Normala tangkis tohmahan miliki sugar daddy NORMALA ADA SUGAR DADDY?
NAMANYA pun gosipkan? Tapi, biarlah Kak Mala jelaskan perkara sebenar iaitu tuduhan terbaru yang dilemparkan kepada Kak Mala. Apa yang ditulis itu bukan hanya menjatuhkan imej dan maruah Kak Mala seorang saja, tapi seluruh anggota keluarga Kak Mala.
Jadi, kepada orang yang menyebarkan fitnah dan membuat tohmahan itu, Kak Mala rasa dia kena tarik balik kata-katanya. Seumur hidup, Kak Mala tak pernah terfikir apa yang dimaksudkan dengan istilah sugar daddy. Memang dari segi luaran, orang melihat Kak Mala seperti ini, tapi sejak kecil lagi Kak Mala sudah dididik dengan landasan agama yang kuat.
Kalau difikirkan kembali usia Kak Mala yang dah nak masuk 40, tahun depan, difikirkan masak-masak, Kak Mala bekerja sejak berusia 21 tahun lagi. Sejak itu Kak Mala dah mula menabung tiap-tiap bulan. Kak Mala kumpul sikit-sikit hasil iklan, lakonan, pengacaraan termasuklah simpanan sejak Kak Mala bergelar pramugari MAS (Penerbangan Malaysia) lagi.
Justeru, kalau Kak Mala dah simpan duit selama ni, buat rumah, adakah itu hasil sugar daddy juga? Rumah yang Kak Mala buat tu tidaklah berharga sampai RM600,000 seperti yang digembar-gemburkan, cuma tak sampai RM300,000 kerana ia rumah papan. Tapi tetap selesa untuk semua adik beradik berkumpul.
Maka, apa yang dilaporkan itu semuanya fitnah dan Kak Mala beranggapan ia adalah imbasan perbuatan syaitan! Lagipun, sugar daddy tak cari perempuan yang dah berusia macam Kak Mala ni. Dia orang (sugar daddy) lebih berminat mencari perempuan muda dan cantik saja...
Jadi, kepada mereka yang menabur fitnah ni, mereka sepatutnya menginsafi diri sendiri dan mengingati betapa banyaknya dosa yang sudah mereka lakukan. Manusia sebenarnya suci, tapi apabila melihat kejayaan orang, mata dikaburi syaitan, maka perasaan dengki akan timbul dan bermulalah fitnah.
Memang dari dulu lagi orang dah fitnah, tuduh Kak Mala macam-macam. Berkahwin dengan orang tu, berkahwin dengan orang ni. Tapi, Kak Mala dah tak kuasa nak melayan, suka hati dia oranglah nak cakap apa pun.
`JODOH' TAK PANJANG
KAK Mala dah bersama Nona TV3 kira-kira empat tahun dan 30 November lalu adalah siaran terakhir Kak Mala dengan Nona. Tapi, sekiranya Kak Mala berhenti tanpa penjelasan lebih lanjut, macam-macam persepsi yang timbul. Yang sebenarnya antara Kak Mala dan TV3, kami ada mutual understanding di mana Kak Mala memang nak resigned.
Kak Mala dah lama berhasrat meninggalkan Nona, sejak awal tahun ni lagi, tapi selalu tertangguh. Setiap kali nak renew kontrak, Kak Mala minta enam bulan saja, tapi nampaknya berlarutan. Kini, apabila tiba masa dan keadaan yang sesuai, adalah lebih baik Kak Mala berundur diri.
Namun, dalam kontrak berkenaan tidak pernah dinyatakan, tidak boleh menjadi duta kecantikan atau produk. Justeru, cerita yang mengatakan Kak Mala ditamatkan kontrak selepas dilantik sebagai duta Marie France Bodyline, adalah tidak benar.
TV3 amat profesional dalam membuat sebarang keputusan. Mereka (TV3) tahu apa yang mereka lakukan untuk masa depan setiap rancangan. Bagi Kak Mala, keputusan Kak Mala untuk berhenti, mereka terima secara profesional. Tak pernah mereka berkata, Normala Samsudin dinasihatkan berhenti. Tak pernah sama sekali!
Ketika ini Kak Mala terbabit dalam beberapa siri promosi Marie France dan MAA Assurance dan ia membabitkan perancangan sehingga pertengahan tahun depan. Kalau berlakon tu tengoklah dulu macam mana tawarannya kerana ia bergantung kepada kelapangan Kak Mala.
Begitu juga dengan bidang pengacaraan, Insya-Allah jika tak ada aral melintang, mungkin Februari atau Mac depan, Kak Mala akan muncul untuk sebuah rancangan baru. Program berkenaan akan dijual kepada mana-mana stesen TV, jadi terpulanglah kepada mereka yang berminat.
Tak semestinya Kak Mala statik di TV3 saja, tapi ia adalah salah satu cabang perniagaan yang dapat meluaskan lagi pembabitan Kak Mala di stesen TV yang lain pula.
CINTA MALA HANYA SATU
SEBAGAI manusia, lebih-lebih lagi ibu tunggal seperti Kak Mala, memang Kak Mala berkeinginan untuk berkahwin lagi. Tapi, jodoh tu Tuhan yang menentukannya. Setiap perjalanan diri seseorang itu, Tuhan dah tetapkan.
Sekiranya jodoh Normala Samsudin belum sampai lagi, takkan Kak Mala sendiri nak tunjukkan muka... Hello, saya nak kahwin, tidak... Justeru, setiap permintaan kita kepada Allah, ada cabarannya. Setiap kali Kak Mala mengerjakan umrah, Kak Mala berdoa di depan pintu Kaabah supaya Kak Mala dipertemukan dengan jodoh yang baik, tetapi sekiranya Tuhan tak bagi lagi, bagaimana?
Kak Mala tak nak mencari, biarlah jodoh tu datang sendiri. Kak Mala percaya, setiap jodoh yang diberikan Tuhan, pasti yang terbaik. Pun begitu, apa yang terjadi dulu, Kak Mala sebenarnya tak pernah berada dalam keadaan dilema semasa menentukan siapakah teman hidup Kak Mala.
Ia bukan dilema kerana Kak Mala tak ada pilihan. Kak Mala hanya ada satu pilihan, pilihan Kak Mala adalah satu cinta dan cinta itu tidak tercapai, itu saja... Tapi, Kak Mala tak mahu membicarakannya kerana di situlah noktah percintaan Normala Samsudin.
Sekarang ni Kak Mala menyerahkan bulat-bulat kepada Allah. Kak Mala tidak mengharap kepada yang dicintai ataupun yang tercinta, mahupun yang tak cinta, tapi kalau Tuhan dah bagi jodoh, itulah jodoh Kak Mala. Tapi, kepada cinta yang satu tu, Kak Mala hanya berkawan saja sebab Kak Mala memang dah tak menaruh sebarang harapan.
Kak Mala tak pernah bergaduh dengan cinta yang satu tu walaupun Kak Mala pernah berdepan dengan kontroversi hebat. Seperkara lagi, Kak Mala tak mahu ingat kisah-kisah lama kerana jika dikenang, Kak Mala akan menangis. Sebenarnya semua tu adalah cerita pahit Normala Samsudin suatu ketika dulu...
Jodoh dengan cinta tu, Kak Mala rasa tak ada (ketawa). Rasanya kami lebih serasi berkawan. Namun, sehingga ke hari ni Kak Mala belum menemui cinta sejati, selain mencintai Allah. Kak Mala kena terima natijah kehidupan seorang ibu tunggal seperti Kak Mala... Inilah fitrahnya menjadi Normala Samsudin.