best kwn2..citer jutawan fakir ni..lawak gile!action!!!!!
Filem: Jutawan Fakir
Genre: Komik komedi
Pelakon: Saiful Apek, Waheeda, Bob Kuman, Pie, Azza Elite, Imuda
Pengarah: Profesor Madya A Razak Mohaideen
JIKA filem dipilih sebagai wadah untuk menerapkan nilai moral kepada penonton khususnya kanak-kanak, Jutawan Fakir boleh disifatkan sebagai filem yang berjaya menerapkan unsur ini di kalangan khalayaknya.
Filem yang disasarkan kepada kanak-kanak berusia lebih tiga tahun, bukan saja diperlengkapkan dengan gaya cerita menarik malah posture, mimik muka dan bunyi yang ditampilkan berdasarkan gerak tubuh ini, pasti membuatkan kanak-kanak terpaku menyaksikannya.
Teknik yang biasa digunakan dalam filem animasi ataupun kartun, diterapkan sepenuhnya dalam filem Jutawan Fakir, menjadikannya filem komik komedi yang menghiburkan.
Dengan bergantung pada lakonan Saiful Apek sebagai pemegang watak utama, filem ini mempunyai tarikannya sendiri kerana lakonan Saiful kurang dibayangi sitkom popular, Senario.
Malahan penampilannya yang bersahaja, disokong pula oleh lakonan semula jadi Waheeda, menjadikan Jutawan Fakir sebuah filem yang harus ditontoni seisi keluarga.
Jutawan Fakir mengisahkan kehidupan seharian Fakir bin Miskin, seorang anak muda yang bekerja sebagai budak pejabat di sebuah syarikat di ibu kota. Perwatakan dan gelagatnya yang sentiasa ceria membuatkan rakan sepejabatnya sentiasa terhibur.
Namun, Fakir sentiasa sempit poket kerana sering meminjamkan duitnya kepada teman wanitanya, Zura, menyebabkan hutangnya keliling pinggang.
Bagaimanapun, nasib menyebelahi Fakir apabila dia menjumpai sebuah beg berisi sejumlah wang dan sejak itu kehidupannya berubah. Kekayaannya berlipat ganda apabila pelaburannya membuahkan hasil. Dia juga tidak kedekut untuk menderma pada mereka yang susah.
Namun demikian, jiwa Fakir mula gelisah apabila mendapat tahu wang yang dijumpai itu adalah wang rompakan. Dalam keadaan serba salah, Fakir berusaha untuk memulangkan wang itu semula.
Daripada babak awal sehingga hampir ke penghujungnya, ia digarap dengan baik dan penuh teliti. Bagaimanapun, ia menimbulkan perasaan kurang puas di hati penulis terutama pada babak di mana segala kemewahan yang dicapai Fakir hanyalah mainan mimpi.
Adakah pengarahnya kebuntuan idea sehingga mengambil jalan mudah dengan memaksimumkan fantasi manusia menerusi mimpi kerana apa saja mungkin berlaku sewaktu seseorang sedang tidur?
Mainan tidur ini seolah-olah menipu pandangan penonton yang menyaksikannya yang sekali gus menghilang keindahan filem ini yang seharusnya berlaku dalam realiti.
Apapun, Jutawan Fakir boleh dikategorikan sebagai sebuah filem menarik yang mempunyai kekuatan tersendiri. Kanak-kanak mungkin tidak begitu ketara dengan kelemahan ini.
Garapan keenam atau lebih tepatnya ke-10 A Razak memang menjadi meskipun genre komik komedi masih belum mendapat tempat meluas di negara ini.
Percubaan pengarah akademik ini harus dipuji kerana filem ini mempunyai mesejnya yang tersendiri yang sesuai ditonton oleh kanak-kanak dan juga orang dewasa.
Kisah yang digarap menerusi pengalaman sendiri menyaksikan wang bertaburan di jalan raya ketika bekerja sebagai wartawan di Berita Harian, suatu ketika dulu, menyelitkan unsur didaktik yang dapat menjadi pengajaran kepada sasaran khalayak utama iaitu kanak-kanak.