk melahirkan keindahan panorama masjid dan surau di negara ini. Langkah yang dilaksanakan pengurusan Masjid Asy-Syakirin, Kuala Lumpur, misalnya, wajar dicontohi pentadbir dan jawatankuasa pengurusan masjid seluruh negara supaya persekitaran masjid tidak terbiar. ZON air pancut Masjid Asy-Syakirin menjadi medan tumpuan pengunjung. Pengurusan masjid dalam kawasan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) bukan saja berjaya menyerlahkan daya kreativiti mewujudkan seni taman menarik tetapi aktif menarik pelbagai lapisan masyarakat berkunjung ke situ dengan merancang pelbagai kegiatan sukan dan sosial memenuhi tuntutan mengimarahkan masjid berkenaan. Apa yang menarik ialah kreativiti ciptaan seni membabitkan pembinaan taman di atas bumbung dengan membekalkan sumber titisan air menggunakan paip. Ia hanya bertujuan mengekalkan kelembapan tanah sekadar yang diperlukan pokok. Langkah itu menampakkan kehijauan pokok walaupun ia ditanam di atas bumbung yang tinggi. Spesies pokok dari genus Monstera dari keluarga Araceae dipilih sebagai tanaman hiasan utama. Pokok ini sememangnya gemar memanjat, sesuai ditanam di beranda atau balkoni rumah. Kesuburan pokok hiasan ini bergantung kepada kandungan humas dan bahan organik. Ia lebih subur di kawasan redup walaupun memiliki daya tahan terhadap cahaya terbuka. Monstera deliciosa, Monstera obliqua dan Monstera pertusa adalah tiga spesies dari habitat asal berbeza yang turut dikenali sebagai pokok pemanjat. M deliciosa berasal dari Mexico dan Guatemala; M obliqua berasal dari Brazil dan M pertusa yang menjadi pilihan taman Masjid Asy-Syakirin adalah pokok tempatan yang juga terdapat di Indo-China dan Burma. Spesies tempatan ini memiliki daun lebih kecil dan lembut tetapi cepat membesar. Pokok ini juga sesuai di taman menggunakan kaedah hidroponik, selain menggunakan medium tanah. Kedudukan Masjid Asy-Syakirin antara bangunan pencakar langit menampakkan keunikannya tersendiri apabila bumbungnya kelihatan hijau dengan pokok hiasan kemas dan terurus. Warna latar yang menggunakan rumput karpet (Axonopus compressus) lebih menyerlahkan kekemasannya. Pilihan untuk menanam rumput jenis ini memang tepat kerana spesies ini sesuai dengan keadaan cuaca setempat dan mudah diselenggarakan. Ia boleh dibiakkan secara vegetatif dengan penyediaan tapak semaian sama ada menggunakan kaedah taburan biji benih atau cebisan rumput. Nilai keindahan seni taman paling berharga dapat disaksikan di sekitar sisi kiri dan kanan masjid yang dihiasi pokok Cycus revoluta yang sengaja digabungkan dengan spesies Pandanus berdaun hijau kekuningan. Kaedah penanaman yang dilakukan menyerlahkan dua gabungan warna harmoni dan menyejukkan halwa penglihatan. Cycus revoluta atau nama biasanya Palma Sago boleh mencapai ketinggian antara 1.8 meter hingga 3.8 meter. Pokok ini lasak dengan dedahan cahaya panas dan boleh ditanam di kawasan redup. Teksturnya kelihatan kasar tetapi susunan daun dan pelepahnya menjadi mahkota penyeri pokok ini. KOMBINASI dua tona warna membabitkan Cyscus revoluta dan spesies Pandanus. Ia boleh dibiakkan dengan biji benih atau anak benih yang tumbuh pada pangkal batang pokok tua. Pokok matang hanya berbunga sekali dalam setahun iaitu pada musim panas (kemarau). Ia sesuai dijadikan pokok hiasan specimen yang menjadi tumpuan utama pemandangan dalam sesebuah taman. Cycus dipasarkan di seluruh dunia pada kadar harga yang begitu tinggi. Di beberapa negara Eropah pokok Cycus yang berusia empat tahun dijual pada dengan harga RM26 bagi pokok yang hanya memiliki enam pelepah. Di negara ini pula, pokok Cycus matang dijual mengikut ukuran ketinggiannya iaitu RM150 untuk setiap 0.3 meter. Beberapa spesies bunga hiasan lain seperti Ixora macrothyrsa dan Bougainvillea spp turut menceriakan Masjid Asy-Syakirin. Kesuburan pokok di kawasan itu sebenarnya disebabkan beberapa faktor iaitu pengurusan siraman yang berterusan, proses pembajaan, memangkas dan menyelia kekemasan taman dilakukan secara rutin dan berjadual. Seni bina masjid yang tersergam indah lengkap dengan ‘zon air' yang menyerlahkan pelbagai dekorasi pancutan dan aliran bendalir, sekali gus menjadi elemen hiasan taman. Semua ini adalah ‘hardscape’ yang turut menyokong keindahan landskap dan reka letak penanaman pokok di kawasan itu.
|
|
zuchin
Junior Student
Di hati tetap satu
Posts: 159
|
Post by zuchin on Jan 11, 2005 12:04:26 GMT 8
Tumbuhan Gurun serlahkan dekorasi taman Oleh Torek Sulong KEKEMASAN taman di Pusat Latihan Lembaga Tembakau Negara, Cherang Tuli yang menggunakan latar belakang batu kelikir dan kehijauan rumput mutiara. – Gambar oleh Torek Sulong TAMAN yang dihiasi tumbuhan gurun seperti pokok kaktus yang tahan cahaya matahari memerlukan bahan sokongan seperti susun atur yang menarik bagi menyerlahkan keindahan dan kekemasan. Ia membabitkan proses menetapkan jarak penanaman antara satu pokok dengan pokok lain terutama yang sudah matang atau tua, manakala pokok hiasan yang hanya mencapai ketinggian sehingga 30 sentimeter boleh ditanam secara rapat dan berkelompok untuk melihat keseragamannya. Penolong Pengetua, Pusat Latihan Lembaga Tembakau Negara (LTN) Cherang Tuli, Kelantan, Mohd Fakri Ismail, berkata penggunaan pokok lasak dan kombinasi bahan bukan tumbuhan, berjaya menyerlahkan dekorasi taman menarik di pusat itu tanpa memerlukan tenaga kerja ramai dan pengurusan berterusan. Katanya, penggunaan batu kelikir halus dan kasar sebagai bahan penutup bumi akan menjadi warna latar belakang yang menarik kerana ia membantu menyerlahkan kehijauan pokok hiasan. Malah, katanya, timbunan batu kelikir akan membantu proses perpeluhan yang menghasilkan wap air di permukaan tanah pada waktu panas terik, sambil membekalkan sumber air secara semula jadi tanpa mengharapkan siraman atau hujan. "Penggunaan ketulan batu granit dalam saiz lebih besar turut menyerlahkan suasana taman kerana bahan batu pilihan yang menarik rupa bentuknya menjadi sebuah arca yang sengaja disusun. Semua ini adalah kaedah `hardskap' dalam penghasilan taman batu," katanya. Mohd Fakri berkata, penggunaan tali jut besar yang digunakan bot pukat jerut turut digunakan sebagai bahan pembahagi sempadan antara kawasan taman batu dan tanaman penutup bumi yang menggunakan kehijauan rumput Mutiara. Beliau berkata, penggunaan batu kelikir, tali jut dan rumput mutiara menyerlahkan nilai kekemasan taman, di samping membezakan kawasan berbatu dengan kawasan ditanam rumput. KAKTUS yang kedap pasu sesuai ditanam semula di kawasan terbuka. Pertumbuhan rumput di kawasan berbatu perlu dikawal. Kerja merumput secara konvensional perlu dilakukan bagi pertumbuhan yang sedikit, manakala rumput yang mempunyai rizom perlu dihapuskan menggunakan semburan racun. Mohd Fakri berkata, pokok yang lasak dengan suasana panas ialah kaktus bersaiz besar yang boleh diperoleh dari pusat pembenihan bunga atau memanfaatkan kaktus tempatan terbiar dalam semak. Tumbuhan gurun ini, katanya, boleh digabungkan dengan pokok paku gajah dan tumbuhan hiasan daripada genus Sansevieria dari keluarga Agavaceae. Sansevieria yang terdiri daripada Cylinder Bojer, Hahnii, Trifasciata Prain dan Trifasciata Laurentii dipercayai berasal dari gurun Afrika. Ia boleh hidup dalam pelbagai keadaan cuaca sama ada panas atau redup. Berhubung tanaman kaktus, Mohd Fakri berkata, kerosakan akar disebabkan bekalan air berlebihan tidak akan berlaku sekiranya pokok yang ditaman memiliki akar serabut yang banyak dan batang sudah keras. "Peminat kaktus tidak perlu bimbang tanaman mereka mati disebabkan hujan lebat kerana proses pembinaan taman batu yang dirancang sudah mengambil kira struktur tanah berasaskan sistem saliran yang diperlukan pokok dari gurun. "Pembinaan bukit kecil perlu dengan menambak lapisan tanah liat untuk dasar bukit diikuti campuran batu sungai halus dan kasar, pasir sungai dan tanah kompos," katanya. Mohd Fakri berkata, dalam penghasilan taman berbatu, kelikir kasar dan halus ditabur di permukaan paling atas sebaik kerja menanam pokok selesai dilakukan. Apa pun, katanya, beberapa langkah dan pengetahuan asas untuk menanam kaktus perlu dipelajari terlebih dahulu membabitkan proses memilih pasu untuk hiasan sampingan, penanaman semula, keperluan air, bekalan cahaya, cuaca dan makanannya. Mereka yang berminat untuk menanam kaktus di taman batu disyorkan membeli pokok menjangkau hayat lama, besar dan akarnya kedap memenuhi pasu bagi membolehkan penanaman semula dilakukan. Pasu lama boleh dipecahkan untuk mengeluarkan kaktus. Langkah itu bertujuan mengawal kerosakan akarnya. Sedikit teduhan diperlukan bagi tempoh dua minggu selepas kaktus dipindahkan dari pasu asal.
|
|
zuchin
Junior Student
Di hati tetap satu
Posts: 159
|
Post by zuchin on Jan 11, 2005 12:07:18 GMT 8
Menikmati kelembutan di celah batu Oleh Hafizah Iszahanid LANDSKAP taman yang meredupkan pandangan. – Gambar oleh Fathil Asri ADA sesetengah laman, ukiran batu yang diletakkan menjadi ‘kaku’ dan tidak berseni, tapi ada pula laman yang cukup mempesonakan dengan susun letak ukiran batu bersama pokok bunga dan kolam kecil. Ukiran batu menjadi sebahagian elemen landskap laman yang cukup indah jika pandai mengadun dan menyusun. Tidak saja berfungsi sebagai bekas lampu atau sekadar figura di pinggiran, ukiran batu ini menjangkau menjadi pagar rumah teres berlot tepi. Uniknya ukiran batu kerana ketelitian dan kehalusan kerja memercik seni dan kemahiran si pengukir. Di Batu Keras Enterprise, pilihan ukiran batu-bata bukan saja cukup berseni dan cantik tetapi didatangkan dengan pelbagai saiz. Malah jika anda memiliki pola hiasan sendiri, mereka sedia mengukirkannya untuk anda. GABUNGAN pokok, batu dan ir. Bagi yang kurang arif mengenai ukiran batu atau kurang mampu juga kewangannya, biasanya mereka memilih kastard (ukiran menyerupai batu tetapi sebenarnya tepung) atau memilih simen yang membentuk ukiran. Tetapi bagi yang tahu menilai seni, ukiran batu asli menjadi pilihan meskipun harganya mahal sikit, tetapi sanggup berhabis untuk mendapatkan yang asli, tahan lama dan cantik. Pemilik Batu Keras Enterprise, Daniel Mohd Noor, berkata sebenarnya bukan semua jenis batu boleh diukir. Ada lima jenis batu yang biasanya mudah didapati di pasaran. Paling unik dan istimewa tentu saja ukiran batu dari gunung berapi yang juga dikenal sebagai batu candi, selain sand stone yang memiliki pelbagai jenis antaranya dikenal sebagai batu paliman, gelok dan kuloh progo selain granit dan tentunya marmar. “Kerja mengukir batu granit agak rumit kerana itu ia mahal manakala batu candi banyak diukir membentuk figura terutama stupa dan patung Buddha,” katanya. Ukiran batu di Batu Keras dibuat dengan tangan kerana itu ia cukup unik dan memiliki identiti tersendiri. Keunikan itu juga menjadikan ukiran batu menjadi pilihan hiasan untuk setiap lapisan masyarakat. Justeru di Batu Keras pelbagai pola rekaan disediakan bagi memenuhi setiap permintaan. Misalnya ukiran batu yang membentuk tiga ekor katak, patung Buddha yang menjadi pilihan pelanggan Cina. “Sebenarnya patung katak dan kura-kura dikaitkan dengan feng shui. Orang Cina percaya katak membawa maksud kesuburan manakala kura-kura mewakili ketenangan dan panjang umur,” katanya. Selain menyediakan pelbagai ukiran batu untuk pelanggan, Batu Keras juga menyediakan khidmat nasihat untuk setiap landskap yang bakal dibina. “Biasanya kami bersandarkan kepada kos yang sanggup dikeluarkan, rekaan yang pelanggan mahu dan luas laman. Kalau tidak sesuai, kami akan cadangkan yang lain tetapi dengan persetujuan pelanggan,” katanya. Batu Keras Enterprise yang menyewa banglo lama dua tingkat turut dimuatkan dengan pelbagai jenis seramik, perabot, tikar dan lilin aromaterapi. Setiap satunya cukup unik dan istimewa. Bakul daripada akar cendana ternyata menarik perhatian bukan saja kerana ia wangi tetapi mampu untuk menghilangkan bau busuk pakaian sekiranya anda meletakkannya dalam bakul itu. Selain itu bidai dari akar wangi dan tikar dari kayu cukup istimewa dan tersendiri. Bukan sekadar menjual bahan hiasan laman, Batu Keras juga mempunyai landskap yang cukup menawan. Kolam kecil menjadi tempat ikan kap berenang dengan bunga keras menguntum menjadikan laman kecil Batu Keras sangat mempesonakan. Uniknya juga di Batu Keras, ia bukan saja lokasi perunding landskap tetapi gerai makanan di sudut kiri pintu masuk menjadi tempat si suami menunggu isteri yang sedang membeli-belah. Justeru jika mencari ukiran batu menghias laman, singgahlah di Batu Keras Enterprise di Jalan Ampang.
|
|
zuchin
Junior Student
Di hati tetap satu
Posts: 159
|
Post by zuchin on Jan 11, 2005 12:11:27 GMT 8
Taman replika tetap menawan Oleh Torek Sulong KOMBINASI hiasan replika itik penelur dan ayam. WARGA kota sering menghadapi masalah untuk merealisasikan suasana sebenar sebuah taman di halaman rumah kerana ruang yang begitu sempit dan terhad membataskan mereka menanam pokok hiasan dan memelihara hidupan termasuk ikan dan burung. Malah, ketiadaan masa turut membataskan mereka mengurus ke kemasan taman, menjaga tanaman hiasan termasuk merumput, memangkas, membaja dan sebagainya. Sebenarnya, pendekatan terbaik untuk menceriakan halaman rumah yang sempit boleh dilakukan dengan menggunakan bahan tiruan. Tidak perlu memelihara burung atau menanam pokok hiasan. Penggunaan replika masih mampu menceriakan suasana ruang yang kosong tetapi memerlukan pelan susunan yang kemas dan terancang. Taman tiruan yang dibina di Batu Buruk Beach Resort, Kuala Terengganu, adalah salah satu pelan susunan terbaik untuk diwujudkan di halaman sempit khususnya di bandar raya. Daya kreativiti Pengarah Urusannya, Kamarezuan Kamaruddin, memanfaatkan struktur tanah pantai dengan pokok yang tahan lasak menyerlahkan suasana harmoni dan tidak membosankan pengunjungnya. Pokok hiasan yang ditanam di sekitarnya adalah daripada spesies pokok bakong yang sememangnya tahan lasak dengan suasana cahaya terbuka dan panas, manakala pokok yang tidak sesuai dengan tanah pantai ditanam di dalam pasu dengan pengurusan berjadual. PEMBINAAN kolam ikan yang ringkas kelihatan menarik dengan sokongan bahan hiasan lain. – Gambar oleh Torek Sulong Ruang sisi antara bangunan pentadbiran dan chalet diwujudkan taman tiruan yang 90 peratus menggunakan replika haiwan ternakan serta pokok hiasan plastik. Ia sungguh menarik dan kelihatan seperti hidup. Dua itik berwarna perang bertenggek atas tunggul batu berukir dengan saliran air dari paruhnya mencurah ke mangkuk besar memang cantik dipandang. Penggunaan pam bervoltan rendah dan penapisnya mengeluarkan bunyi aliran air seolah-olah berada di kawasan anak sungai. Elemen hiasan ini secara tidak langsung mentafsirkan hubungan makhluk dengan sumber keperluannya. Itik memerlukan sumber air, maka air turut dijadikan elemen hiasan yang penting bagi melengkapkan suasana sebenar habitat haiwan berkenaan. Pengurusan Batu Buruk Beach Resort turut membina pagar hiasan daripada kayu bagi membataskan ruang taman haiwan serta membina teduhan pukat hijau supaya elemen hiasan yang digunakan tidak luntur warnanya. Replika kulat juga menampilkan daya tarikan yang tinggi. Ia lebih tahan lama dan amat sukar bagi peminat seni taman menggunakan pokok kulat yang sebenar untuk dijadikan bahan hiasan kerana jangka hayatnya yang tidak panjang. Hiasan seekor itik penelur jantan yang kelihatan gah bersama ayam putih dan anaknya terserlah apabila rumput tiruan berwarna hijau digunakan sebagai latar belakangnya. Rumput tiruan yang digunakan memang menyerupai baka Anxonopus compressus, Cynodon dactylon dan Stenotaphrum secundatum sebenar. Kelihatan lebih menarik dengan susunan batu sungai yang kemas dan disusun rapi. Pendekatan itu menjimatkan tenaga kerja dan masa untuk menguruskan taman tiruan. Itik dan ayam tidak perlu diberi makanan kerana ia adalah replika. Begitu juga dengan hamparan rumput plastik yang tidak memerlukan siraman atau pembajaan. Kreativiti ini bertepatan dengan keadaan setempat di mana kawasan pantai yang memiliki kandungan pasir kasar yang banyak membataskan usaha menanam rumput dalam serlahan padat dan kehijauan. Selain taman tiruan, sebuah kolam ikan kap yang turut mengguna pakai elemen hiasan tiruan juga kelihatan cantik, walaupun pembinaannya nampak ringkas dan mudah. Susunan batu granit coklat berukuran satu kaki (saiz sama) ditampal dengan simen bagi menyerlahkan suasana kolam yang sebenar. Apa pun, bahagian dalamnya ditampal dengan jubin kecil berwarna biru muda supaya keadaan air kelihatan cerah dan menampilkan riak lenggok ikan kap yang hidup subur di dalamnya. Beberapa hiasan lain seperti arca akar kayu cengal dan replika burung bangau turut menghidupkan pemandangan kolam. Bahagian tepi kolamnya ditanam pula dengan satu lagi spesies yang tahan panas iaitu Rhoeo spathacea. Tumbuhan ini tumbuh berumpun, rapat dan padat. Permukaan atas daunnya berwarna hijau tua, manakala bawahnya berwarna unggu tua menjadikan hiasan yang kemas dan menarik. Mangkuk takungan air terjun yang dibina menggunakan kulit kerang gergasi menambah keunikan kolam di situ apabila digabungkan dengan susunan rapi batu granit. Kehijauan sekitar air terjun itu dihias pula dengan pokok Asplenium nidus atau paku pakis sarang burung, sejenis tumbuhan liar yang diklasifikasikan sebagai pokok epifit. Pokok ini tahan lasak dan tidak memerlukan penjagaan rapi. Teduhan perlu dibina kerana spesies paku-pakis memerlukan tempat sejuk dan terlindung daripada panas.
|
|
zuchin
Junior Student
Di hati tetap satu
Posts: 159
|
Post by zuchin on Jan 11, 2005 12:17:55 GMT 8
Kuntuman indah Mawar Teks dan foto oleh Torek Sulong POKOK mawar yang rimbun boleh dijadikan hiasan landskap menarik. BUNGA mawar daripada keluarga Rosaceae bukan sahaja dijadikan pokok hiasan laman, malah bunga itu meraih permintaan tinggi di pasaran global kerana digemari pelbagai bangsa di dunia. Kajian ahli botanik dan pengusaha ladang mawar, mendapati setiap sehektar tanah sesuai ditanam dengan 25,000 pokok pada kadar pengeluaran hasil 24 kuntum bunga setiap pokok setahun. Pokok hiasan ini dikenal pasti kerap berbunga selepas ditanam pada tahun kedua hingga keenam. Ia tumbuhan penting dalam industri pertanian kerana harga runcit sekuntum bunga mencecah RM1.40. Sehektar tanah pastinya akan menghasilkan 600,000 kuntum bunga setahun dengan perolehan pendapatan RM840,000 setahun. Bunga mawar terkenal ke seluruh dunia apabila benihnya dari Asia disebarkan ke merata tempat kerana keunikan susunan rangginya, tahan lama dan aroma kewangian bunganya berbeza-beza. China dipercayai mengusahakan tanaman mawar sejak beribu-ribu tahun dahulu dengan menamakan mawar sebagai Rosa Chinensis Var`samperflorens'. Kegilaan menanam mawar secara komersial bermula di Eropah pada pertengahan abad ke-19. Bermula dari sinilah wujudnya proses kacukan pokok bagi menghasilkan pelbagai jenis hybrid mawar. Mawar dari spesies induk diklasifikasikan sebagai baka liar yang tumbuh di habitat asal membabitkan lebih kurang 150 jenis. Lazimnya, spesies ini berbunga sederhana dan tunggal (hanya sekuntum bagi setiap dahan). Ia sesuai digunakan sebagai tanaman koleksi, pagaran atau dijadikan pokok hiasan latar belakang. Mawar kono pula dikenali sebagai `garden roses' membabitkan semua varieti yang ditemui, diidentifikasi dan diperkenalkan sebelum munculnya spesies hybrid tea pada 1867. Mawar moden pula adalah spesies yang ditemui selepas 1867 yang dikategorikan sebagai hybrid tea, polyantha, floribunda, mirrianture rose dan bush rose (mawar belukar). Dipercayai terdapat 250 spesies genus Rosa sp di seluruh dunia. Mawar dari spesies Floribunda lazimnya memiliki beberapa kuntum bunga pada satu tangkai. Warnanya kurang menarik dan tidak mampu bertahan dalam tempoh lama. Serlahan ranggi warna oren dikenali sebagai Mercedes dan Gabriella, manakala Queen Silvia dan Selvanila dalam serlahan merah dan Laminuette dengan serlahan campuran. Pokok Hybrid tea yang khusus untuk keratan bunga menyerlahkan susunan ranggi yang terang seperti Samantha, Visia, Christian Dior, Mister Lincon dan First Red dalam serlahan merah yang menarik. Lady Rose, Peace, Helmet Schmidt dan Dukat berwarna oren; Alsmear Gold, Texas, Golden Times, Amber Queen, Etna dan Esmeralda dengan warna kuning; Sinia, Hara dan Noblesse dengan serlahan warna merah jambu; Tineke berwarna putih dan jingga bagi mawar yang bernama Maddelon. Mawar boleh dibiakkan menerusi biji benih, keratan dan cantuman tunas. Cara yang paling mudah ialah dengan keratan batang. Ranting sisi dan dalam boleh dipotong dari pokok matang. Panjang keratan yang disyorkan ialah 15 sentimeter (sm) yang perlu ditajamkan pada bahagian hujungnya. Penyediaan tanah dengan nisbah 3:2:1 membabitkan satu bahagian pasir kasar, dua bahagian tanah kompos dan tiga bahagian tanah perlu. Sedikit debu kapur sebanyak 21 gram diperlukan bagi setiap satu liter tanah yang digunakan bagi mengawal keasidan tanah. Pastikan bekas semaian mempunyai beberapa lubang khas untuk saliran air pada bahagian bawahnya. Apabila menyediakan petak semaian, baja yang mengandungi nitrogen dan potasium diperlukan untuk menutup liang keratan yang akan berubah menjadi kematu iaitu tempat pertumbuhan akar baru. Kematu mula tumbuh dalam tempoh dua hingga tiga minggu. Selepas empat minggu proses pengakaran akan berlaku dengan padat. Proses cantasan perlu dilakukan bagi memastikan proses pengeluaran bunga berlaku dengan baik di samping membentuk gubahan pokok dalam serlahan yang lebih menarik. Hakikatnya, pokok mawar adalah tanaman yang tahan lasak dan mempunyai jangka hayat panjang. Ia memerlukan tanah subur dan bersaliran baik yakni tanah yang mampu memegang kelembapan dengan julat pH sekitar 5.7. Ia hidup subur di kawasan suhu sederhana antara 17 hingga 25 darjah Celsius. Mawar yang ditanam tanpa sungkupan, kurang siraman dan tidak dibaja akan mudah terdedah kepada penyakit dan ancaman perosak. Penyakit utama pokok hiasan ini ialah kulapuk downy, thrips, kulapuk berdebu dan bintik hitam pada daun. Racun semburan yang disyorkan ialah chlorothalonil dan Benomyl.
|
|
zuchin
Junior Student
Di hati tetap satu
Posts: 159
|
Post by zuchin on Jan 11, 2005 12:21:31 GMT 8
Tumbuhan karnivor penghias laman Oleh Torek Sulong KEUNIKAN Nepenthes ampullaria yang serlah dalam satu jambak. – Gambar oleh Torek Sulong TUMBUHAN karnivor dengan habitat asalnya di paya gambut, hutan batu kapur dan lereng gunung yang diklasifikasikan sebagai pokok insektivor kerana tabiatnya gemar memakan serangga, kini dijadikan pokok penghias laman. Pokok Periuk Kera atau nama botaniknya Nepenthes mirabilis kini mencecah RM50 sepasu. Paling murah boleh diperoleh pada kadar RM20 dalam saiz kecil dan berdasarkan spesies yang mudah ditemui di negara ini. Harga yang agak mahal bukan persoalan utama kerana ia sememangnya anggun digantung di balkoni rumah sebagai pokok hiasan menarik. Malah, pokok itu turut menyerlahkan status pemiliknya yang berkemampuan memiliki pelbagai spesies Nepenthes sebagai koleksi seni taman. Beberapa jenis Periuk Kera seperti Nepenthes albomarginata, Nepenthes ampullaria, Nepenthes edwardsiana, Nepenthes fusca dan Nepenthes rafflesiana kian diminati kerana keunikan rupa bentuk serta warna kendi yang diserlahkan. Daya tarikan pokok ini 100 peratus bergantung kepada keunikan kendinya yang terbentuk bukannya serlahan bunga berbanding pokok hiasan lain. Kreativiti dan kegigihan penggemar pokok hiasan mutakhir membolehkan spesies liar ini dibawa keluar dari hutan. Mereka hanya menanam anak pokok muda ke dalam pasu menggunakan media tanah dan sumber keperluan pokok seperti terdapat di habitat asalnya. Baka induknya sukar dipindahkan. Keserasiannya dengan dunia hutan atau pergunungan menyebabkan ia gagal menyesuaikan diri dengan persekitaran baru terutama dedahan cahaya serta bahang kepanasan. Hanya anak pokok yang tumbuh di sekitar induknya boleh diambil dan dipindahkan menerusi kaedah pemindahan yang cermat termasuk tidak mendedahkannya kepada dedahan cahaya lebih pada peringkat awal pemindahan. Pastikan akarnya juga tidak mengalami kerosakan teruk. Berdasarkan sifat semula jadi yang menjalar dan memerlukan sokongan pokok lain untuk menyerlahkan keunikannya, penggemar seni taman memilih kaedah penanaman menggunakan pasu gantung. Kaedah ini berjaya menyerlahkan kendinya. Kelihatan berjuntai, bergoyang bila ditiup angin dan sulur pautnya pula bertindak memegang dawai atau tali yang menggantungkan pasu berkenaan. Nepenthes albormarginata turut dikenali N tomentella Miq yang boleh ditemui di puncak bukit rendah, kawasan terbuka bertanah gambut, kawasan batu kapur, hutan rawa atau kawasan berpasir di Borneo, Sumatera dan Semenanjung Malaysia, mampu tumbuh subur pada ketinggian 1000 meter ke bawah. Spesies ini memiliki bingkai leher berwarna putih bersama bulu baldu di bawah peristomanya. Serlahan ini tidak dimiliki Periuk Kera lain. Kendinya pula memanjang sehingga 15 sentimeter (sm) dengan keunikan teksturnya yang kebalduan. Hijau adalah serlahan warna awal kendinya yang akan berubah menjadi merah, unggu dan berakhir dengan hitam. Nepenthes albomarginata ini gemarkan anai-anai sebagai makanan rujinya. Apa pun, sehingga kini tiada kajian terperinci bagaimana pokok ini bertindak memerangkap anai-anai kecuali hanya menemui beribu-ribu anai-anai memenuhi kendi lamanya. Kacukan (hybrids) spesies ini dikenal pasti jarang ditemui. Nepenthes ampullaria juga dipanggil N ampullaceae Low memang mudah dikenali kerana kendinya berbentuk bujur telur atau jorong bersama serlahan peristoma yang lebar dan rekahan sempit penutup/tudung kendi yang tidak pernah menutup permukaan mulut kendinya. Spesies ini hanya ditemui memiliki kendi berwarna hijau dan sebahagian lagi ada adunan warna tompokan coklat dan ungu. Beberapa kendinya boleh ditemui di bahagian bawah dalam satu jambak yang sebahagiannya tertanam atau tertimbus dengan daun kayu reput. Kendi-kendi ini bertunas daripada susunan pucuknya dan mengeluarkan warna kilauan. Sementara kendi pada bahagian atas boleh ditemui pada celahan daunnya atau cabang sulur paut juga dalam serlahan berjambak. Kendi ini hanya mampu bertahan dalam tempoh yang singkat serta jarang ditemui berbanding kendi di permukaan tanah. Pokok ini boleh memanjat pokok lain sehingga 15 meter. Nepenthes bicalcarata boleh dibezakan dengan spesies lain kerana ia satu-satunya pokok Periuk Kera yang memiliki duri dari tudungnya. Duri ini adalah sebahagian daripada peristomanya. Kendinya berukuran 25 sm panjang dan 16 sm lebar. Tumbuhan ini boleh ditemui di kawasan sawah bertanah gambut sekitar ketinggian 950 meter dari paras laut dan tumbuh meliar di Sabah, Sarawak dan Brunei. Ia juga sesuai dikacuk dengan hybrid X ampullaria, X gracilis, X mirabilis dan X rafflesiana. Nepenthes edwardsiana pula hanya boleh ditemui di kawasan bukit berlumut yang ketinggian antara 1500 hingga 2700 meter dari paras laut. Kendinya memang cantik dan menarik dengan saiz 50 sm panjang dan 15 sm lebar. Nepenthes fusca yang memiliki kendi berukuran 20 sm panjang dan 4 sm lebar juga boleh ditemui di kawasan sama, manakala Nepenthes mirabilis yang mempunyai sehingga 16 nama panggilan lain hidup subur di kawasan basah, hutan terbuka dan tepian paya terbiar. Satu lagi spesies Periuk Kera yang besar ialah Nepenthes rafflesiana. Kendinya boleh membesar sehingga 40 sm dengan bulu kemerah-merahan yang lazimnya berselindung disebalik susunan dedaun muda. Kendinya dikatakan sentiasa dilawati semut dan kelihatan seolah-olah bukan pokok insektivor. Bagaimanapun, cecair dalam kendinya sentiasa kelihatan likat untuk memerangkap mangsa. Spesies ini adalah tumbuhan liar yang biasa ditemui di kawasan tanah rendah di Brunei. Semburan halus rumusan 13 jenis unsur mineral dan organik makro dan mikro amat penting untuk proses pertumbuhan, kesegaran tanaman dan kualiti yang maksimum. Semburkan 20 hingga 30 sm dari tanaman terutama kepada keseluruhan pokok, daun dan batang sebanyak satu atau dua kali seminggu sama ada pada waktu pagi atau petang. Hasilnya akan menyerlahkan daun dan kendi Periuk Kera kelihatan berkilat dan lambat gugur. Tanah sesuai untuk digunakan sebagai medium penanaman ialah tanah gambut yang boleh dicampur dengan sedikit pasir kasar dan cebisan sabut bagi tujuan mengekalkan kelembapan. Pokok ini memerlukan pengurusan yang rapi termasuk siraman berjadual sekurang-kurangnya satu kali sehari dan memastikan sistem pemasuan yang bersaliran baik. Teduhan diperlukan supaya dapat mengekalkan kesuburan daun dan kendinya.
|
|