JAMBAN... Keujudanmu bukanlah sesuatu yang perlu dipertikaikan.
Ketiadaanmu
merupakan masalah besar bagi negara-negara membangun seperti Malaysia.
Kau berada di mana jua disaat kami memerlukan. Aku tahu ramai yang
membencimu. Cuma mereka akan ingat padamu bila tibanya detik-detik yang meresahkan
itu. Ramai yang berkata... baumu kurang menyenangkan. Tetapi, mereka lupa, bau
itu bukanlah bau asal dirimu. Bau itu sebenarnya datang dari perut mereka
dan juga perutku ini. Ada perut yang mulia dan ada juga perut yang
menerima apa sahaja, walaupun hasil itu bukan yang diterima hukumnya.
JAMBAN... Kadang-kadang aku berasa kasihan dan simpati mengenangkan
nasibmu yang terbiar tanpa penghargaan. Mereka menyumbat mulutmu dengan baja
semula jadi itu dan kemudian mereka mengutuk dan mencacimu. Sungguh besar
pengorbanan yang kau lakukan. Namun jasamu tidak dikenang. Bagiku
keujudanmu adalah simbolik di dalam kehidupan yang penuh ketidakadilan
ini. Yang bertenggek di atas terus menyalahkan sesuatu yang di bawah... yang
lemah dan tidak mampu melawan.
JAMBAN... Aku berasa sungguh tenang setiap kali dapat bersamamu. Segala
masalah bagai dapat aku lupakan. Terasa lapang dadaku.. terasa lega
mindaku. Fikiranku menjadi tenang setenangnya air di dalam aquarium yang
tidak berpenghuni. Kaulah sumber ilhamku. Kadang-kadang aku terfikir...
adakah Shakespere juga menyanjungi keujudanmu?
JAMBAN... Ketika aku menulis catatan ini.. aku tahu.. karya sebegini
tidak akan terpilih sebagai Karya Terbaik Minggu Ini... kerana tajuknya
'JAMBAN'.
Jika anugerah itu diberikan.. pasti ramai yang akan mempertikaikannya.
Eeee... kotor dan menjijikkan.. macam la tak ada benda lain yang nak
ditulis. Sudah banyak daerah dan negara yang aku lawati.. namun aku tidak
pernah mendengar sebarang penghargaan yang diberikan kepadamu..
misalnya..
'Jamban Terbaik Minggu Ini'... ataupun sekurang-kurangnya.. 'Jamban
Terbaik Abad Ini'. Mungkin tiada siapapun yang akan terfikir untuk memberi
anugerah seumpama itu kepadamu. Kau bukan bunga.. kau bukan batu permata dan kau
bukan juga lambang semangat muhibbah dan kejiranan.
JAMBAN... Ribuan terima kasih aku ucapkan atas jasamu selama ini.. dan
terima kasih juga kepada mereka-mereka yang melibatkan diri di dalam
usaha pembersihan jamban. Aku tahu kerjaya seumpama itu selalu dipandang hina
dan langsung tidak mendapat perhatian. Bayarannya juga amat sedikit dan
mengharukan. Namun aku kagum dengan kesanggupan kalian kerana aku tahu..
aku juga mungkin tidak mampu untuk melakukannya. Jika ada yang
menghina..bersabarlah.. walaupun kerja itu kotor namun hasilnya adalah
halal.
JAMBAN... Sampai di sini sahaja yang mampu aku tuliskan untukmu sebagai
penghargaan. Telah lama aku terfikir untuk menulisnya... dan sekarang aku
sungguh lega kerana berjaya meluahkan apa yang terbuku di kalbuku selama
ini. Hari ini aku tak berapa sihat... jadi aku nak tidur awal sikit.
Nanti bila aku terjaga pasti kita akan bertemu lagi. Aku tahu kau tak akan
lari. Kau sentiasa setia menanti di situ.