Korea buat Malaysia lemasPEMAIN Malaysia, Norhisham Hassan
(kiri) cuba menahan asakan
Choi Tae Uk dari Korea Selatan
dalam saingan kelayakan Olimpik di
Stadium MPPJ, malam tadi.
Korea menang 1-0 menerusi penalti.
– Gambar Rosli Ahmad
TIADA apa yang hendak dimalukan oleh barisan Malaysia apabila kalah 0-1 kepada pasukan heavyweight Asia, Korea Selatan pada pertemuan pusingan akhir Pra-Olimpik zon Asia Kumpulan A di Stadium MPPJ malam tadi.
Setidak-tidaknya skuad kendalian Kim Ho Kon terpaksa bersandarkan kepada tuah penalti pada minit ke-44 yang disempurnakan oleh Cho Jae Jin sesudah Norhisham Hassan menjatuhkan kapten Korea Selatan, Cho Byung Kok.
Dan ternyata Korea Selatan yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain sesudah Jae Jin ditunjukkan jalan keluar kerana membantah keputusan pengadil, Ala Abdul Kadir Nema tidak berjaya membelasah Malaysia sebagaimana telahan awal.
Korea Selatan berjaya mengekalkan rekod kemenangan maksimum dengana jaringan sama ke atas tiga pencabar tetapi buat Malaysia aksi semalam cukup berkualiti.
Dan umpama ulang tayang babak pertama tatkala menentang Iran pada 18 Februari lalu, anak buah Harris tampak tenang dan dilihat boleh menyaingi rentak aksi yang cuba ditentukan pemimpin carta mata Kumpulan A, Korea Selatan dalam tempoh 15 minit pertama.
Dan agak mengejutkan kerana tuan rumah yang terlebih dahulu cuba untuk memalitkan aib di muka skuad kendalian Kim Ho Kon apabila Akmal Rizal dihadiahkan ruang dalam kotak penalti tetapi tandukannya pada minit ke-7 berpunca daripada sepakan penjuru K Rajan melepasi palang atas.
Dua minit kemudian, penyerang negara berjersi nombor 14 itu yang mengejutkan kancah bola sepak Asia apabila ledakannya membolehkan Malaysia seri 1-1 dengan China mengutip umpanan jauh tetapi Kim Do Heon segera menjatuhkannya tatkala Akmal Rizal mahu memusingkan badannya.
Semangat `Harimau Malaya' warisan Datuk M Chandran, Datuk Soh Chin Aun dan rakan lain jelas tampak menghantui anak buah Harris kerana selepas itu, mereka tampak tidak kekok lagi untuk menghadirkan rasa gerun kepada lawan.
‘Harimau Malaysia’ juga berjaya meneutralkan bisa keperkasaan Korea Selatan sehingga membuatkan kita tertanya-tanya di manakah sebenarnya kekuatan skuad kendalian Ho Kon yang menundukkan sebuah lagi pasukan heavyweight Asia, Iran 1-0 di Stadium Azadi pada 17 Mac lalu.
Yang jelas, aksi Malaysia-Korea Selatan tampak seimbang pada babak pertama tetapi ada ketikanya skuad tuan rumah lebih menjiwai saingan namun petaka tetap menghimpit mereka pada minit ke-42 sesudah Norhisham Hassan melakukan besar dengan menjatuhkan pemain lawan.
Ala Abdul Kadir tidak berlengah menuding ke arah titik putih di tengah biarpun Akmal Rizal yang berperanan selaku kapten pasukan untuk kali ketiga berturut-turut cuba membantah keputusan berkenaan dan kedudukan akhirnya tertera 1-0 apabila Jae Jin tenang memasukkan bola ke sebelah kanan Syamsuri Mustafa.
Senario tampak menggawatkan sebaik saja permainan bersambung apabila Rezuan Radzy yang mengisi tempat Yosri Derma Raju tampak perlahan dan Korea Selatan segera memaksimumkan kelebihan itu dengan mengasak di kanan kubu Malaysia.
MALAYSIA: Syamsuri Mustafa, Yosri Derma Raju (Rezuan Radzy), Norhafiz Zamani Misbah, Irwan Fadly Idrus, M Ravithiran, K Rajan, Indra Putra Mahayuddin (Safee Sali), Norhisham Mustafa (Tengku Alias Tengku Ibrahim), Fadzli Shaari, R Surendran, Akmal Rizal Rakhli
KOREA: Kim Young Kwang, Cho Byung Kuk, Kim Chi Gon, Park Yong Ho, Kim Do Heon, Choi Sung Uk, Choi Won Kwon, Kim Dong Jin (Park Kyu Seon), Kim Jung Woo (Oh Seoung Bum), Choi Tae Uk (Choi Sung Uk), Cho Jae Jin
PENGADIL: Ala Abdul Kadir Nema (Iraq)